Google+ Followers

Friday, 24 January 2014

Suhu sejuk di pantai timur Johor cecah 17 °C

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Beberapa buah kawasan di negeri pantai timur dan Johor dilanda cuaca sejuk apabila mencatatkan suhu purata serendah 17 darjah celsius.

Pengarah Pusat Ramalan Jabatan Meteorologi, Muhamad Helmi Abdullah berkata, keadaan yang dijangka berlanjutan sehingga minggu depan itu berlaku ekoran perubahan aliran udara sejuk dan tiupan angin yang berlaku di Laut China Selatan.

Katanya, suhu berkenaan antara yang paling rendah pernah dicatatkan rekod Stesen Meteorologi sejak lebih 20 tahun lalu.

“Kita pernah catat suhu yang sama sebelum ini di beberapa kawasan di negeri pantai timur dan kali ini berlaku di Kuala Krai, Kelantan apabila suhu dicatat sekitar 17 darjah celsius.

“Bagaimanapun, ini adalah fenomena biasa yang berlaku pada musim monsun dan keadaan cuaca negara kita dipengaruhi oleh aliran sejuk dari China dan Siberia," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, terdapat beberapa sumber di internet yang memaklumkan beberapa kawasan dilanda cuaca sejuk luar biasa antaranya Gua Musang, Kelantan yang mencatatkan suhu purata 19 hingga 21 darjah celsius menyamai suhu di Cameron Highlands sedangkan kebiasaannya adalah 30 hingga 35 darjah celsius.

Selain itu, laman perkongsian video, YouTube turut menggemparkan orang ramai apabila memaparkan rakaman sebuah daerah di Indonesia dilanda salji, bagaimanapun belum ada pihak mengesahkan kejadian itu sehingga kini.