Tuesday 15 November 2011

Kebaikan syarat utama bebas manusia daripada kezaliman





2011/11/15

Sunset by yakushkin Gambar Matahari Terbenam yang Cantik dan Sangat Menakjubkan
PERSEKITARAN yang baik mampu membentuk kehidupan diredai Allah dan oleh itu, melakukan kebaikan harus menjadi agenda utama. Ibu bapa yang baik budi pekerti akan menunjukkan contoh baik terhadap anak seterusnya membentuk sebuah keluarga bahagia.
Begitu juga apabila seluruh komuniti masyarakat sentiasa berada dalam kebaikan, pasti nanti seluruh kehidupan manusia berada di landasan baik juga. 

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu Kami bertindak ke atas mereka dengan sebab yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96) 

Kebaikan yang sentiasa menjadi perhiasan diri mukmin bukan sekadar untuk kepentingan peribadi dan keuntungan pahala bersifat individu semata-mata, tetapi kesannya turut dirasai mereka dalam persekitarannya juga. 

Hakikat yang perlu diakui setiap individu Muslim, mempunyai sahabat yang baik, hidup dalam persekitaran baik adalah jaminan daripada Allah SWT bagi penghasilan sebuah kejayaan. 
Hayati hadis Nabi SAW mengenai sejarah pembukaan Kota Constantinople. 

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Kota Constantinople (Istanbul sekarang) akan jatuh ke tangan orang Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis riwayat Ahmad) 

Hanya selepas 800 tahun ia menjadi kenyataan apabila Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan dan membuka kota itu daripada tangan kerajaan Rom. Pengkaji sejarah mendapati antara faktor penting membawa kepada kejayaan pembukaan kota itu ialah kebaikan akhlak dan perilaku bukan setakat pemimpin saja, malah rakyat secara keseluruhannya. 

Bayangkan dalam puluhan ribu tentera, tidak seorang pun pernah meninggalkan solat fardu sejak usia baligh, sebahagian saja yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib dan dalam kalangan yang ramai itu, hanya Sultan Muhammad tidak pernah meninggalkan solat malam sejak baligh. 

Fenomena ini seharusnya membuka mata kita bahawa kebaikan mesti menjadi syarat utama membebaskan diri manusia daripada kezaliman dan kejahatan yang melingkungi persekitaran hidup manusia kini. 

Sesungguhnya persekitaran baik dicorakkan oleh ahli masyarakat yang baik, begitu juga sebaliknya. Rosak akhlak masyarakat kerana tidak wujud suasana sekeliling yang membantu kebaikan dijelmakan dalam bentuk lebih meluas. 

Bagaimana mungkin seorang gadis muslimah memastikan maruahnya terlindung dan terpelihara jika di sekelilingnya penuh dengan remaja mendedahkan aurat, menjunjung hedonisme sebagai budaya serta tontonan media massa yang merosakkan akal dan minda. 

Membentuk suasana sekeliling yang baik adalah satu cabaran besar dalam dunia semakin maju dan membangun ini. Amalan mulia ini perlu disokong dan didukung kerana Allah SWT menggalakkan supaya manusia sentiasa mendampingkan diri dengan golongan baik serta berakhlak mulia. 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata.” (Surah al-Kahfi, ayat 28) 

Dalam kisah taubat, seorang lelaki telah membunuh 99 orang dan akhirnya seorang mangsa lagi sehingga menggenapkan kepada 100 orang semuanya, beliau dinasihatkan seorang ilmuwan keluar dari negeri didiaminya untuk mencari tempat lain yang lebih soleh dan baik persekitarannya. 

Lelaki itu akhirnya meninggal dunia dan rohnya diambil Malaikat Rahmat menandakan keazamannya untuk menjadi baik dan mencari tempat baik juga adalah suatu yang diredai Allah SWT. 

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: “Hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang melazimi kehidupannya dengan kebenaran, nescaya kamu akan hidup aman di sisinya, berwaspadalah terhadap sahabat kecuali mereka yang amanah kerana amanah tidak wujud kecuali bagi mereka yang takutkan Allah SWT, jangan bersahabat dengan mereka yang jahat kerana kamu nescaya akan belajar daripada kejahatannya.”
Credit to: Mohd Kamel Mat Salleh B. Harian

No comments:

Post a Comment