Wednesday, 6 November 2013

Cuai perintah Tuhan punca umat Islam lemah

Al-Syeikh al Khidri berkata, “Dengan hijrah ini telah sempurnalah bagi Rasul kita SAW mengikut sunnah saudaranya di kalangan nabi. Ini kerana sunnah mereka adalah berhijrah dari tempat kelahiran mereka seperti berlaku dari Nabi Ibrahim hingga kepada Nabi Isa.” 

Dr Muhammad Abu Faris berkata, “Sesungguhnya hijrah sepenting-penting peristiwa dalam tarikh dakwah Islamiyah. Ini kerana dengannya terbentuk kuasa politik bagi umat Islam dalam menyebarkan agamanya serta mempertahankan kemuliaannya.” 
Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam bukunya Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), mengajak pembaca mengingati semula ucapan Rasulullah SAW ketika sampai di Kota Madinah dan diperhatikan oleh penduduk Madinah termasuk orang Yahudi serta pendita mereka Abdullah bin Salam. 


Baginda berkhutbah: “Hai manusia, sebarkanlah salam, jamulah makanan, solatlah di kala manusia sedang tidur pada waktu malam, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejatera.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Jika perintah Baginda yang ringkas ini dapat diaplikasi dalam masyarakat dan negara sudah pasti menatijahkan keamanan, kebahagiaan dan keharmonian yang membawa kasih sayang antara sesama masyarakat. 


Kelebihan hijrah 
Dr Zulkifli berkata, hijrah mempunyai pelbagai kelebihan termasuk isu pengorbanan yang menjadi pokok dalam hijrah Rasulullah SAW serta sahabat baginda. Allah SWT mensyariatkan prinsip berkorban harta dan tanah air demi mempertahankan akidah jika diperlukan. 

Sebaliknya, kecuaian dalam menjalankan perintah Allah SWT adalah punca kemerosotan umat Islam dan perpecahannya hingga mereka seperti boleh dikoyak-koyakkan oleh musuh Islam di mana juga mereka berada. 

Masyarakat Madani yang dibina Rasulullah SAW berasaskan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia apabila terpateri kukuh akan menghasilkan suasana keharmonian serta kebahagiaan dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment