- Norshida Ibrahim (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar sempena Hari Kantin dan Hari Alam Sekitar Peringkat Daerah Segamat.
Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, masyarakat seharusnya bersikap lebih rasional dan terbuka kerana cabaran mendidik generasi kini jauh lebih sukar berbanding sebelumnya.
“Generasi terdahulu lebih terbuka jika anak mereka didenda atau dihukum guru. Dahulu, ibu bapa tidak mencampuri segala urusan persekolahan dan anak-anak mereka adalah tanggungjawab sepenuhnya guru apabila berada dalam kawasan sekolah.
“Disebabkan itu, dahulu guru sering diberi kepercayaan penuh oleh ibu bapa dalam mendidik. Namun berbeza sekarang, guru tidak boleh bertindak sesuka hati dan mereka sering diancam untuk disaman dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Kantin Sekolah Kebangsaan (SK Buloh Kasap) dan Hari Alam Sekitar Peringkat Daerah Segamat di Dewan SK Buloh Kasap, di sini semalam.
Norshida berkata, tidak harian jika generasi muda sekarang sukar berdikari apabila berada di luar dan guru yang sering dipersalahkan di atas kegagalan tersebut.
“Apa yang pasti, jangan letakkan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak di bahu guru sepenuhnya. Ibu bapa pun perlu memantau anak-anak mereka apabila berada di rumah dan jangan pentingkan urusan sendiri sehingga anak-anak terabai.
“Pihak sekolah dan ibu bapa menghadapi cabaran sama, cuma pendekatan digunakan berbeza. Kita cuma perlu lebih rasional. Oleh itu, perlunya mewujudkan kerjasama erat antara sekolah dan ibu bapa supaya perbalahan dapat dielakkan,” katanya.
Katanya, intelektual dan sahsiah cemerlang akan menjana modal insan berkualiti serta sistem pendidikan sekarang perlu memenuhi keperluan semasa.
“Pihak sekolah bersama-sama ibu bapa perlu membuat persiapan dan persediaan bagi menghadapi cabaran yang pelbagai,” katanya.
Credit: Sinar
No comments:
Post a Comment