Sunday, 10 November 2013

Suspek kes rompak dan tembak mati pegawai bank AmBank diberkas

KUALA LUMPUR: Suspek yang dikehendaki polis bagi kes rompak dan tembak mati seorang pegawai bank AmBank di Subang Jaya, 23 Oktober lalu, berjaya diberkas di Kota Tinggi, awal pagi tadi.
Bertindak atas maklumat, Pasukan Cantas Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menangkap seorang lelaki di Kampung Belungkor, Kota Tinggi pada jam 7 pagi tadi, demikian menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. 
"Pihak polis percaya dengan penahanan suspek utama ini, kes berkenaan berjaya diselesaikan," katanya. 



Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter rasmi beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang turut memberikan kerjasama sehingga tertangkapnya suspek berkenaan.
 Suspek utama dalam kes menembak mati pegawai AmBank, Norazita Abu Talib ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Nazri Omran dan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang memakai T Shirt berwarna hitam dan berseluar jeans biru dibawa ke Kompleks Mahkamah Majistret di sini pada jam 3.17 petang.

Dia dikawal ketat oleh lebih sepuluh anggota polis bersenjata dibawa ke Mahkamah Majistret dengan tangan digari ke belakang.

Suspek kemudian dibawa keluar pada jam 3.40 petang dengan kereta polis dan diiringgi lima kereta polis yang lain.

Dalam kejadian 23 Okt lalu, Norazita meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak oleh suspek di Subang Jaya.

Suspek juga melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000.

No comments:

Post a Comment