Google+ Followers

Thursday, 2 January 2014

Basikal baharu cipta rekod dunia



LONDON 31 Dis. - Seorang pemilik kedai basikal di Britain mencipta rekod baharu dunia apabila berjaya menghasilkan sebuah basikal yang mampu bergerak dengan kelajuan lebih 180 kilometer sejam.

Jason Rourke, 42, menghabiskan masa selama 10 hari untuk membina basikal tersebut dengan kos sebanyak 5,000 pound (RM27,133) dan memberi penghormatkan kepada pelumba motosikal Britain, Guy Martin untuk menggunakan basikal itu bagi memecahkan rekod dunia dengan catatan masa 181 kilometer sejam.



Rekod sebelum ini dicipta oleh pelumba basikal dari Belanda, Sebastiaan Bowier yang mencapai kelajuan 133.78 kilometer sejam pada September lalu.

Rourke menunda basikal yang dinaiki Martin pada kelajuan 80 kilometer sejam sebelum pelumba terbabit mengayuh kenderaan itu sehingga mencecah kelajuan 181 kilometer sejam.



Rourke yang berasal dari Staffordshire berkata, pada mulanya ayahnya dihubungi seseorang yang meminta bantuan untuk membina sebuah basikal bagi mencatat rekod dunia, namun dia terpaksa menolak pelawaan itu atas faktor kerja yang banyak.

Namun jelasnya, seorang produser kemudian menghubunginya pada Februari lalu memintanya melakukan perkara yang sama dan kali ini dia tidak menolaknya.



"Saya menghabiskan masa selama 10 hari untuk mencipta basikal yang kuat menggunakan besi dan tayar yang tebal bagi memastikan kenderaan itu stabil.



"Malah Martin turut datang ke bengkel kami di Burslem untuk membantu menghasilkan basikal berkenaan," katanya.



Usaha mencipta rekod berkenaan yang dirakamkan sejak pembikinan basikal itu, disiarkan bermula semalam melalui satu siri program televisyen yang dikenali sebagai 'Speed'. - AGENSI