Google+ Followers

Wednesday, 6 November 2013

Kereta terbang dibina di Slovakia

AEROMOBIL 2.5 mampu memuatkan hanya dua orang penumpang dalam satu masa.



BRATISLAVA - Sebuah kereta luar biasa yang mampu terbang dibangunkan oleh sebuah syarikat Slovakia di sini, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Lapor akhbar itu lagi, kereta tersebut dapat mencegah pemandu daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dengan meluncur ke udara.
 
Dibina menggunakan rangka keluli ringan dengan lapisan karbon, kereta sepanjang 6 meter itu mempunyai dua sayap sepanjang 8.2 meter apabila ia berubah menjadi pesawat.
Kenderaan tersebut boleh memuatkan dua orang penumpang.
 
Ia yang dinamakan AeroMobil 2.5 mampu mencapai kelajuan maksimum 159 kilometer/sejam (km/j) di atas jalan.
Namun, kenderaan tersebut boleh mencecah kelajuan 200 km/j ketika terbang di udara dan mampu terbang sejauh hampir 500 kilometer.
 
Kenderaan hibrid itu merupakan ilham dua pereka tempatan iaitu Stefan Klein dan Jurak Vaculik yang beribu pejabat di Bratislava.
AeroMobil 2.5 telah diperkenalkan kepada umum di sebuah pameran udara yang diadakan di Montreal, Kanada.
 
Kenderaan seberat 450 kilogram itu dilengkapi enjin Rotax 912 ULS yang menggunakan petrol yang dijual di stesen-stesen minyak.
 
Menurut perekanya, kereta itu boleh dipandu di atas jalan raya dan muat untuk diletakkan di petak parkir apabila kedua-dua sayapnya dilipat. - Agensi