Sunday, 19 January 2014

Hujah tertib, bijaksana tanda orang berilmu

Fahami adab, proses tuntut ilmu

Apakah tanda seseorang berilmu? Apakah bukti seseorang sudah menjalani proses ilmu sehingga layak diiktiraf sebagai ahli ilmu dalam sesuatu bidang?


Pada hemat saya, perkara ini penting kita bincang dan fahami kerana tiga sebab. Pertama, makna ilmu nampaknya semakin kabur sejak kebelakangan ini. Apa saja maklumat, data dan bahan yang boleh diajar atau sekadar disampaikan kadangkala disalah erti sebagai ilmu. Seringkali ilmu sekadar sebutan tetapi yang disampai atau dimaksudkan ialah pengalaman atau kemahiran yang tidak memenuhi ciri-ciri yang boleh diterima sebagai ‘ilmu’ menurut apa jua klasifikasi dan tradisi keilmuan. 

Kedua, ahli ilmu mempunyai tahap tertentu yang tidak sewajarnya disetarakan dengan pelajar, pengamal, pengkisah atau pencatat. Hal ini penting untuk memastikan sumber dan saluran ilmu dapat kita fahami sebaiknya. Maka mudahlah kita mengetahui di mana dan dari mana ilmu yang sahih boleh diperoleh. Seandainya, sekadar contoh, kita ingin mengetahui tentang sejarah Malaysia, maka kita boleh belajar mengikut tahap serta urutan keutamaannya. Soalnya sejauh mana tahap sejarah yang hendak kita pelajari.

Pelbagai sumber

Kalau sekadar pada tahap pengenalan, kita boleh mempelajarinya menerusi guru sekolah saja atau mereka yang pernah belajar di sekolah, atau universiti. Kita juga boleh membaca menerusi pelbagai sumber cetak dan maya. Cuma, jika kita ingin mengetahui secara lebih mendalam tentang polemik dan sudut pandang berbeza serta mencari huraian yang tepat dalam sesuatu isu sejarah, maka kita perlu belajar serta mendapat bimbingan daripada pakar atau profesor sejarah. Demikianlah juga bidang lain terutamanya berkaitan dengan akidah dan falsafah hidup.

Ketiga, institusi ilmu mempunyai kepentingan tersendiri dalam konteks pengembangan dan pemahaman. Kita wajar akur bahawa sesuatu bidang ilmu boleh dipelajari menerusi institusi pendidikan formal seperti sekolah, kolej komuniti, kolej dan universiti, atau mengikuti program khas yang dianjurkan pelbagai pihak secara bersemuka atau maya. 
Namun, dapatan pencarian menerusi Internet juga perlu dipastikan kewibawaan penyedia maklumat dan bahan yang dipaparkan. Disebabkan tidak ada penyaringan dan penahapan, maka maklumat yang terpapar dalam ruang maya sukar untuk ditentukan kesahihan dan kewibawaannya. Justeru, kita perlu lebih berhati-hati mencari inti pati menerusi petikan jari.

Dalam ajaran Islam, institusi ilmu bukan sekadar jenama dan tempat sesebuah sekolah, maktab atau universiti. Kewibawaan institusi ilmu lebih menjurus kepada kewibawaan guru atau pengajarnya. Ini sesuai dengan ajaran Islam bahawa golongan ilmuwan adalah pewaris Nabi. 

Demikianlah sekadar menjelaskan martabat ilmu dan kemuliaan golongan ilmuwan yang tinggi kedudukannya. Justeru, adab menuntut ilmu juga perlu difahami sebaiknya. Sejak kebelakangan ini, ramai yang semakin keliru mengenai persoalan dan kepentingan memahami ilmu sebagai satu mauduk ilmu. Akibatnya, dalam keghairahan menuntut ilmu maka kita melupakan adab dan proses ilmu setulusnya. Ada yang berhasrat mempelajari ilmu agama misalnya tetapi mempelajarinya daripada ‘pakar agama’ yang bersembunyi di sebalik pelbagai institusi dan majlis. Maka, tersebarlah ajaran yang menyesatkan. Demikian juga tentang ilmu berkaitan pemikiran, tamadun, sains politik, ekonomi dan sejarah yang kadangkala tidak dipelajari dan difahami sebaiknya.

Krisis ilmu

Akibatnya, berleluasa masalah dan krisis ilmu. Ini dapat kita saksinya dengan bercambahnya golongan jahil yang berani mencabar kewibawaan tokoh dan institusi ilmu tanpa mengetahui susur-galur ilmu dibahaskan. Hal ini semakin berleluasa dengan adanya saluran teknologi maklumat yang memudahkan interaksi dan mengeluarkan pandangan peribadi atas dasar kebebasan bersuara. Ada kalanya sesuatu pendapat tentang sesuatu insiden, peristiwa atau isu dikemukakan secara membuta-tuli tanpa menyedari kita membuka aib sendiri hingga menyerlahkan betapa ceteknya fahaman dan tahap ilmu. Kadangkala terungkap kebiadaban betapa kita tidak menghayati tatacara dan seni berhujah dalam tradisi ilmu.

Saya menyuarakan hal ini kerana sedar bahawa masyarakat yang tinggi tahap keilmuannya sentiasa menjaga adab dan tradisi ilmu. Tanda orang berilmu bukan terletak kepada kepetahan berhujah, menyelar dan mengelar kawan apatah lagi lawan sehingga melanggar batas kesopanan. Bukti keilmuwan bukan pada sijil akademik atau jenama universiti hingga mengenepikan tradisi berhujah secara tertib dan bijaksana. 

Tanda orang berilmu adalah pada watak dan adabnya, bukan pada sijil dan kerenahnya. Sikap orang berilmu tersingkap pada kematangan mindanya bukan pada kepetahan bibirnya. Teladan orang berilmu adalah pada taatnya, bukan pada kilauan zahirnya.

Pepatah Melayu mengingatkan kita resam orang berilmu menurut resam padi, semakin tunduk semakin berisi!




Credit: Dr Zaini Ujang

No comments:

Post a Comment