Wednesday, 6 November 2013

150 askar Bangladesh dijatuhi hukuman mati

 150 askar Bangladesh dijatuhi hukuman matiAnggota Raifal Bangladesh (BDR) diiringi meninggalkan mahkamah selepas hukuman dijatuhkan ke atas mereka. - Foto AFP
Semua sabit kesalahan menderhaka pada 2009

Dhaka: Mahkamah Bangladesh semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas 150 anggota tentera dan memenjarakan beratus-ratus yang lain, atas kesalahan menderhaka berikutan peranan mereka dalam pemberontakan yang mengorbankan ramai pegawai atasan pada 2009.

Kira-kira 823 anggota tentera didakwa berhubung pemberontakan yang menyaksikan 74 orang termasuk pegawai ditetak sehingga mati, diseksa atau dibakar hidup-hidup sebelum mayat mereka dibuang ke dalam pembetung atau dalam kubur cetek. 


Mahkamah khas mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas 150 askar berhubung pemberontakan itu, yang berpunca daripada bayaran gaji rendah serta kemiskinan Anggota Raifal Bangladesh (BDR) yang meronda di sempadan negara itu. 

“Sekurang-kurangnya 150 anggota BDR dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh pegawai tentera,” kata pendakwa utama, Baharul Islam, di luar mahkamah di Dhaka.



400 dipenjara

Seramai 400 lagi dipenjarakan, dengan tempoh daripada seumur hidup hingga beberapa tahun bagi kesalahan masing-masing, manakala sekurang-kurangnya 270 lagi dibebaskan. 
“Mereka terlalu zalim sehingga mayat pun tidak diberikan penghormatan,” kata Hakim Mohammad Akhtaruzzaman, kepada mahkamah yang penuh sesak ketika membacakan keputusan.

Seramai 823 askar didakwa membunuh, mendera, bersubahat dan kesalahan lain berhubung pemberontakan selama 30 jam yang bermula di ibu pejabat di BDR di Dhaka dan merebak ke pangkalan lain di seluruh negara.


Salahkan kemarahan

Hampir 6,000 tentera disabitkan oleh berpuluh-puluh mahkamah khas berikutan kejadian itu. Siasatan rasmi menyalahkan kemarahan selama bertahun-tahun anggota tentera kerana rayuan menaikkan gaji dan memperbaiki layanan kepada tentera biasa tidak diendahkan.

Hakim berkata, tentera perlu diberi gaji lebih baik dan keistimewaan bagi mengurangkan kemarahan, berkata mereka tidak mampu menghantar anak ke sekolah tentera. - AFP

No comments:

Post a Comment