Monday, 28 November 2011

Mendakap kedamaian rimba Janda Baik




SETIAP calet diberi sentuhan seni bina tradisional Melayu yang unik dan memukau pandangan.


SEKIRANYA anda masih tercari-cari lokasi percutian hujung tahun terutama menjelang musim cuti sekolah nanti, apa kata anda berkunjung ke Janda Baik di daerah Bentong, Pahang. Janda Baik merupakan salah sebuah kawasan tanah tinggi yang pasti sesuai untuk bercuti bersama keluarga serta orang tersayang terutama mereka yang ingin melupakan sejenak kesibukan kerja dan kesesakan di kota.
Kawasan yang menjadi aset pelancongan negeri Pahang itu menyediakan banyak inap desa, resort dan calet bermula dari kategori standard hingga ke eksklusif. Teratak Malaya merupakan salah satu lokasi percutian di Janda Baik yang menjanjikan ketenangan dan kedamaian dengan keindahannya yang berkonsepkan alam rimba.
Anda hanya perlu memandu kira-kira 40 kilometer dari Kuala Lumpur untuk sampai ke Teratak Malaya yang menyediakan 18 calet dan dua rumah pokok yang direka khas menggunakan kayu dan buluh oleh pemiliknya, Wan Abdul Malik Wan Hamat.

KEHIJAUAN alam semulajadi sekelilingnya menjanjikan ketenangan dan kedamaian jiwa.


Ketenangan di Teratak Malaya
Lokasinya yang amat strategik berlatar belakang bukit dan sungai yang mengalir di hadapan calet sudah pasti menyejukkan mata memandang dan meredakan segala kepenatan bekerja. Calet yang dibina di atas tanah seluas lima ekar (2.02 hektar) itu bagaikan rumah dalam taman yang dikelilingi oleh pepohon menghijau dan bunga yang pelbagai warna. Tidak ketinggalan kolam ikan yang mendekatkan lagi anda kedamaian alam.
Teratak Malaya yang baru berusia dua tahun menawarkan kadar penginapan yang sangat berpatutan dari RM120 hingga RM350 untuk satu malam termasuk sarapan pagi mengikut jenis calet. Bagi mereka yang ingin menjamu selera di calet tersebut, pihak pengurusannya turut menyediakan tempahan makan tengah hari dan malam mengikut cita rasa pengunjung.
Selain menikmati keindahan alam dan udaranya yang nyaman, pengunjung juga boleh menikmati kedamaian hidup di kampung dan meredah hutan untuk ke kawasan air terjun yang cantik dan pelbagai aktiviti lasak termasuk permainan paintball. Menariknya, Teratak Malaya turut menyediakan bilik khas untuk mereka yang baru bergelar raja sehari dan pengunjung boleh mandi sungai serta memberi makan ikan tailapia di dalam kolam yang terletak di depan calet tersebut.

PANORAMA tasik di hadapan calet meredupkan pandangan.


Bagi kaki pancing pula, sungai berhampiran Teratak Malaya amat sesuai untuk mereka menguji kepakaran masing-masing menaikkan ikan sungai yang bersaiz besar. Teratak Malaya juga menawarkan kemudahan bagi agensi-agensi kerajaan atau syarikat korporat yang mahu mengadakan kursus, seminar, mesyuarat atau hari keluarga.
Terdapat enam bangunan asrama, dewan serbaguna yang boleh memuatkan 300 orang, bilik seminar untuk 100 orang, bilik mesyuarat dan dewan makan. Kawasan tersebut juga sering dijadikan tempat perkhemahan peringkat sekolah rendah dan menengah termasuk dari luar Pahang kerana lokasinya yang luas. Bagi pengunjung yang ingin bersiar-siar, anda tidak perlu risau kerana Teratak Malaya hanya terletak 25 kilometer dari Genting Highlands. 
Credit to: Kosmo

No comments:

Post a Comment