Sunday, 10 November 2013

Bekas amah ditahan bantu siasatan kes culik Freddie

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Seorang wanita yang pernah menjadi pembantu rumah kepada ibu kanak-kanak warga Britain yang diculik selama 19 jam kelmarin, ditahan dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Desa di sini hari ini.

Wanita warga Filipina berusia 39 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun, dipercayai teman lelakinya bagi membantu siasatan berhubung penculikan Freddie Joseph yang berusia setahun lapan bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, wanita itu dan teman lelakinya ditahan pada pukul 11 pagi kerana dipercayai terlibat dalam insiden penculikan itu.

Foto

Katanya, terdapat sebab munasabah yang mengaitkan wanita itu dalam kes tersebut sama ada secara langsung atau tidak.

"Wanita ini bekerja di negara ini sejak 2004 dan berkhidmat dengan mangsa selama setahun sebelum ditamatkan perkhidmatan sejak enam bulan lalu.

"Setakat ini kita percaya wanita Filipina ini terlibat walau bagaimanapun sejauh mana penglibatannya kita masih belum pastikan kerana dia baru sahaja ditahan.

"Lelaki yang ditahan bersamanya itu pula adalah teman lelaki suspek dan setakat ini wajahnya tidak sepadan dengan lakaran gambar seorang lagi suspek yang dikeluarkan polis semalam," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Pantai hari ini.

No comments:

Post a Comment