Sunday 3 November 2013

Senjata makan tuan: Lelaki maut ditikam senjata sendiri

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Umpama senjata makan tuan, itulah yang terjadi kepada seorang lelaki yang maut akibat ditikam pisau miliknya ketika cuba melakukan samun di Lorong Meranti 3, Pudu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahamd berkata, dalam kejadian kira-kira 10 malam, suspek warga tempatan berumur 24 tahun itu dilaporkan bersama dua lagi rakannya cuba menyamun seorang lelaki warga tempatan yang berjalan di kawasan tersebut.

Namun, mangsa melawan kumpulan terbabit dan dalam pergelutan itu dia berjaya merampas pisau milik suspek lalu menikam paha kiri suspek.
"Suspek mengalami kecederaan parah di paha dan rebah di laluan pejalan kaki.

"Pada masa sama, seorang kawan suspek masih cuba melawan mangsa bagaimanapun akhirnya melarikan diri," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi rakan suspek membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.

Zainuddin berkata, suspek meninggal dunia di HKL kira-kira 11 malam manakala rakan yang menghantar suspek ke hospital itu turut ditahan polis di hospital berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment