Tuesday, 21 January 2014

Cadang bina terowong dasar laut, jambatan hubungkan Johor-Riau

Lokasi Riau Kabupaten Pelalawan.svg
Peta lokasi Kabupaten Pelalawan

JOHOR BAHRU 20 Jan. - Sekumpulan pengkaji daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pihak berkuasa Kabupaten Pelalawan di Riau, Indonesia mencadangkan sebuah jambatan dan terowong dasar laut dibina bagi menghubungkan Malaysia dengan Indonesia.

Dekan Construction Research Alliance UTM, Prof. Dr. Muhd. Zaimi Abd. Majid berkata, projek dengan anggaran kos RM15 bilion tersebut melibatkan gandingan terowong bawah laut sepanjang 17.5 kilometer dan beberapa jambatan termasuk yang terpanjang 13 kilometer dari Kukup, Pontian ke Pulau Karimun, Riau di Sumatera.

Malaysia, Indonesia mahu bina terowong RM15b
Tengku Dahril (kiri) bertukar bertukar dokumen perjanjian dengan Azlan


"Projek ini lebih efektif dari segi kos dan jarak jika dibandingkan dengan rancangan membina jambatan yang menghubungkan Dumai dan Melaka yang dianggarkan menelan belanja RM44.3 bilion.

"Kajian awal menunjukkan projek itu bakal memberi impak ekonomi yang besar antara Riau dan Johor malah risiko dan kesan kacau ganggu alam sekitar yang rendah jika dibandingkan rancangan jambatan Dumai-Melaka atau Batam-Singapura," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sultan Iskandar UTM di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dr. Wahid Omar; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman; Bupati Pelawan, Muhammad Harris dan Pengerusi Yayasan Amanah Pelawan, Prof. Dr. Tengku Dahril.

Menurut, Muhd. Zaimi, projek berkenaan telah menerima dana daripada dua pihak yang mempunyai minat tinggi terhadap projek tersebut, namun perincian mengenainya tidak dapat didedahkan.

Tambahnya, pembinaan terowong dasar laut seperti yang menghubungkan Paris, Perancis dan London, United Kingdom itu tidak akan mengganggu perjalanan kapal dagang di Selat Melaka kerana tiada struktur yang dibina di atas permukaan laut.

"Kita akan menggunakan kaedah 'boring' seperti yang digunakan dalam pembinaan Mass Rapid Transit di Lembah Klang dan akan memakan masa tiga hingga lima tahun untuk disiapkan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Harris berkata, projek itu akan memanfaatkan Malaysia kerana Riau adalah wilayah kedua terkaya di Indonesia selepas Kalimantan Utara dari segi minyak dan gas asli.

Katanya, Riau yang berada dalam Koridor Pembangunan Sumatera juga adalah kawasan penanaman kelapa sawit terbesar di Indonesia.

No comments:

Post a Comment