Google+ Followers

Sunday, 6 November 2011

Sejarah dan seni hiasan kiswah



Langsir pintu Kaabah teknik tenunan dan sulaman Mekah 1964 Masihi/1384 Hijrah

SESUNGGUHNYA rumah yang mula-mula dibangun (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata (di antaranya ) Maqam Ibrahim; barang siapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah; barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu dari alam semesta. (ali-'Imran: 96-97)Kaabah adalah binaan berbentuk kiub yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram. Ia merupakan tempat beribadat manusia yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim.
Kaabah juga dikenali dengan nama lain seperti Al Bait Al Ateeq (Rumah Lama) dan Bait Al Haram (Rumah Suci). Umat Islam mengunjungi Kaabah bagi mengerjakan haji dan umrah.
Selain daripada bentuk Kaabah, satu lagi ciri tersendiri Kaabah adalah kain hitam yang menyelubungi binaan ini. Ia diberi nama kiswah. Kiswah terdiri daripada beberapa panel kain yang besar seperti panel kain hitam yang ditenun dengan kalimah syahadah untuk setiap sisi Kaabah dan panel hitam bersulam teknik kelingkan yang dibuat khas untuk bahagian pintu.
Mengikut sejarah, kain kiswah yang pertama disediakan oleh seorang Raja Yamani pada tahun 400 AD sebelum Islam. Ia diperbuat daripada serat daun palma yang ditenun menjadi kain yang dikenali sebagai Zaaf al Nakheel.
Rekod terawal yang menyebut tentang kain kiswah yang disediakan selepas Islam ialah pada tahun 10 Hijrah dan Rasulullah SAW sendiri yang memasang kain kiswah tersebut di atas Kaabah.
Selepas itu, penghasilan kain kiswah telah dipertanggungjawabkan kepada wilayah Mesir sewaktu pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab.
Pada waktu ini kiswah diperbuat daripada sejenis kain tebal yang dikenali dengan nama Gabaati.
Sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan Abbasiyah pada abad kelapan Masihi, Khalifah Al-Mahdi pernah memerintahkan supaya lapisan kain kiswah lama yang masih tergantung di Kaabah dibuka kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan kerosakan kepada struktur Kaabah.
Daripada segi warna, tiada pengkhususan warna yang ditetapkan bagi kiswah. Pada abad kesembilan Masihi, kiswah diperbuat daripada kain berwarna merah.
Kemudian sewaktu pemerintahan Salah Al Din daripada Kerajaan Ayyubiyah, warna kiswah yang digunakan ialah hijau dan warna yang terakhir iaitu hitam mula digunakan sewaktu pemerintahan Khalifah Nasir dari Kerajaan Abbasiyah.
Kain kiswah hitam ditenun menggunakan benang sutera dan ia mempunyai motif kaligrafi Arab yang mempunyai inskripsi kalimah syahadah. Ayat lain yang digunakan ialah nama Allah dan puji-pujian bagi Allah SWT seperti Ya Hanan, Ya Manan, Subhanallah wa bihamdih dan Allah Jallah.
Di Muzium Kesenian Islam Malaysia terdapat kain sehelai panel kiswah bahagian pintu yang bertarikh tahun 1964. Ia diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam dan disulam menggunakan teknik sulaman yang dikenali sebagai kelingkan di Malaysia.
Panel pintu ini menggunakan benang logam yang bersadur emas dan perak bagi menaikkan warna hiasan dan mencantikkan lagi sulaman.
Antara inskripsi yang terdapat di atas panel kiswah pintu Kaabah ini adalah puji-pujian ke atas Allah SWT, beberapa potongan ayat dari beberapa surah al-Qurah seperti surah al-Baqarah, al-Zumar, al-Fath, Ibrahim dan juga maklumat tentang kilang yang menghasilkan kain kiswah pada tahun tersebut.

Credit to: Ros Mahwati Ahmad Zakaria
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia