Tuesday 1 November 2011


Waran tangkap dikeluarkan ke atas Bob Lokman
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mendapat waran tangkap ke atas Pelakon, pengacara dan penulis lirik terkenal Bob Lokman kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Portal berita the Star.com memetik pengarah JAIS, Marzuki Hussin memberitahu wartawan di Shah Alam bahawa waran tangkap itu dikeluarkan pada 28 Oktober lalu yang membolehkan Bob ditangkap jika dikesan di negeri itu

NONE“Jabatan kami sedang mencari Bob (kanan), kerana beliau dikehendaki membantu siasatan yang membabitkan dirinya. Kami dalam proses mengambil tindakan undang-undang bagi membolehkan Bob hadir di mahkamah (syariah).

“Beliau akan dibebaskan dengan jaminan selepas kenyataannya diambil,” kata Marzuki dipetik akhbar itu.

Bob ditahan di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 10 Oktober lalu kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah kepada kira-kira 70 hadirin.

Meskipun diminta tampil memberi keterangannya oleh JAIS, Bob yang kini bergiat aktif bersama parti Islam PAS berkata tidak ada sebab untuknya bekerjasama kerana tindakan itu tidak ada kepentingan untuk Islam.

Penulis lirik berhantu "Isabella" itu berkata, ekoran pendiriannya itu, beliau sanggup menghadapi sebarang tindakan, termasuk kemungkinan menghadapi waran tangkap daripada mahkamah.

"Nak tangkap, tangkaplah. Saya tidak akan hadir. Sifat (JAIS) begini bukan hendak jaga keharmonian agama," katanya sambil memberitahu dia akan hanya berserah pada Allah.

Bob nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, disiasat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Ini bukan kes pertama seumpa itu, sebelum ini ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga didakwa atas tuduhan yang sama.

No comments:

Post a Comment