Sunday, 26 January 2014

Orang ramai dinasihat pakai baju tebal

Kota Bharu: Orang ramai dinasihatkan memakai pakaian tebal berikutan fenomena perubahan cuaca kepada sejuk terutama sekitar jajahan Kuala Krai di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir, berkata walaupun tiada penjagaan khusus perlu dibuat orang ramai berikutan fenomena itu, namun langkah berjaga-jaga masih diperlukan.


“Jika mendapati diri kurang sihat seperti demam atau selesema selepas terdedah udara sejuk, segera ke klinik atau hospital untuk mendapat rawatan.

“Setakat ini, tiada laporan mengenai peningkatan jumlah pesakit dimasukkan ke hospital akibat diserang demam kerana berdasarkan bacaan kaji cuaca, bandar ini mencatatkan pada paras 21 darjah celsius.

“Mungkin disebabkan Kelantan biasa dengan cuaca panas, suhu 21 darjah celsius sudah dianggap sejuk, walaupun di Kuala Krai mencatatkan bacaan 17 darjah celsius,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Selama ini, purata suhu di Kelantan sekitar 25 darjah Celsius pada waktu malam, manakala sebelah siang mencapai 36 darjah celsius.

No comments:

Post a Comment