Tuesday, 28 January 2014

Dunia di mata sahabat Nabi

SALAH satu karakter utama yang terdapat dalam diri para sahabat Nabi ialah cinta kebaikan dan berlumba-lumba melakukan amal kebajikan. Setiap kebaikan dilihat sebagai satu peluang untuk meningkatkan darjat mereka di akhirat.

Umar bin al-Khattab bercerita, suatu hari Rasulullah SAW menyuruh kami untuk bersedekah. Kebetulan pada saat itu aku tengah memiliki harta. Aku berkata: "Pada hari ini aku akan kalahkan Abu Bakar!" Aku lalu membawakan setengah hartaku kepada Nabi. Baginda bertanya: "Apa yang engkau tinggalkan bagi keluargamu?" Aku menjawab: "Aku tinggalkan untuk mereka harta sebanyak yang aku berikan ini."
Tidak lama kemudian, Abu Bakar datang dengan seluruh hartanya. Rasulullah bertanya: "Apa yang engkau tinggalkan bagi keluargamu?" Abu Bakar menjawab: "Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya." Umar berkata: "Aku tidak akan pernah mampu mengalahkan Abu Bakar!"
Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: "Ini hadis hasan sahih."



Generasi terbaik

Para sahabat merupakan generasi umat manusia yang terbaik. Mereka sangat bersemangat melakukan amal kebajikan dan sangat tegas menentang kebatilan. Mereka sanggup mengorbankan harta demi penyebaran dakwah Islam. Bukan hanya itu, nyata turut sedia dipertaruhkan apabila kaedah itu satu-satunya cara untuk mempertahankan agama Allah SWT.

Dalam kata-kata Ustaz Pahrol Muhammad Joui dalam Majalah Solusi no. 64, para sahabat ialah ‘produk’ perjuangan Rasulullah SAW yang paling berharga. Justeru tidak hairan sekiranya Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menulis: "Seandainya Rasulullah tidak mempunyai satu mukjizat kecuali para sahabat, maka sesungguhnya para sahabat itu telah cukup untuk mengukuhkan status kenabian baginda."

Bagi para sahabat Nabi, dunia seolah tidak berharga berbanding akhirat. Sikap dan ucapan mereka menunjukkan perkara ini. Bagi mereka, harta benda tidak lebih sekadar bekalan untuk menuju kehidupan yang di syurga abadi.

Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Aisyah: "Apabila Abu Bakar masuk Islam, beliau memiliki wang sebanyak 40,000 Dinar (dalam riwayat lain: 40,000 Driham). Beliau lalu menginfakkan semuanya untuk Rasulullah."

Sejarah Islam menjadi saksi sumbangan Abu Bakar kepada Islam. Beliau sering kali membeli tujuh orang hamba yang diseksa tuannya kerana masuk Islam lalu dimerdekakan. Salah seorangnya ialah Bilal bin Rabah, muazin Nabi. Meskipun harga seorang hamba sangat mahal, namun tidak menghalang Abu Bakar untuk membelinya juga demi Islam.



Saling mencintai

Justeru, sangat aneh persepsi sebahagian aliran yang menyakini seolah-olah para sahabat sangat tamak dengan harta dan kekuasaan. Mereka menggambarkan para sahabat tergamak melakukan konspirasi untuk merampas hak Ali bin Abi Talib menjadi khilafah selepas Rasulullah SAW.

Siapa yang mengenal sahabat Nabi dan ketinggian akhlak mereka, tidak akan pernah terbetik di hatinya persepsi seperti ini. Bahkan Ali bin Abi Talib sendiri tidak pernah mengatakan bahawa beliau menerima wasiat untuk menjadi khalifah selepas wafat Rasulullah SAW.

Abu Juhaifah pernah bertanya kepada Ali: "Adakah tuan memiliki pesanan wahyu selain daripada yang terkandung dalam al-Quran?" Sahabat Nabi ini menjawab: "Tidak. Demi Zat yang membelah biji dan menciptakan jiwa. Aku tidak memiliki apa-apa melainkan pemahaman tentang al-Quran dan yang tertulis dalam lembaran ini."

Abu Juhaifah bertanya lagi: "Apakah yang terkandung dalam lembaran itu?" Beliau menjawab: Hukum-hakam tentang denda pembunuhan, membebaskan hamba dan seorang mukmin tidak diqisas kerana membunuh kafir. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sayidina Ali sendiri sangat menghormati Abu bakar dan seluruh sahabat yang lain. Tidak pernah ada dendam, hasad dengki dan perselisihan di antara mereka. Semua sahabat Nabi hakikatnya ialah saudara seiman yang saling mencintai.

Anak beliau yang bernama Muhammad bertanya: Siapa manusia terbaik selepas Rasulullah?" Ali menjawab: "Abu Bakar." Ditanya lagi: "Lalu siapa?" Ali menjawab: "Umar." Muhammad berkata: "Aku bimbang beliau akan berkata Usman, maka aku bertanya: "Kemudian engkau?" Ali menjawab: "Aku hanya seorang daripada kaum muslimin. (riwayat al-Bukhari)




Credit: UMAR MUHAMMAD NOOR

Monday, 27 January 2014

Keutamaan memelihara sifat malu

MALU adalah satu sifat atau perasaan yang boleh menimbulkan keengganan untuk kita melakukan sesuatu  amalan yang tidak baik atau yang rendah nilainya.

Orang yang memilikki sifat malu akan kelihatan gugup atau merah air mukanya apabila melakukan sesuatu yang tidak patut. Sebaliknya, orang yang tidak ada perasaan malu, biasanya akan melakukan sesuatu yang tidak baik dengan tenang, tanpa ada rasa gugup dan takut sedikitpun.

Abu Said al Khudri menceritakan bahawa air muka Rasulullah SAW akan berubah apabila melihat sesuatu yang tidak disukainya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Rasulullah SAW adalah lebih pemalu dari gadis-gadis pingitan. Bila melihat sesuatu yang tidak disukainya, kami dapat mengetahui dari wajah baginda” (Mutafaqun alaih)

Sifat malu adalah akhlak yang terpuji yang menjadi sesuatu yang istimewa dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak, dan akhlak islam adalah sifat malu”.   (Hads Riwayat:   Imam Malik).

Perasaan malu adalah sumber utama kebaikan dan kemuliaan dalam pekerjaan, dan sekiranya malu berbentuk manusia, dia akan tampil sebagai individu yang soleh. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  

“Apabila sifat malu itu diumpamakan menjadi seseorang,  maka ia akan menjadi seorang yang soleh dan sekiranya sifat keji itu diumpamakan seseorang, maka ia akan menjadi orang yang jahat”. (Hadis Riwayat:  At Thabrani).

Sifat malu dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:                      

i.   Malu kepada ALLAH SWT                                                             

ii.  Malu kepada diri sendiri

iii. Malu kepada orang lain

Seseorang akan merasa malu kepada ALLAH SWT apabila tidak mengerjakan perintahNYA dan tidak menjauhkan laranganNYA. Orang yang malu kepada ALLAH dengan sendirinya akan malu kepada diri sendiri.

Dia juga akan malu untuk mengerjakan perbuatan yang salah sekali pun orang lain tidak melihat perbuatannya atau mendengar perkataannya. Penolakan terhadap perbuatan itu datang dari dirinya sendiri. Dia akan mengawal hawa nafsunya dari keinginan yang tidak baik.

Ketiga-tiga jenis malu ini mestilah tumbuh segera dan sentiasa terpelihara dalam diri seseorang Muslim, lebih-lebih lagi malu terhadap ALLAH SWT kerana malu terhadap ALLAH inilah yang menjadi sumber dari dua jenis yang lain.

Malu kepada ALLAH adalah malu yang bersumberkan keimanan dan keyakinan kepada ALLAH SWT yang bersifat sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui apa saja yang dilakukan oleh setiap hambaNYA.

Malu juga adalah sebahagian daripada kesempunaan iman. Bahkan, malu dan iman akan selalu hadir bersama-sama. Apabila salah satu hilang, maka yang lain juga akan hilang.

Dalam kehidupan masyarakat hari ini, perasaan malu sudah dilupakan orang. Kebanyakan masyarakat Islam hari ini tidak malu menerima sogokan-sogokan  demi untuk hidup mewah. Selain itu, terdapat pula golongan-golongan tertentu, terutama para remaja, tanpa segan silu lagi berdua-duaan  dengan bukan mahram.  

Jelas di sini bahawa apabila budaya malu tidak lagi dihayati oleh masyarakat, maka manusia akan mudah kehilangan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam dirinya serta sanggup menurut hawa nafsu yang tidak terkendali.

Namun, sekiranya setiap orang menjaga penghormatan yang diberikan ALLAH dengan memelihara sifat-sifat terpuji dalam kehidupan, nescaya tidak akan berlaku gejala-gejala atau perkara perkara yang tidak diingini tersebut.

Jelas di sini betapa pentingnya manusia memelihara sifat malu demi menjaga maruah dan harga diri yang dikurniakan ALLAH SWT. Pertahankanlah kualiti diri sebagai insan yang diciptakan oleh ALLAH dengan sebaik-baik kejadian.

Sama-samalah kita menanam dan mengamalkan akhlak-akhlak murni yang menjadi fitrah insan, khususnya bagi diri, keluarga dan masyarakat seluruhnya. Dengan itu kita akan menjadi insan bertaqwa disisi ALLAH SWT.

Hayatilah Firman ALLAH SWT bermaksud:  

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”. (Surah at Tin: Ayat 4).




Credit: Hashim bin Ahmad                                                         

Ganjaran menolong Mukmin dalam kesusahan

Daripada Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW, sabdanya yang bermaksud, “Sesiapa yang melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang Mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan pada hari kiamat daripadanya. Sesiapa memudahkan orang yang tengah dilanda kesulitan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di satu rumah Allah dengan membaca kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali ketenteraman akan turun kepada mereka, malaikat menaungi mereka di hadapan makhluk yang di sisi-Nya dan sesiapa yang lambat (kurang) amalannya, maka tidak akan dipercepat mengangkat darjatnya,”. (Riwayat Muslim dan al Tirmizi).

Kita hendaklah selalu menolong saudara Mukmin di atas muka bumi ini dengan cara membantu dan melepaskan kesusahan urusan dunia daripada hidup mereka. Ganjarannya, Allah akan melepaskan salah satu kesusahan kita nanti pada hari kiamat.


Hendaklah kita sering mengunjungi masjid dan rumah Allah untuk menghadiri kelas pengajian dan majlis ilmu dan mengajak saudara lain untuk sama-sama mempelajari kitab Allah dan sunah. 

Sesiapa yang malas beramal, kurang atau lambat amalannya maka Allah tidak akan mempercepatkan urusan mengangkat darjatnya. 




Sumber dipetik dari Buku Hadis 40 Imam Nawawi

Sunday, 26 January 2014

Free Wife.....Bahaya ni




Free Wife ke Free Wifi? Tentu ramai yang datang kat Hamburger Cafe yang terletak di daerah Tan Binh, Ho Chi Minh City, Vietnam  ni kan?.


Credit: Danis Wafri

34 selamat bas terbakar

Embedded image permalink

Telupid, Sabah: Seramai 32 penumpang dan dua pemandu sebuah bas ekspres terselamat selepas sempat keluar apabila kenderaan berkenaan terbakar dalam kejadian di Jalan Telupid, dekat sini, kira-kira jam 1 petang tadi
Bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan dipercayai memberhentikan kenderaan di atas jalan sebaik penumpang menjerit ada asap di dalam bas terbabit.
 Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan yang dimaklumkan kejadian itu bergegas ke lokasi untuk mamadam api berkenaan.

Panduan lahir pekerja kelas pertama

Empat pesanan Rasulullah, erat silaturahim, hulur bantuan, memaafkan, berbuat baik


Usaha melahirkan perkhidmatan kelas pertama yang berkualiti dan memuaskan pelanggan, akhlak Rasulullah SAW perlu dijadikan rujukan dan panduan kepada setiap individu sama ada pekerja kumpulan atasan mahupun bawahan.

Akhlak Baginda yang terpuji terbukti melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya bagi engkau (Muhammad) akhlak yang terpuji.” (Surah al-Qalam, ayat 4) 

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi) 


Akhlak Rasulullah SAW bukan saja terpuji, malah boleh dicontohi. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu bagi kamu contoh teladan yang baik.”

Walaupun Rasulullah SAW seorang nabi, Baginda telah menunjukkan teladan akhlak yang mampu dicontohi dalam setiap aspek kehidupan segenap lapisan masyarakat. Ini bertepatan dengan keistimewaan ajaran Islam yang mengutamakan sifat mudah, tidak menyulitkan serta mampu dilaksana.

Pada masa sama kita dituntut berdoa seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Ya Allah tidak ada kemudahan kecuali jika Engkau menjadikannya mudah. Sesungguhnya jika Engkau menghendaki, Engkau berkuasa menjadikan sesuatu yang susah itu mudah.” (Surah al-Baqarah, ayat 201) 


Justeru, berakhlak dengan menunjukkan contoh teladan terbaik adalah kaedah sangat berkesan lagi murah dalam menyampaikan perkhidmatan di samping menjadi terapi ketenangan diri dan kepuasan bekerja.

Empat pesanan dalam akhlak Rasulullah SAW berinteraksi dengan masyarakat sekelilingnya yang setaraf perkhidmatan kelas pertama terutama apabila berdepan pekerja, majikan, pelanggan dan masyarakat boleh dijadikan panduan.

Sabda Baginda SAW: “Satukan sesiapa yang memutuskan silaturahim, berbuat baiklah kepada sesiapa yang berbuat jahat kepadamu, menghulurkan kepada yang bakhil dan maafkanlah sesiapa yang menzalimi kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Keempat-empat pesanan Rasulullah SAW ini menganjurkan kita berbuat kebajikan dengan cara menyambung silaturahim, menghulurkan sedekah dan bantuan, memaafkan orang lain serta berbuat kebaikan.

Uniknya ialah pesanan berbuat baik kepada semua walaupun kepada yang memutuskan silaturahim, bakhil, zalim dan berbuat jahat terhadap kita. Semuanya menggambarkan ketinggian sifat sabar, lembut dan ketabahan hati Rasulullah SAW tidak membalas kejahatan dengan kejahatan.

Khasnya apabila meneliti keadaan masyarakat jahiliah pada zaman Baginda yang dikenali dengan sifat kasar, keras hati dan zalim. 

Kehebatan dan kebenaran akhlak Rasulullah SAW juga terkandung dalam kisah ‘Atha’ bin Yasar yang bertemu Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash, lalu berkata: “Ceritakanlah kepadaku sifat Rasulullah SAW seperti yang disebut dalam Kitab Taurat. Jawab Abdullah: Baiklah! Demi Allah sesungguhnya Rasulullah disebut dalam Kitab Taurat dengan sebahagian sifat Baginda yang disebut dalam al-Quran: Wahai, Nabi! Sesungguhnya Aku mengutus engkau untuk menjadi saksi, memberi khabar gembira, memberi peringatan dan memelihara orang yang ummi. Engkau adalah hamba-Ku dan pesuruh-Ku. Aku namakan engkau orang yang tawakal (berserah diri), tidak jahat budi, tidak keras hati, tidak pula orang yang suka berteriak di pasar-pasar, tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi pemaaf dan memberi ampun. Dan Allah belum akan mencabut nyawanya sehingga dia menegakkan agama selurus-lurusnya, iaitu mereka mengucapkan, “Laa illaaha illallaah” sehingga dengan ucapan itu Allah membukakan mata yang buta dan telinga yang tuli serta hati yang tertutup.” (Riwayat al-Bukhari) 

Ketika menyampaikan perkhidmatan dan urusan kerja seharian, pekerja akan berdepan pelbagai cabaran dan kerenah sama ada berat mahupun ringan. Seperti cabaran komunikasi yang boleh membawa kepada konflik perhubungan jika tidak dihadapi dengan berkesan.

Cara mengatasinya ialah dengan mengikut sunah Rasulullah SAW dan mengamalkan akhlak terpuji. Walaupun berkemungkinan sukar untuk dilakukan pada mulanya, tetapi akan menjadi kebiasaan seterusnya memberi kesan baik demi keberkatan, kepuasan dan kejayaan diri serta organisasi.







Credit: Dr Sharifah Hayaati

6 kanak-kanak maut bermain bom

PESHAWAR, Pakistan 27 Jan. - Sekurang-kurangnya enam orang kanak-kanak maut dan seorang lagi cedera ketika bermain bom buatan tangan di barat laut Pakistan, semalam.

Kanak-kanak tersebut yang berumur sekitar tujuh hingga 12 tahun dikatakan bermain berhampiran kawasan rumahnya di bandar Hangu ketika bom buatan tangan itu meletup, kata ketua polis tempatan, Iftikhar Ahmed.

“Lima kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan terkorban dalam letupan tersebut manakala seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan," katanya . - AFP

Orang ramai dinasihat pakai baju tebal

Kota Bharu: Orang ramai dinasihatkan memakai pakaian tebal berikutan fenomena perubahan cuaca kepada sejuk terutama sekitar jajahan Kuala Krai di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir, berkata walaupun tiada penjagaan khusus perlu dibuat orang ramai berikutan fenomena itu, namun langkah berjaga-jaga masih diperlukan.


“Jika mendapati diri kurang sihat seperti demam atau selesema selepas terdedah udara sejuk, segera ke klinik atau hospital untuk mendapat rawatan.

“Setakat ini, tiada laporan mengenai peningkatan jumlah pesakit dimasukkan ke hospital akibat diserang demam kerana berdasarkan bacaan kaji cuaca, bandar ini mencatatkan pada paras 21 darjah celsius.

“Mungkin disebabkan Kelantan biasa dengan cuaca panas, suhu 21 darjah celsius sudah dianggap sejuk, walaupun di Kuala Krai mencatatkan bacaan 17 darjah celsius,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Selama ini, purata suhu di Kelantan sekitar 25 darjah Celsius pada waktu malam, manakala sebelah siang mencapai 36 darjah celsius.

Pemimpin pemprotes anti-kerajaan Thai mati ditembak

Thai anti-government protesters gather outside a polling station in a bid to prevent people from voting in Narathiwat, southern Thailand on January 26, 2014 (AFP Photo / Madaree Tohlala)

BANGKOK 26 Jan. - Seorang pemimpin pemprotes anti-kerajaan Thailand ditembak mati di sini hari ini ketika sedang memberi ucapan, sementara beberapa lagi pemprotes mengalami kecederaan, kata jurucakap pergerakan itu.

"Suthin Taratin ditembak di kepala ketika sedang memberi ucapan dari sebuah trak pick-up," kata Akanat Promphan dalam satu sidang akhbar.

Pusat Kecemasan Erawan Bangkok mengesahkan mengenai kematian itu dan menyatakan sembilan yang lain mengalami kecederaan dalam kejadian tembakan yang berlaku di pinggir bandar raya itu. - AFP

Saturday, 25 January 2014

Sahabat sejati

Sahabat sejati
Kedua-dua haiwan itu kini dikatan tidak boleh berjauhan.

PERIBAHASA ‘bagai anjing dengan kucing’ biasanya dirujuk kepada individu yang sering bertelagah.

Namun, peribahasa itu tidak lagi relevan apabila kedua-dua haiwan itu dikatakan menjadikan ‘sahabat setia'.

Pemilik anjing Diane Gagliano yang bekerja di Perkhidmatan haiwan Seminole County berkata, anjingnya mengutip kucing itu dari tepi jalan selepas dibuang oleh pemiliknya.

“Kucing lumpuh itu berusia kira-kira dua tahun. Anjing saya membawanya pulang ke rumah dan kini kedua-duanya bersahabat,” katanya dipetik DailMail

Menurutnya, jika ada sesiapa yang cuba menyentuh kucing itu, anjingnya akan melindungi kucing terbabit.

Melihat keakraban kedua-dua haiwan itu, beliau kini berusaha membuat kempen menyelamatkan kucing dan anjing terbiar di sekitar rumahnya di Florida, Amerika Syarikat.

Lelaki terbukti lebih pelupa

Los Angeles: Satu kajian akhirnya, membuktikan bahawa lelaki lebih pelupa berbanding wanita. 

Kajian yang disiarkan dalam jurnal Pusat Bio-Perubatan Psikologi, (BMC Psychology) mendedahkan hasil kaji selidik terhadap 48,000 responden. Mereka ditanya sembilan soalan mengenai memori, termasuk sama ada mereka boleh ingat semula apa yang pernah dilakukan setahun lalu dan sama ada mereka ingat butiran dalam sesuatu perbualan.


Terbukti lapan daripada sembilan soalan ditanya menunjukkan lelaki berdepan kesukaran untuk mengingat semula. 

Kedua-dua jantina menghadapi masalah dengan subjek yang sama khususnya nama dan tarikh. Kajian turut mendapati, bagi kedua-dua jantina pendidikan tinggi ada hubung kait dengan memori yang lebih baik dan tekanan serta keresahan membawa kepada sifat pelupa. 


Usia bukan faktor pelupa 

Satu lagi penemuan menarik menunjukkan usia bukanlah faktor yang memainkan peranan utama untuk menjadi pelupa seperti yang disangka. Kajian mendapati wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun mengalami tahap lupa yang sama. 


“Mengejutkan apabila lelaki lebih banyak lupa berbanding wanita. Ia tidak pernah didokumenkan sebelum ini. Agak mengejutkan juga kerana lelaki berusia 30 dan 60 tahun mengalami tahap lupa yang sama. Ternyata keputusan ini tidak kabur,” kata Profesor Jostein Holmen dari Universiti Sains dan Teknologi Norway (NTNU). - 

Friday, 24 January 2014

Bacaan kuat ganggu makmum

Solat berjemaah merupakan satu tuntutan dalam Islam. Secara asas, pahala solat berjemaah lebih banyak daripada solat sendirian dengan 27 ganjaran sebagaimana sabit dalam hadis.

Namun, begitu wujud sikap yang mungkin menjadi kebiasaan segelintir masyarakat untuk membaca dengan suara yang kuat. Bacaan yang kuat hingga mengganggu orang lain yang sedang bersolat adalah tidak wajar. 

Dalam hadis riwayat al-Tirmizi daripada ‘Ubadah ibnu Somit menceritakan bahawa Nabi SAW bersolat Subuh. Ketika itu bacaan menjadi berat ke atas Nabi SAW. Apabila baginda selesai menjadi imam solat tersebut, Nabi SAW bertanya adakah para sahabat membaca surah ketika mereka menjadi makmum di belakang imam mereka. Para sahabat menjawab: "Ya". Maka Nabi SAW menyuruh mereka agar tidak lagi membaca apa-apa surah ketika di belakang imam dalam solat melainkan dengan surah al-Fatihah sahaja. Hadis ini menjadi hujah bagi para ulama yang menyatakan bahawa surah al-Fatihah adalah wajib dibaca dan ia rukun solat.

Namun saya ingin menarik perhatian terhadap isu bacaan yang kuat. Bacaan yang kuat daripada para makmum mengganggu solat dan tumpuan imam solat. Perkara ini tidak dibenarkan oleh Nabi SAW. 

Mengambil semangat tersebut, adalah tidak wajar jika bacaan seseorang terlampau kuat hingga mengganggu jemaah yang berada di sebelahnya.

Maksud bacaan bukanlah mendengarkan orang yang berada di sebelah kita. Terdapat salah faham bahawa bacaan mestilah didengari oleh orang lain. Jika tidak didengari maka bacaan tidak sah. Maka mereka berlumba menguatkan suara. Sebaliknya maksud bacaan ialah sekadar untuk mendengarkan diri kita sendiri. Kadar ini sudah memadai dan mencukupi untuk dikira sebagai bacaan.

Bagi tujuan menegur, seeloknya ia dilakukan dengan baik dan bersopan. Kesilapan menyaringkan bacaan bukanlah satu dosa yang besar. Mungkin seseorang itu ada masalah pendengaran hingga menguatkan bacaan lebih daripada kebiasaan. Mungkin kerana was-was takut solat tidak sah jika bacaannya tidak kuat. Maka jemaah yang ingin menegur perlu menilai banyak aspek sebelum menegur.

Seeloknya juga perkara ini diajukan kepada guru agama yang mengajar agar dapat diperbetulkan semasa sesi kuliah agama.

Suhu sejuk di pantai timur Johor cecah 17 °C

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Beberapa buah kawasan di negeri pantai timur dan Johor dilanda cuaca sejuk apabila mencatatkan suhu purata serendah 17 darjah celsius.

Pengarah Pusat Ramalan Jabatan Meteorologi, Muhamad Helmi Abdullah berkata, keadaan yang dijangka berlanjutan sehingga minggu depan itu berlaku ekoran perubahan aliran udara sejuk dan tiupan angin yang berlaku di Laut China Selatan.

Katanya, suhu berkenaan antara yang paling rendah pernah dicatatkan rekod Stesen Meteorologi sejak lebih 20 tahun lalu.

“Kita pernah catat suhu yang sama sebelum ini di beberapa kawasan di negeri pantai timur dan kali ini berlaku di Kuala Krai, Kelantan apabila suhu dicatat sekitar 17 darjah celsius.

“Bagaimanapun, ini adalah fenomena biasa yang berlaku pada musim monsun dan keadaan cuaca negara kita dipengaruhi oleh aliran sejuk dari China dan Siberia," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, terdapat beberapa sumber di internet yang memaklumkan beberapa kawasan dilanda cuaca sejuk luar biasa antaranya Gua Musang, Kelantan yang mencatatkan suhu purata 19 hingga 21 darjah celsius menyamai suhu di Cameron Highlands sedangkan kebiasaannya adalah 30 hingga 35 darjah celsius.

Selain itu, laman perkongsian video, YouTube turut menggemparkan orang ramai apabila memaparkan rakaman sebuah daerah di Indonesia dilanda salji, bagaimanapun belum ada pihak mengesahkan kejadian itu sehingga kini.

Wednesday, 22 January 2014

Umur panjang nikmat tidak ternilai


Daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki telah berkata: “Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia?” Rasulullah berkata: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan”. Berkata lelaki itu lagi: “Siapakah sejahat-jahat manusia?” Maka Rasulullah berkata: “Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan”. (Riwayat Tirmizi) 

Nikmat kehidupan yang dikurniakan adalah gambaran Allah SWT amat mengasihi dan menyayangi hamba-Nya. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan.


Terlalu banyak nikmat dilimpahkan kepada isi dunia ini dan yang perlu kita lakukan ialah memanfaatkan setiap satunya dengan tujuan mendapat keberkatan daripada-Nya. 

Nikmat tidak terhitung 
Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup dihadapi, tetapi ternyata kemewahan hidup yang Allah SWT kurniakan tidak terkira dengan jari. Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir dan berkongsi kehidupan dengan penuh kasih sayang sesama makhluk. 

Tentulah kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah yang menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan. 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18) 

Ada kala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat, bukannya sedia ada untuk setiap manusia kerana ada orang lain yang tidak dapat merasainya. Sebab itulah kita tidak harus lupa mensyukuri segala kemurahan hati Allah SWT menganugerahkan kehidupan yang lengkap. 

Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa menyebabkan nikmat dikurniakan tidak memberi apa-apa faedah kepada mereka. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan tetapi dihabiskan melakukan maksiat. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Riwayat Tirmizi) 

Guna tenaga, akal cari rezeki 

Adanya tenaga dan akal gunalah untuk mencari rezeki halal. Apa salahnya merasa nikmat yang Allah SWT berikan percuma untuk dilaburkan bagi mendapat nikmat lainnya. Buat yang berhati-hati menjaga amanah Allah SWT, mereka tidak akan alpa dengan kemewahan dunia kerana tahu itu semua pinjaman saja. 

Sebaliknya mereka berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu supaya dapat dikongsi dengan orang lain yang kurang berkemampuan. Orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan adalah orang yang tidak membazirkan nikmat Allah SWT.



Credit: Nik Salida Suhaila

Tuesday, 21 January 2014

Kassim Masdor meninggal dunia

Kassim Masdor meninggal duniaKOMPOSER tersohor era 1950-an, Kassim Masdor, meninggal dunia di Hospital Besar Singapura, akibat radang paru-paru. -Foto Nashairi mohd Nawi
KUALA LUMPUR: Komposer tersohor era 1950-an, Kassim Masdor, 76, meninggal dunia di Hospital Besar Singapura (SGH), akibat penyakit radang paru-paru kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Sementara itu, laman sosial dibanjiri ucapan takziah selebriti yang berkongsi kesedihan dengan pemergian komposer itu antaranya Datin Seri Tiara Jacquelina dan Melissa Saila.


Antara penyanyi yang mendendangkan lagu beliau ialah Ahmad Jais, Sanisah Huri, Kartina Dahari, Rafeah Buang, Sharifah Aini, Ahmad Daud dan Sudirman dengan lagu popularnya termasuk Bahtera Merdeka. 

Berita pemergian artis veteran itu disahkan rakan baiknya, Datuk Ahmad Nawab. Menurut Ahmad, 81, Allahyarham Kassim dimasukkan ke hospital kira-kira empat hari lalu akibat menghidap asma.

“Sepatutnya Allahyarham datang ke Malaysia pada 10 Januari lalu untuk menonton konsert Salamiah Hassan, namun dia tiba-tiba sakit sehingga perlu dimasukkan ke hospital.

“Hari ini, hati saya terdetik untuk menghubunginya untuk mengetahui keadaan kesihatannya tetapi tidak berjawab.

“Mujurlah saya ada seorang rakan di Singapura dan kira-kira pukul 10.15 malam ini dia menghubungi saya sambil menangis memberitahu Kassim sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Blok 512 Choa Chu Kang St. 15 #04-258, Yew Tee North 5 dan akan dikebumikan sebelum solat Zuhur, esok


‘Biar mati, asalkan tak ditawan’



Almasi Ansyah
Almasi Ansyah

“APA nak jadi jadilah. Kalau mati... matilah aku hari ini,” kata Almasi Ansyah, 27, pemuda Kampung Senallang Lama, Semporna, Sabah.

Itulah tekad anak muda yang mula-mula menerkam pengganas Kiram bersama abangnya, Boi Ansyah, 29, dan Mohd Saparudin Abdul Hatim, 33, dalam kejadian penduduk kampung itu ditawan seorang lelaki pada 3 Mac 2013.

Sinar Harian yang berkesempatan berkunjung ke kampung itu melihat penduduknya masih lagi dalam kebimbangan terutamanya menerima tetamu yang tidak mereka kenali ekoran insiden pencerobohan bersenjata yang dilancarkan pengganas Kiram.

Menceritakan peristiwa pagi Ahad itu, Almasi bersama 200 penduduk Kampung Senallang Lama dikejutkan dengan teriakan seorang lelaki yang berusia 50an, ‘akulah yang menembak mati polis malam tadi’ yang turun dari arah sebuah bukit sambil membawa rifal M16 memerintahkan penduduk kampung berhimpun di dalam masjid kampung itu.

Almasi yang sedikit pendiam berkata, di dalam masjid kampung itu, lelaki tersebut dilihat sedang menelefon seseorang berkemungkinan rakannya yang juga pengganas Kiram.

“Kami menjadi takut melihat lelaki itu seperti tidak waras dan mengarahkan kami semua keluar dari rumah dan berkumpul di masjid.

“Kanak-kanak dan wanita menangis ketakutan... lebih-lebih lagi lelaki separuh abad itu melepaskan satu das tembakan ke lantai dalam masjid,” katanya.

Menurutnya, lebih kurang sejam dikurung, penduduk kampung tersebut kemudiannya diarahkan berjalan menuju ke sebuah bukit kira-kira satu kilometer dari masjid itu tanpa ada sedikit pun belas kasihan. Ada orang tua dan kanak-kanak yang tidak larat berjalan dipaksa juga berjalan sejam lamanya sehinggalah mereka tiba di sebuah pondok di kaki bukit yang tingginya kira-kira 300 meter.

“Saya lihat lelaki itu duduk di bawah pokok nangka seperti menunggu rakannya. Ketika itulah saya bersama abang dan Mohd Saparudin mula merancang untuk bertindak.


Serang beramai-ramai

“Kami mengambil kedudukan masing-masing di mana saya duduk di hadapan sebelah kiri. Abang saya di sebelah kanan dan Saparudin di sebelah belakang menunggu peluang untuk melakukan serangan,” katanya.

Almasi berkata, tidak berapa lama selepas itu, lelaki yang mengacukan M16 ke arah orang kampung meneguk minumannya.

Ketika pengganas Kiram itu hendak meletakkan botol minumannya, masa itulah mereka bertiga serentak menyerang lelaki tersebut.

“Mujurlah saya dapat merampas senjata di tangannya, manakala abang saya dapat melepaskan tumbukan ke arah mukanya manakala Saparudin menendang dari arah belakang sehingga dia rebah.
“Apabila rebah, penduduk kampung yang ketakutan pada mulanya, terus menyerang dan memukul lelaki itu dengan kayu dan batu... malah wanita dan kanak-kanak juga turut memukul pengganas Kiram itu seperti melepaskan marah,” katanya.

Menurutnya, tidak berapa lama selepas itu lelaki tersebut tidak lagi bergerak dan apabila diperiksa lelaki itu sudah tidak lagi bernyawa menyebabkan penduduk kampung yang ditawan melarikan diri dan segera melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Ketika ditanya apa yang menyebabkan dia berani bertindak sedemikian, Almasi berkata, dia yang pada awalnya takut, secara tiba-tiba menjadi berani apabila melihat kanak-kanak dan wanita menangis ketakutan.

"Mujurlah rancangan kami untuk menyerang lelaki itu berjaya. Sekiranya gagal mungkin ramai penduduk yang menjadi korban pengganas Kiram yang sehari sebelum itu membunuh enam anggota polis dalam satu serang hendap di Kampung Air Simunul.

“Selepas kejadian itu, ramai penduduk kampung melarikan diri kerana bimbang rakan lelaki itu datang semula dan membalas dendam sehinggalah pasukan keselamatan mengisytiharkan kampung itu selamat,” katanya.


Insiden pencerobohan

Sementara itu, Saparudin melahirkan kesyukuran kerana mereka terselamat dalam insiden tersebut.

Tetapi sehingga kini mereka masih lagi tinggal dalam kerisauan dan mengharapkan pihak polis meningkatkan kawalan di kampung itu.

“Jarak kampung ini dengan Simunul bukannya jauh sangat, kami bimbang tentang keselamatan anak isteri kami yang masih trauma dengan kejadian tersebut,” katanya.

Kejadian yang berlaku di Kampung Senallang Lama ini merupakan satu daripada insiden pencerobohan pengganas Kiram yang menuntut Sabah daripada Malaysia.

Malah pada 2 Mac 2013, kumpulan pengganas Kiram telah menyerang hendap anggota polis di Kampung Air Simunul sehingga mengorbankan enam perwira negara.

Tindakan yang dilakukan oleh anak jati kampung itu adalah atas rasa tanggungjawab untuk memastikan penduduk kampung itu dapat diselamatkan sebelum menjadi mangsa pengganas Kiram yang mahukan mereka dijadikan tebusan.

Keberanian yang ditunjukkan oleh Almasi, Boi dan Saparudin sewajarnya menjadi contoh kepada golongan anak muda bagaimana kedaulatan negara ini sewajarnya dipertahankan meskipun terpaksa membahayakan nyawa sendiri.




Credit: ZULKHAIRIL ZAINUDDIN & MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN/Sinar harian

Lelaki terkotor cari isteri



DIA solo dan sedang mencari cinta tetapi untuk memenangi hatinya, anda perlu menerima gaya hidupnya yang pelik.
Amou Haji, 80, yang tinggal di sebuah kawasan terpencil di Kampung Dejgah di wilayah Fars, selatan Iran tidak pernah mandi selama 60 tahun.
Dia mengatasi rekod terakhir manusia paling lama tidak mandi milik lelaki India berusia 66 tahun, Kailash Singh, yang tidak mandi selama lebih 38 tahun.
Tidak memeranjatkan apabila mendapati cara hidup peliknya itu disebabkan dia pernah melalui peristiwa pahit semasa mudanya dan selepas itu memutuskan untuk memencilkan diri.
Dia juga pernah melarikan diri daripada seorang lelaki muda yang menawarkan untuk memandikannya kerana dia percaya kebersihan akan membawa penyakit kepadanya.
Dia membuktikan pendiriannya itu betul kerana masih sihat walaupun sudah tua.
Bakar rambut
Dia juga tidak suka badannya terkena air, malahan jika disuruh mandi, Amou akan marah.
Kini, badannya dipenuhi tanah hinggakan warna kulitnya seakan-akan warna tanah. Ini menyebabkan ada yang menyangka dia sebuah patung batu sekiranya berdiri tegak tidak bergerak.


Bukan sahaja tidak gemar mandi, dia juga tidak makan makanan yang elok dan segar malahan tidak minum air bersih.
Makanan kegemaran Amou ialah daging landak busuk yang ditemuinya di tempat pembuangan sampah.
Malah, dia dengan selamba menghisap paip yang diisi dengan najis haiwan, bukannya tembakau.
Dia juga bertindak memakai topi keledar perang bukan untuk menentang musuh di medan pertempuran sebaliknya bagi melindungi diri daripada musim sejuk.
Amou mempunyai beberapa tempat tinggal iaitu lubang di dalam tanah yang menyerupai kubu pertahanannya selain pondok yang dibina oleh penduduk yang kasihankan keadaannya.
Dia menggunakan cermin kecil untuk memeriksa dirinya, tetapi pilihannya tentulah cermin sisi kereta.
Berbumbungkan langit yang berbintang, pondok kecilnya disiapkan tanpa perlu bimbang tentang ansuran bulanan. Bantal dan selimut ialah 'kusyen lembut' bumi yang memeluknya setiap masa.
Malah, dia melalui hari-harinya tanpa perlu bimbang akan bil gas dan elektrik yang menunggu untuk dibayar.
Dia juga tidak takut dirompak pada malam hari kerana dia tidak pernah berharta.
Dia hanya sibuk melakukan aktiviti hariannya iaitu minum 5 liter air sehari menggunakan tin minyak yang sudah berkarat berbanding gelas kristal mewah.
Ketika rambutnya mulai panjang, dia tidak memotongnya menggunakan gunting sebaliknya bertindak membakarnya menggunakan api.
Meski hidupnya kotor, Amou dikenali sebagai orang baik. Nama 'Amou' itu sendiri merujuk kepada panggilan untuk orang tua yang baik terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Itik kudung dapat berjalan semula guna kaki bionik

SICAMOUS, Kanada - Seekor itik yang kudung kaki kanan kini mampu berdiri dan berjalan semula selepas dipakaikan kaki bionik.
Sebuah syarikat mencipta kaki palsu bionik menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi (3D).
Itik berusia lima bulan itu, Dudley mengalami kecederaan teruk pada bahagian kakinya apabila diserang sekumpulan ayam ketika berada di sebuah pusat perlindungan haiwan di sini pada Ogos tahun lalu.
Menurut akhbar The Huffington Post, kaki bionik itu direka oleh seorang jurutera mekanikal, Terence Loring menggunakan teknologi percetakan 3D.
Kaki palsu yang diperbuat daripada bahan plastik tahan lasak itu mengambil masa selama dua minggu untuk dihasilkan oleh syarikat Proto3000 di Ontario, Kanada. - Agensi

Cadang bina terowong dasar laut, jambatan hubungkan Johor-Riau

Lokasi Riau Kabupaten Pelalawan.svg
Peta lokasi Kabupaten Pelalawan

JOHOR BAHRU 20 Jan. - Sekumpulan pengkaji daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pihak berkuasa Kabupaten Pelalawan di Riau, Indonesia mencadangkan sebuah jambatan dan terowong dasar laut dibina bagi menghubungkan Malaysia dengan Indonesia.

Dekan Construction Research Alliance UTM, Prof. Dr. Muhd. Zaimi Abd. Majid berkata, projek dengan anggaran kos RM15 bilion tersebut melibatkan gandingan terowong bawah laut sepanjang 17.5 kilometer dan beberapa jambatan termasuk yang terpanjang 13 kilometer dari Kukup, Pontian ke Pulau Karimun, Riau di Sumatera.

Malaysia, Indonesia mahu bina terowong RM15b
Tengku Dahril (kiri) bertukar bertukar dokumen perjanjian dengan Azlan


"Projek ini lebih efektif dari segi kos dan jarak jika dibandingkan dengan rancangan membina jambatan yang menghubungkan Dumai dan Melaka yang dianggarkan menelan belanja RM44.3 bilion.

"Kajian awal menunjukkan projek itu bakal memberi impak ekonomi yang besar antara Riau dan Johor malah risiko dan kesan kacau ganggu alam sekitar yang rendah jika dibandingkan rancangan jambatan Dumai-Melaka atau Batam-Singapura," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sultan Iskandar UTM di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dr. Wahid Omar; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman; Bupati Pelawan, Muhammad Harris dan Pengerusi Yayasan Amanah Pelawan, Prof. Dr. Tengku Dahril.

Menurut, Muhd. Zaimi, projek berkenaan telah menerima dana daripada dua pihak yang mempunyai minat tinggi terhadap projek tersebut, namun perincian mengenainya tidak dapat didedahkan.

Tambahnya, pembinaan terowong dasar laut seperti yang menghubungkan Paris, Perancis dan London, United Kingdom itu tidak akan mengganggu perjalanan kapal dagang di Selat Melaka kerana tiada struktur yang dibina di atas permukaan laut.

"Kita akan menggunakan kaedah 'boring' seperti yang digunakan dalam pembinaan Mass Rapid Transit di Lembah Klang dan akan memakan masa tiga hingga lima tahun untuk disiapkan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Harris berkata, projek itu akan memanfaatkan Malaysia kerana Riau adalah wilayah kedua terkaya di Indonesia selepas Kalimantan Utara dari segi minyak dan gas asli.

Katanya, Riau yang berada dalam Koridor Pembangunan Sumatera juga adalah kawasan penanaman kelapa sawit terbesar di Indonesia.

Sunday, 19 January 2014

KEPENTINGAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK


Bismillah.

Potensi anak perlu digali seawal mungkin


Duhai ibubapa yang bijaksana,

Cukupkah sekadar kita melahirkan seorang anak dari dalam rahim kemudian dia membesar begitu sahaja tanpa sebarang dorongan, didikan dan pentarbiyyahan?Tidakkah kita mahu anak kita hidup dengan penuh makna di setiap minit penghidupannya? Dia melihat burung, pokok dan ikan dan mengaitkan ia dengan kebesaran Allah lalu dia mengira bilangannya dan mengejanya pula dari gabungan huruf-huruf yang anda telah ajarinya?

 Subhanallah...

Allah telah berfirman di dalam kitab suci Al Qur'an:

Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

 [As-Shafaat :100] 

 Melahirkan anak soleh memerlukan ibubapa yang bijaksana.Bijaksana itu adalah ibubapa yang soleh yang sudah tentunya berilmu. Kita tidak akan mensia-siakan amanah Allah swt. Kita mahu anak kita menjadi hamba Allah yang berguna di dunia dan juga di akhirat.

Pentingkah pendidikan awal kanak-kanak?

Ya, ianya sangat penting. Seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang berilmu, soleh, sabar, penyayang, bercita-cita tinggi amatlah berbeza dengan seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang porak peranda, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak berkasih sayang dan tidak punya arah tuju.

Di dalam Islam, pendidikan awal anak bukan bermula daripada dia lahir.Tetapi ianya bermula daripada sebuah perkahwinan lagi. Seorang suami akan memilih seorang ibu yang baik untuk anaknya. Islam menganjurkan dan menggalakkan umatnya berkahwin adalah kerana perkahwinan itu adalah untuk menjaga maslahah kemasyarakatan.

1. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk memelihara benih-benih manusia.

Allah berfirman di dalam surah An-Nisa' ayat 1:

Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, lalu dijadikan daripadanya pasangan (suami isteri), lalu diperkembang biakkan daripada keduanya lelaki dan wanita yang banyak.

 
2. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi memelihara keturunan.

Dengan sebuah perkahwinan yang barakah dan halal di sisi syariat Islam, seorang anak itu telah selamat daripada firnah dunia dan manusia. Mereka akan jadi tenteram kerana ada keturunan yang jelas. Ini dapat memelihara mereka daripada terjebak dengan masalah moral dan akhlaq.

 
3. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi suami isteri membina keluarganya.

Dengan perkahwinan, suami isteri akan sentiasa bercita-cita untuk mendidik dan membangunkan rohani anak-anak. Suami akan berusaha keras mencari rezeki untuk memberi makan kepada anak-anak dan isteri pula akan berganding bahu memberikan pendidikan terbaik buat anak.

4. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk menyemarakkan kasih sayang dan kecintaan.

Seorang isteri akan sentiasa merindu suaminya. Suami pula akan mencintai isteri. Ibubapa pula akan menyayangi dan mempunyai rasa belas kasihan terhadap anak-anaknya. Perasaan ini akan sentiasa wujud di dalam keluarga yang barakah dan berada di dalam redha Allah. Nilai kasih sayang yang tersebar di dalam sebuah keluarga akan membina keluarga yang bahagia. Apabila keluarga sudah saling sayang menyayangi, maka anak-anak akan membawa satu contoh tauladan kepada masyarakat di luar pula.

Begitulah hebatnya sebuah perkahwinan.Perkahwinan yang barakah dapat melahirkan insan yang hebat iaitu anak-anak anda sekarang.

Selepas berkahwin, maka suami isteri akan bercita-cita untuk mendapat seorang anak. Tiada yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri apabila mereka diberitakan bakal menimbang cahaya mata. Namun perlu diambil kira, adab-adab ketika 'bersama' juga akan memberikan kesan terhadap anak yang dilahirkan. InsyaAllah saya akan sentuh berkenaan perkara itu di dalam post saya akan datang.

Apabila sudah lahir seorang bayi, maka bermulalah fasa pendidikan yang seterusnya.Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak merupakan waktu di mana perkembangan otak berlaku dengan pesat.Walaupun perkembangan otak terus berlaku selepas itu tetapi tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling kritikal.Ketika ini otak lebih fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu.Berat otak bayi ketika dilahirkan ialah 25% daripada berat otak orang dewasa. Ketika mencapai usia 3 tahun, otak bayi telah berkembang menjadi berjuta- juta sel (yang terdiri dari neurons dan sel-sel otak yang lain). Sel-sel ini kemudiannya bercantum untuk membentuk berjuta-juta “jalinan” (synapses). Jalinan antara sel ini kemudian membentuk pusat kawalan yang kompleks bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan spiritual.

Segala perbuatan dan percakapan kita terhadap seorang anak walaupun masih kecil, akan mudah diserap oleh mereka. Jadi berhati-hatilah ketika anda berkata dan melakukan sesuatu.

Begitulah peri pentingnya pendidikan awal anak. Ini menentukan peribadinya pada masa akan datang.



Credit:Ashikin Hashim