Tuesday, 12 November 2013

Mencintai kerana tuhan angkat kedudukan di syurga

Mencintai seseorang atau sesuatu kerana Allah SWT antara amalan paling afdal serta mudah untuk mengangkat darjat hamba yang mukmin dalam syurga. Cinta adalah tugas hati dan amalan ini menuntut kita mencintai kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW telah menyampaikan berita gembira buat seluruh umat Islam bahawa sesiapa yang mencintai seseorang kerana Allah SWT, ia akan dihimpunkan bersama orang yang dicintainya dan diangkat darjat sama seperti orang dicintainya pada hari kiamat. 


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa mencintai seorang lelaki kerana Allah, kemudian kedua-duanya masuk syurga, maka jika orang yang dicintai itu lebih tinggi kedudukannya daripada yang seorang lagi, maka ia akan disamakan darjatnya dengan sahabat yang mencintainya kerana Allah.” (Riwayat al-Tabarani dan al-Bazzar) 


Antara keistimewaan sifat berkasih sayang kerana Allah SWT ia amalan paling kuat dalam mengangkat kedudukan di syurga nanti dan istana orang yang saling mencintai adalah satu tahap dan penduduk syurga lain sentiasa memerhati istana itu dari jauh.

Justeru, dalam menyayangi seseorang itu kita perlu berhati-hati kerana dikhuatiri kita akan dihimpunkan bersama mereka kelak. Tambahan, sekarang ini banyak kita lihat seseorang itu menyayangi seorang yang lain dan dijadikan idola mereka.

Perasaan cinta itu mendorong mereka mengikuti setiap perkembangan, malah ada yang hidupnya dipengaruhi orang yang dicintai dari segi percakapan, tingkah laku serta cara berpakaian. Ada juga yang lebih mencintai idola mereka berbanding ahli keluarga sendiri.

Mereka tidak sedar sesiapa yang mencintai satu kaum, mereka akan dihimpunkan bersamanya kelak. Jika dinilai diri, siapakah agaknya orang yang akan berhimpun dengan kita nanti. 

Oleh itu, pilihlah siapa yang kita ingin bersama di akhirat nanti. Apakah kita tidak teringin untuk bersama kalangan orang soleh yang dijanjikan syurga di akhirat nanti? Penuhi hajat itu dengan mencintai golongan mukmin kerana Allah SWT.

No comments:

Post a Comment