Wednesday, 13 November 2013

Solat istikharah pedoman buat keputusan betul

Jabir berkata, “Rasulullah mengajar kami cara sembahyang istikharah dalam semua perkara, seperti mana Baginda mengajarkan surah daripada al-Quran. Baginda berkata: Jika seseorang daripada saudara hendak membuat keputusan dalam satu perkara, hendaklah beliau sembahyang sunat dua rakaat. Selepas selesai bersembahyang, bacalah doa: Ya Allah, saya mohon pilihan kepada-Mu dengan ilmu-Mu, dan saya mohon ditakdirkan yang terbaik antara beberapa perkara ini dengan kekuasaan-Mu. Saya juga memohon keutamaan-Mu yang agung, kerana sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Maha Berkuasa, sedangkan saya tidak mempunyai apa-apa kuasa. Juga Engkau adalah Maha Mengetahui, sedangkan saya tidak mengetahui apa-apa. Dan Engkau Maha Mengetahui perkara ghaib. Ya Allah, sekiranya Engkau mengetahui perkara ini baik untuk agamaku, kehidupanku dan urusanku di akhirat nanti, takdirkanlah itu untukku dan permudahkanlah aku mendapatkannya. Seterusnya, berilah keberkatan padaku dalam urusanku itu. Tetapi jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah buruk untuk agamaku, kehidupanku dan urusanku di akhirat nanti, jauhkanlah perkara itu daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Dan takdirkanlah mana-mana yang baik untukku di mana saja adanya kebaikan itu. Seterusnya, berilah keredaan padaku dengan melakukan perkara yang baik tadi.” Kemudian sebutkanlah hajatnya.” (Riwayat Bukhari) 

Apabila berdepan keadaan di mana kita perlu memilih antara dua, tetapi tidak yakin dengan keputusan bakal diambil, adalah dinasihatkan meminta pertolongan Allah SWT dengan melakukan solat sunat istikharah.
Cara itu lebih baik kerana hanya kepada Allah SWT kita bergantung harap semoga diberi petunjuk dan hidayah-Nya. Tambahan pula jika pilihan yang diberi kedua-duanya kita lihat pada mata kasar adalah baik untuk diri kita. 


Sebenarnya, kita juga digalakkan bermesyuarat terutama apabila perlu membuat keputusan yang akan memberi kesan kepada diri atau insan di sekeliling kita. Jangan terburu-buru kerana dikhuatiri apa yang kita putuskan bukan tindakan yang terbaik. 

Perbincangan membolehkan kita berkongsi pandangan serta bertukar fikiran. Sesi perbincangan secara tidak langsung boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan, persahabatan serta kakitangan dalam organisasi. 

Namun, perlu diingat, biarlah perbincangan atau musyawarah dilakukan dalam suasana harmoni serta saling menghormati. Andai gagal mendapat kata putus, cuba minta pandangan pihak ketiga. Bagi organisasi, suara majoriti boleh dikira sebagai persetujuan terhadap keputusan diambil.

No comments:

Post a Comment