Monday, 13 January 2014

Mencintai saudara seagama

BERMUSUH, benci-membenci dan berpuak-puak adalah antara penyumbang kepada kecacatan iman. Bila iman cacat, takwa juga akan cacat dan lebih buruknya, keIslaman akan tercalar.

Mencaci dan mencerca, berprasangka buruk dan berniat jahat terhadap sesama Muslim adalah antara faktor permusuhan yang patut dielak supaya iman dan takwa serta keIslaman tidak cacat dan tidak tempang.

Malah apa yang perlu dilakukan oleh setiap daripada kita ialah mengutamakan pembinaan dan pemeliharaan silaturahim, saling menyayangi, hormat-menghormati tanpa prejudis kerana umat Islam adalah bersaudara.

Soal siapa yang lebih alim, lebih lebai, lebih sempurna iman dan takwa serta keIslamannya, ia bergantung kepada sejauh mana apa yang difardu dan disunatkan itu diamalkan, serta dijauhi segala larangan.

Apalah ertinya kesempurnaan berpakaian dan ketaksuban beribadah seseorang individu atau puak itu jika seandainya ada sifat dan sikap bermusuhan, saling membenci, berpuak-puak dan maki-hamun, maka dengan sendirinya iman dan takwa serta keIslaman mereka itu akan tercalar sebenarnya.

Ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW daripada Anas daripada Nabi SAW daripada Husain al-Mu’alim berkata, telah menceritakan kepada kami Qotabah daripada Anas daripada Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud: Tidaklah beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.Bahkan, berkasih-sayang dan berbaik-sangka tidak sahaja terbatas kepada saudara mara dan rakan taulan yang dikenali, tetapi bermesra dan meraikan mereka yang tidak dikenali juga adalah merupakan antara faktor yang membawa kepada kemantapan keimanan, ketakwaan dan keIslaman.

Hal ini terbukti melalui hadis baginda SAW daripada Abdullah bin Amru katanya, Ada seseorang yang bertanya kepada Nabi SAW dengan pertanyaan Islam manakah yang paling baik? Jawab baginda SAW: Kamu memberi makan, mengucap salam kepada orang yang kamu kenal dan yang kamu tidak kenal.

Kesempurnaan iman, takwa dan Islam juga akan benar-benar sempurna apabila Rasulullah SAW dicintai sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: €œMaka demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, tidaklah beriman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada orang tuanya dan anaknya.

Sehubungan dengan itu, demi kesempurnaan iman dan takwa serta keIslaman, maka marilah kita sentiasa dalam berkasih-sayang dan hormat-menghormati di antara satu sama lain.

Menyemarakan budaya membenci, bermusuhan, memaki-hamun, berpuak-puak, berdemontrasi, merusuh dan mengganggu ketenteraman awam adalah sesuatu yang merugikan. Adalah lebih baik jika dipupuk, dipelihara, seterusnya dibina semangat ukhuwah atau persaudaraan sesama Islam, kerana ia dapat mengelakkan daripada berlaku musibah.




Credit: RAMLI ABDUL HALIM

No comments:

Post a Comment