Monday, 4 November 2013

Misi Bantuan Kecemasan Mercy Ke Syria: Doktor rawat pesakit dituduh belot

Foto
Doktor pakar bedah vaskular termasuk pakar dari Malaysia, Dr Mohd Mazri Yahya (kanan) melakukan pembedahan kecemasan seorang remaja yang cedera parah di paha akibat ditembak di Aleppo.

“Lebih setahun saya terpaksa memakai penutup muka setiap hari kerana mahu elak identiti terbongkar yang boleh menyebabkan saya ditangkap dan dibunuh,” kata seorang doktor pakar di Hospital As-Sakhur, di sini. 

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Ahmad, 40, berkata tugasnya membantu merawat penduduk di kawasan bandar ini yang dikuasai Tentera Pembebasan Syria (FSA), terutama menyelamatkan nyawa mangsa perang, sememangnya mengundang risiko tinggi.


“Ramai rakan setugas ditangkap, dipenjarakan pihak kerajaan hanya kerana berkhidmat di kawasan FSA. Ada yang dibunuh semata-mata dianggap berpaling tadah kerana membantu merawat pesakit dan mangsa perang di kawasan FSA. Profesional seperti saya dan ramai lagi rakan hidup dalam ketakutan. 

“Kami menjadi buruan kerajaan yang melabel kami pembelot kerana memberi bantuan kepada penentang kerajaan,” katanya ketika ditemui dalam lawatan rombongan Misi Bantuan Kemanusiaan MERCY Malaysia ke hospital itu, semalam.

Penderitaan rakyat Syria akibat konflik di antara pihak kerajaan dan kumpulan penentang, mencetuskan penubuhan Tabung Kemanusiaan Syria Media Prima Berhad-MERCY, September lalu yang mensasarkan kutipan RM6 juta tahun ini untuk disalurkan ke negara berkenaan.
Foto
Murid menjalani proses pembelajaran di 
Sekolah Amer Alrawi di Aleppo.

Mahu rawat pesakit 


Dr Ahmad berkata, kawasan bandar yang dikuasai FSA sememangnya kekurangan pakar bedah dan kemudahan selain keadaan hospital yang serba daif. 

“Penduduk di sini tidak dibenarkan masuk ke kawasan dikuasai kerajaan yang ada sebuah hospital besar yang lengkap pelbagai kemudahan. Niat saya berada di sini hanya mahu bantu merawat pesakit serta menyelamatkan nyawa mereka yang mungkin cedera parah, sama ada akibat kemalangan biasa atau akibat perang.

“Namun, apapun niat kita, kerajaan tetap berfikiran sebaliknya dan itu yang saya bimbangkan,” katanya sambil menambah, perang saudara yang tercetus juga juga menyebabkannya terpisah dengan keluarga dan saudara mara, malah sudah tidak bertemu isteri dan tiga anaknya hampir dua tahun. 

“Ramai saudara saya berada di kawasan Aleppo yang dikawal tentera kerajaan. 


Perang memisahkan kami dan situasi sama juga dihadapi ramai lagi penduduk di sini. Mereka tidak dapat bertemu ahli keluarga kerana bimbang ditembak jika cuba merentasi garis sempadan di antara kawasan kerajaan dan FSA. 

“Keadaan huru hara dan ketidaktentuan akibat perang saudara juga memaksa isteri saya mendapatkan perlindungan di Tripoli, Libya bersama tiga anak kami berusia empat hingga tujuh tahun... di sana lebih selamat,” katanya.





Credit: Irwan Shafrizan

No comments:

Post a Comment