DEMI sebuah persahabatan atau jalinan sesama manusia biarpun berlainan agama, pegangan, fahaman dan akidah, kita rela menghadiri majlis yang dianjurkan mereka. Rasa hormat kepada sebuah persahabatan, integrasi nasional demi pengukuhan perasaan muhibah yang berupaya membentuk keharmonian dan kesejahteraan negara, kita membenamkan segala rasa resah, bimbang dan curiga, lalu turut bergembira sehinggalah majlis tersebut selesai. Dalam soal ini, kita memang tidak pernah melupakan bahawa hubungan antara orang Islam dengan bukan Islam yang pada asalnya adalah hubungan antara dua manusia makhluk Allah yang masing-masing mempunyai kepentingan bersama dalam urusan keduniaan, keagamaan, kemanusiaan, kemasyarakatan, dan sebagainya. Kita perlu hidup bekerjasama demi kesejahteraan dan keharmonian, baik untuk individu, sosial mahupun negara. Lantaran itulah kita bersetuju untuk hadir pada majlis anjuran mereka. Harus diketahui bahawa dalam sejarah awal Islam, peperangan pernah tercetus antara orang Islam dengan orang bukan Islam disebabkan oleh terputusnya hubungan kemanusiaan yang fungsinya adalah ikatan yang mengikat antara satu sama lain. Ini mendorong kepada pencerobohan dan serang menyerang seterusnya kepada bunuh membunuh. Diceritakan bahawa orang bukan Islamlah yang selalunya memulakan kekacauan dan huru-hara. Lantaran mengekalkan hubungan baik antara orang Islam dengan bukan Islam, di samping mewujudkan situasi harmoni, damai dan sejahtera, inilah antara nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam. Kita dibenarkan menghadiri majlis anjuran orang bukan Islam tetapi jangan sampai tergadai prinsip-prinsip akidah dan hukum-hukum Islam yang adil dan bersifat universal itu. Ini perlu dipegang teguh oleh kita. Di dalam surah al-Mumtahinah, ayat 8, Allah telah berfirman yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang kafir yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu.” Dengan ayat ini jelaslah bahawa kita sebagai orang Islam tiada salahnya menghadiri perayaan atau apa-apa majlis rakan-rakan kita yang bukan Islam seperti Tahun Baru China, Deepavali, Krismas, Gawai, dan sebagainya. Inilah antara caranya kita boleh mengekalkan hubungan baik antara rakan-rakan sepersekolahan, jiran tetangga dan masyarakat setempat namun kehadiran kita janganlah sampai menggadai kesucian akidah dan prinsip-prinsip keagamaan yng menjadi pegangan kita. Walaupun kita berada di tengah-tengah majlis mereka dengan dikelilingi oleh ramai yang bukan Islam tetapi kesucian agama kita perlu tetap dijaga agar mereka juga tertarik akan agama kita itu. Contohnya, jika kita menghadiri majlis anjuran rakan kita yang beragama Kristian. Rakan kita itu tentunya mempercayai bahawa Isa al-Masih atau Jesus Christ sebagai Tuhan atau Anak Tuhan, yang dirayakan hari kelahirannya pada 25 Disember setiap tahun serta merayakannya dengan jamuan pelbagai jenis makanan. Kita yang menghadiri majlis tersebut mestilah bijak menentukan makanan yang boleh dimakan atau tidak. Jika timbul keraguan tentang soal halal haramnya, janganlah dijamah makanan tersebut. Itu dari segi makanan. Dalam soal akidah pula, kita tidak harus mengikut kepercayaan rakan kita itu. Kita tetap dengan kepercayaan kita bahawa Isa atau Jesus adalah seorang Rasul, hamba Allah, bukannya Tuhan atau Anak Tuhan. Kalau disoal oleh rakan kita, kita mesti mempertahankan akidah kita biarpun di dalam majlisnya dan dikelilingi oleh ramai rakan seagama dengannya. Wajib kita terangkan kepada rakan kita itu bahawa di dalam al-Quran, surah Maryam ayat 30-34, Allah telah berfirman yang bermaksud bahawa Isa atau Nabi Isa sendiri telah membuat pengakuan bahawa dia adalah hamba Allah, Rasul-Nya yang telah diwahyukan kepadanya al-Kitab dan disuruh supaya menunaikan solat dan perintah-perintah Allah. Selain daripada itu, kita juga ditegah keras mengikut adat dan budaya orang bukan Islam di dalam majlis anjuran mereka. Tetapkan diri kita dengan adat dan budaya Islam yang murni. Jika mereka melanggar hukum dan tatasusila atau sesuatu yang bercanggah dengan syariat Islam, jangan sekali-kali berpura-pura turut serta. Jika berpeluang, berdakwahlah secara berhikmah, sekurang-kurangnya memperlihatkan personaliti sebagai seorang Islam yang mempunyai nilai-nilai yang terpuji, akhlak yang mulia dan kesopanan yang indah. Dengan cara ini orang Islam akan dipandang sebagai golongan yang bermaruah dan teguh dengan keimanannya. Kalau kita dijemput ke majlis rakan kita yang beragama Hindu pula, inilah juga yang perlu kita lakukan. Walaupun kepercayaan orang yang beragama Hindu tidak sama dengan kepercayaan orang yang beragma Kristian tetapi kepalsuannya tetap sama. Pada perayaan hari Thaipusam contohnya, orang-orang yang beragama Hindu akan memuja dewa-dewa Subramaniam atau Murugan dan sebagainya. Sekiranya kita menghadiri majlis mereka, ditegah sama sekali kita hanyut bersama-sama mereka untuk mempersekutukan Allah dengan dewa-dewa tersebut. Tiada salahnya kita pergi sebagai menghormati kepercayaan mereka tetapi janganlah sampai tergadai prinsip akidah Islam kita. Tunjukkan bahawa kita adalah seorang Islam yang berwibawa dan mempunyai kekuatan iman yang sukar di ganggu gugah. Sesungguhnya kita orang Islam perlu menyedari bahawa agama Islam yang dibawa Rasulullah s.a.w mengambil sikap terbuka dan lebih telus dalam konteks mengekalkan hubungan baik, mesra dan muhibah dengan orang yang bukan Islam. Jika orang Kristian mengadakan perayaan hari Krismas, sedang pertukaran lawatan dari rumah ke rumah menjadi budaya sedemikian lama dalam masyarakat, maka Islam tidak menghalang umatnya untuk meneruskan budaya tersebut demi mengekalkan hubungan baik tetapi hendaklah dengan syarat tidak melakukan sesuatu perbuatan atau amalan yang bercanggah dengan kehendak Islam. Sebagai seorang Islam kita perlu tahu batas-batas yang mesti dipatuhi supaya tidak dimurkai Allah. Memang semangat kejiranan, muhibah, toleransi dan sebagainya yang sering dilaungkan oleh kerajaan mesti dipupuk dengan baik dan sempurna tanpa mengetepikan hukum-hukum Islam. Ini adalah kerana kepentingan bersama dalam kehidupan sehari-harian kita di negara bermasyarakat majmuk ini tidak akan tercapai tanpa wujudnya semangat kejiranan yang dipancangkan di atas asas-asas kemanusiaan yang telus dan terbuka seperti yang dianjurkan oleh Islam. Sebenarnya, semangat toleransi dan terbuka terhadap kaum bukan Islam dapat dilihat daripada beberapa keterangan, contohnya di dalam al-Quran disuruh agar bergaul dengan ibu bapa yang masih musyrik dengan baik, selagi mereka tidak memaksa anak-anak mereka keluar daripada agama Islam. Ini dijelaskan oleh firman Allah dalam surah Lukman ayat 15 yang bermaksud: “Dan gaulilah mereka dengan baik.” Sesungguhnya banyak perintah Allah di dalam al-Quran tentang perkara ini dan kita dapat perhatikan bahawa Allah sentiasa menyuruh kita berbuat baik terhadap orang bukan Islam yang tidak mengganggu ketenteraman orang Islam terutama dalam soal-soal beragama dan kepentingan hidup yang lain seperti yang difahami pada ayat 8 surah al-Mumtahinah. Terdapat sesetengah daripada kalangan kita orang Islam yang mempertikaikan bantuan sara hidup atau nafkah yang diberi kepada orang bukan Islam yang ada hak kejiranan dan sebagainya, sama ada beroleh pahala atau tidak. Mereka bimbang tidak mendapat apa-apa imbuhan daripada Allah di atas bantuan itu. Sebenarnya, sudah jelas di dalam tafsiran ayat 272 surah al-Baqarah bahawa setiap sen yang dibelanjakan pada jalan Allah tetap beroleh pahala sekalipun dibelanjakan kepada orang bukan Islam. Di dalam “al-Siyar al-Kabir”, 1/144, Imam Muhammad Ibn al-Hassan meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w pernah mengirimkan bantuan makanan untuk diagih-agihkan kepada penduduk kota Mekah yang kebuluran kerana dilanda musim kemarau yang panjang meskipun penduduk Mekah waktu itu terdiri daripada orang-orang yang sangat memusuhi Islam. Inilah antara akhlak Junjungan Besar yang mulia dan patut dicontohi. Sikap keterbukaan Baginda amat jelas pada perhubungan yang akrab dengan Ahli Kitab sama ada Yahudi atau Nasrani. Baginda menziarahi dan menghormati pesakit-pesakit daripada golongan tersebut sama ada uzur atau meninggal dunia. Baginda juga sering menghulurkan sumbangan kepada mereka. Di dalam sebuah kitab lain pula, Ibni Ishak ada menceritakan bahawa pada suatu hari satu rombongan Nasara Najran telah melakukan kunjungan muhibah terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Ketika itu Baginda berada di Madinah. Rombongan tersebut memasuki masjid dan mengadakan sembahyang mengikut agama mereka. Para sahabat Baginda kehairanan dan menjadi riuh rendah melihat perbuatan kafir Nasrani itu melakukan ibadat mereka, lebih-lebih lagi di dalam Masjid Nabawi. Masing-masing bergegas mendapatkan pandangan Nabi s.a.w lalu Baginda pun bersabda yang bermaksud: “Biarkanlah! Biarlah mereka menghadap ke timur dan sembahyang mengikut ajaran agama mereka.” Dalam satu kisah yang lain diriwayatkan bagaimana Rasulullah s.a.w telah menggadaikan baju perang Baginda kepada seorang Yahudi yang bernama Abu al-Syaham. Ini adalah satu contoh lagi sifat keterbukaan Baginda, padahal pada ketika itu masih ramai para sahabat yang bersedia membantu Baginda sekiranya Baginda menyatakan masalah yang dihadapi kepada mereka. Tetapi Baginda ingin menyampaikan hukum bahawa perlu mengadakan hubungan dengan orang bukan Islam. Ini amat jelas sekali, sehinggalah Baginda wafat, baju perang tersebut masih belum ditebus. Keterbukaan yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w itu dipraktikan pula oleh Umar Ial-Khattab r.a. Pada masa beliau menjadi khalifah, beliau pernah mengeluarkan peruntukan daripada tabung harta umat Islam untuk bantuan sara hidup tetap kepada orang Yahudi. Beliau kemudiannya membaca sepotong ayat daripada surah at-Taubah, ayat 6 yang bemaksud: “Sesungguhnya sedekah wajib itu hendaklah diagih kepada orang fakir dan miskin.” Fakir dan miskin yang dimaksudkan di sini tidak kira sama ada Islam ataupun kafir. Dalam contoh yang lain pula, Abdullah Ibn Umar r.a pernah mewasiatkan kepada hambanya supaya mengagihkan daging korban kepada orang Yahudi yang tinggal di sebelah rumahnya. Diceritakan bahawa beliau meninggalkan pesanan tersebut berkali-kali. Sejarah juga ada menceritakan bahawa pada suatu hari, seorang Kristian yang bernama Ibn Umm al-Harith telah meninggal dunia dan ramailah yang mengiringi jenazah beliau ke tanah perkuburan. Dalam waktu yang sama ramai kalangan tabiin yang mengeluarkan zakat fitrah kepada paderi Kristian. Mereka tidak menganggap perbuatan tersebut satu kesalahan. Ini menunjukkan bahawa perhubungan antara orang Islam dan bukan Islam perlu direalisasikan dalam konteks mewujudkan suasana harmoni, damai, dan muhibah. Perhubungan yang erat begini perlu diteruskan dengan syarat jangan sampai tergadai prinsip-prinsip akidah, juga kesucian Islam. Ini perlu dijadikan panduan oleh kita di dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama ini. Credit to: YADIM/SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM |
Saturday 19 November 2011
Membina Persahabatan yang Murni
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment