Monday, 27 January 2014

Keutamaan memelihara sifat malu

MALU adalah satu sifat atau perasaan yang boleh menimbulkan keengganan untuk kita melakukan sesuatu  amalan yang tidak baik atau yang rendah nilainya.

Orang yang memilikki sifat malu akan kelihatan gugup atau merah air mukanya apabila melakukan sesuatu yang tidak patut. Sebaliknya, orang yang tidak ada perasaan malu, biasanya akan melakukan sesuatu yang tidak baik dengan tenang, tanpa ada rasa gugup dan takut sedikitpun.

Abu Said al Khudri menceritakan bahawa air muka Rasulullah SAW akan berubah apabila melihat sesuatu yang tidak disukainya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Rasulullah SAW adalah lebih pemalu dari gadis-gadis pingitan. Bila melihat sesuatu yang tidak disukainya, kami dapat mengetahui dari wajah baginda” (Mutafaqun alaih)

Sifat malu adalah akhlak yang terpuji yang menjadi sesuatu yang istimewa dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak, dan akhlak islam adalah sifat malu”.   (Hads Riwayat:   Imam Malik).

Perasaan malu adalah sumber utama kebaikan dan kemuliaan dalam pekerjaan, dan sekiranya malu berbentuk manusia, dia akan tampil sebagai individu yang soleh. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  

“Apabila sifat malu itu diumpamakan menjadi seseorang,  maka ia akan menjadi seorang yang soleh dan sekiranya sifat keji itu diumpamakan seseorang, maka ia akan menjadi orang yang jahat”. (Hadis Riwayat:  At Thabrani).

Sifat malu dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:                      

i.   Malu kepada ALLAH SWT                                                             

ii.  Malu kepada diri sendiri

iii. Malu kepada orang lain

Seseorang akan merasa malu kepada ALLAH SWT apabila tidak mengerjakan perintahNYA dan tidak menjauhkan laranganNYA. Orang yang malu kepada ALLAH dengan sendirinya akan malu kepada diri sendiri.

Dia juga akan malu untuk mengerjakan perbuatan yang salah sekali pun orang lain tidak melihat perbuatannya atau mendengar perkataannya. Penolakan terhadap perbuatan itu datang dari dirinya sendiri. Dia akan mengawal hawa nafsunya dari keinginan yang tidak baik.

Ketiga-tiga jenis malu ini mestilah tumbuh segera dan sentiasa terpelihara dalam diri seseorang Muslim, lebih-lebih lagi malu terhadap ALLAH SWT kerana malu terhadap ALLAH inilah yang menjadi sumber dari dua jenis yang lain.

Malu kepada ALLAH adalah malu yang bersumberkan keimanan dan keyakinan kepada ALLAH SWT yang bersifat sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui apa saja yang dilakukan oleh setiap hambaNYA.

Malu juga adalah sebahagian daripada kesempunaan iman. Bahkan, malu dan iman akan selalu hadir bersama-sama. Apabila salah satu hilang, maka yang lain juga akan hilang.

Dalam kehidupan masyarakat hari ini, perasaan malu sudah dilupakan orang. Kebanyakan masyarakat Islam hari ini tidak malu menerima sogokan-sogokan  demi untuk hidup mewah. Selain itu, terdapat pula golongan-golongan tertentu, terutama para remaja, tanpa segan silu lagi berdua-duaan  dengan bukan mahram.  

Jelas di sini bahawa apabila budaya malu tidak lagi dihayati oleh masyarakat, maka manusia akan mudah kehilangan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam dirinya serta sanggup menurut hawa nafsu yang tidak terkendali.

Namun, sekiranya setiap orang menjaga penghormatan yang diberikan ALLAH dengan memelihara sifat-sifat terpuji dalam kehidupan, nescaya tidak akan berlaku gejala-gejala atau perkara perkara yang tidak diingini tersebut.

Jelas di sini betapa pentingnya manusia memelihara sifat malu demi menjaga maruah dan harga diri yang dikurniakan ALLAH SWT. Pertahankanlah kualiti diri sebagai insan yang diciptakan oleh ALLAH dengan sebaik-baik kejadian.

Sama-samalah kita menanam dan mengamalkan akhlak-akhlak murni yang menjadi fitrah insan, khususnya bagi diri, keluarga dan masyarakat seluruhnya. Dengan itu kita akan menjadi insan bertaqwa disisi ALLAH SWT.

Hayatilah Firman ALLAH SWT bermaksud:  

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”. (Surah at Tin: Ayat 4).




Credit: Hashim bin Ahmad                                                         

No comments:

Post a Comment