Sunday, 19 January 2014

PERKUKUH INSTITUSI KEKELUARGAAN


 

Sebuah keluarga memainkan peranan yang sangat penting bagi melahirkan generasi yang baik. Jika baik negaranya, maka baiklah rakyatnya, jika baik rakyatnya, maka baik pulalah keluarganya. Begitu hebat fungsi sebuah keluarga sehingga ianya menjadi salah satu elemen terpenting dalam membina sebuah daulah yang diberkati Allah s.w.t.


Di dalam pendidikan awal kanak-kanak, penglibatan ibubapa adalah sangat penting. Kita dapat melihat betapa ibubapa yang sangat prihatin dan mengambil perhatian terhadap pembelajaran anak, akan membantu anak untuk lebih cepat membaca, menulis serta mengira.


Keluarga adalah unit terkecil dari masyarakat yang terdiri daripada ketua keluarga dan beberapa orang yang terkumpul dan tinggal di suatu tempat di bawah satu bumbung dalam keadaan saling bergantung antara satu sama lain. Keluarga juga sebagai kumpulan sosial terdiri daripada sejumlah individu, mempunyai hubungan antara individu, terdapat ikatan, dan tanggungjawab di antara individu tersebut.


Keluarga adalah merupakan struktur asas bagi keseluruhan sistem sosial dan kebudayaan di dalam Islam. Ia adalah merupakan satu institusi yang menjamin kestabilan sosial dan kebudayaan masyarakat keseluruhannya. Ia mengekalkan kehidupan manusia dan kebudayaan, meneruskan peranan manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini bergantung kepada berkesannya jentera yang menjamin pembiakan umat manusia.


“ Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah An-Nisa: 1)


Sebuah keluarga tidak akan sempurna tanpa adanya  proses yang dinamakan pentarbiyyahan atau pendidikan. Di dalam proses inilah kita mendidik ahli-ahlinya tentang ibadah dan akhlak. Tiada institusi atau kumpulan yang lain yang dapat mengambil alih tugas hebat ini kerana ianya adalah satu proses yang berterusan. Kehebatan fungsi kekeluargaan ini diasaskan oleh rasa amanah dan tanggungjawab di kalangan ahli keluarga.


“ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Al-Tahrim:6)


Kes Jenayah Yang Meruncing


Kita sering kali membaca di dada-dada akhbar dan mendengar berita di televisyen tentang keparahan masyarakat seperti meningkatnya kes juvana, kes membunuh, kes buli, kes merompak dan sebagainya. Kisah membuang bayi dan melahirkan anak luar nikah pula seperti sudah menjadi rencah dalam kehidupan di Malaysia.


Dari keluarga bermula segala-galanya. Setiap keluarga mempunyai nilai dan maruah yang dipertahankan oleh ahli keluarganya sendiri. Keharmonian kekeluargaan dicapai melalui hubungan baik antara semua ahli keluarga. Perhubungan spiritual seperti agama, emosi seperti kasih sayang , sikap hormat – menghormati dan bertanggungjawab.  Oleh itu institusi kekeluargaan  adalah institusi yang terpenting dalam proses pembentukan individu yang sihat dari segi mental dan fizikal.


Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global tanpa sempadan hari ini, banyak berlaku limpahan budaya negatif yang melanda negara di seluruh dunia. Masyarakat kita pada hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme - suka berpoya-poya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas ( berzina ), buang bayi, ketagih rokok, judi, arak, bahan porno (lucah ), bunuh, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penglibatan dalam gejala sosial bermula seawal umur 10 tahun lagi.


Keluarga memainkan peranan yang sangat penting di dalam pembangunan siasah serta akhlak seseorang anak itu. Cukup membimbangkan jika di awal usia, anak sudah dilepas bebas ke sana ke mari dan membuat sebarang keputusan dalam hidup tanpa mengambil kira pendapat serta pandangan ibubapanya.


Sebagai ibubapa yang prihatin, sejak anak itu lahir lagi, kita selalu memerhatikan perkembangan dan apakah yang selalu mereka lakukan. Kita memberikan jalan serta tunjuk ajar. Kita sebagai orang dewasa bertanggungjawab ke atas setiap perlakuan serta tingkah laku mereka.


Pentingnya Seorang Ayah


Sebuah keluarga pasti mempunyai seorang ayah. Seorang ayah yang masih hidup dan mampu, wajib memberikan keperluan kepada keluarganya. Bukan sahaja wang, makan serta pakaian. Keperluan rohani juga wajib diberikan kepada setiap penghuni yang berada di bawah tanggungjawabnya.


Seorang pakar sosiologi, Dr David Popenoe di dalam kajiannya mengatakan bahawa, seorang ayah bukan sekadar orang dewasa di dalam sebuah rumah. Ia lebih daripada itu. Seorang ayah memberikan impak yang besar kepada keperibadian seorang anak. Kajian di luar Negara juga banyak menunjukkan bahawa, keluarga tanpa didikan ayah akan menyumbang banyak gejala sosial  di dalam masyarakat.
Pepatah Arab ada menyatakan: Al waladu sirru abiihi. Maksudnya, seorang anak itu adalah bayangan ayahnya.


Pentingkah seorang ayah di dalam pendidikan anak-anak? Masyarakat sering mengaitkan mendidik anak-anak hanya terletak kepada seorang ibu sahaja. Walhal amanah serta tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama.



Mengapa ayah penting kepada anak-anak?


1. Komunikasi seorang ayah adalah berbeza dengan seorang ibu. Ayah itu adalah pelengkap kepada pentarbiyyah serta pendidikan anak-anak. Jika ibu tidak berjaya menasihati anaknya, mungkin komunikasi ayah yang berbeza dapat membantu.




2. Seorang ayah membina jati diri dan keyakinan anaknya. Lihat sahaja contohnya ketika anak belajar menaiki basikal. Saya sebagai seorang ibu sangat takut melepaskan anak di jalan tetapi suami sayalah yang memberikan semangat serta keyakinan kepada anak-anak saya untuk berani berbasikal. Jika hanya saya yang berkata-kata, entah bila anak saya akan pandai berbasikal.




3. Seorang ayah mendisiplinkan anaknya dengan cara yang berbeza. Perbezaan memang perlu dalam beberapa perkara. Berbeza dengan ibu bukan bermakna cara didikan ibu itu berbeza dan tidak bersetuju dengan didikan itu, tetapi ianya saling melengkapkan




4. Ayah ialah contoh kepada anak-anak. Cara ayah makan, berpakaian, mencari rezeki akan dicontohi anak. Jika tanpa ayah, maka anak-anak tiada rujukan dan panduan. Tempanglah sebuah keluarga. Longgarkan sebuah institusi.




Ketika ibu sedang sibuk di dapur atau sedang membasuh pakaian, siapakah yang akan memerhati serta berbual-bual dengan anak-anak? Pastilah ayah. Ayah melengkapkan sebuah keluarga. Ayah itu role model. Ayah itu raja. Ayah itu cerminan akhlaq anaknya.


Seorang ayah yang baik, menjadikan solat itu sebagai tiang kepada keutuhan rumahtangganya. Anak-anak diimaminya dan masjid menjadi rumah keduanya. Anak-anak disantuni sebaiknya dan dihormati agar dia juga dihormati oleh anak-anak. Alangkah hebatnya dunia jika setiap anak mempunyai ayah yang begini.


Ikat Anak Dengan Al-Qur’an


Diriwayatkan oleh Ath-Thabarani daripada Saidina Ali karamallahu wajhah, bahawasaya Nabi s.a.w telah bersabda:
“ Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara: Cinta kepada Nabi kamu, cinta kepada kaun keluarganya serta membaca Al-Qur’an. Sesungguhnya para pembaca Al-Qur’an itu berada dalam naungan Arasy Allah pada hari tiada naungan selain naunganNya bersama-sama NabiNya.”


Ibnu Khaldun, Ibnu Sina dan Iman Al-Ghazali juga menyebut di dalam kitab-kitab mereka tentang peri penting mengajar anak-anak akan Al-Qur’an kerana Al-Qur’an itu terkandung pelbagai pengajaran dan panduan. Berdamping akrab dengan Al-Qur’an bermakna bercinta dengan Islam dan terjagalah diri dan keluarga.


Jadi Contoh Terbaik.


Tiada cara yang paling baik selain daripada menunjukkan akhlak yang baik terhadap anak-anak. Ibubapa adalah contoh tauladan yang terdekat dan menjadi panduan buat anak-anak. Rumahtangga yang harmoni bakal membina ahli keluarganya yang bahagia. Rumahtangga yang kucar kacir akan melampias kegoyahan itu kepada anak-anak dan seisinya.


Apa yang mereka bawa keluar adalah apa yang mereka bina, lihat dan lakukan di dalam rumah. Mereka sentiasa memerhati ayah dan ibu mereka berkelakuan di rumah. Keakraban ibubapa dengan anak, adalah kunci kepada kecemerlangan anak-anak di luar sana. Kenali rakan-rakan mereka kerana rakan memberi pengaruh yang besar terhadap anak-anak.


Bukan mudah mendidik anak-anak. Tidak cukup kita sekadar menghampar kemewahan, membekalkan Ipad seorang satu kepada anak. Ia lebih dari itu. Kasih sayang, penghargaan, penghormatan, kepercayaan, kesabaran, semuanya diadun menjadi resepi sebuah keluarga yang bahagia.


Credit: Ashikin Hashim

No comments:

Post a Comment