Sunday 27 November 2011

Masih ramai percayakan khurafat, syirik


ISLAM adalah agama tauhid iaitu agama yang berasaskan keimanan terhadap kekuasaan Allah SWT dan tiada 

Tuhan selain-Nya.

Dalam mengukur keimanan seseorang, ia bukan saja dinilai berasaskan kepercayaan terhadap enam Rukun
Iman semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan pelaksanaan terhadap lima perkara wajib Rukun Islam.

Dengan gabungan kedua- dua perkara ini, barulah boleh dianggap sempurna agama seseorang itu walaupun
pada zahirnya, Allah SWT lebih mengetahui setiap apa yang dilakukan hamba-Nya.

Namun, dalam menceritakan soal pelaksanaan amal ibadat berpandukan Rukun Iman dan Rukun Islam,
sebenarnya masih ramai antara kita yang secara tidak sedar melanggar satu daripada dua perkara asas ini
 di mana yang paling nyata, percaya terhadap perkara khurafat atau dalam kata mudah, syirik kepada Allah SWT.

Perlu difahami bahawa syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah SWT pada sifat Uluhiyyiah atau sifat Rububiyyiah-Nya.

Sifat Uluhiyyiah ialah sifat Allah SWT yang berhak disembah, dipatuhi perintah- Nya, dicintai, diberi tumpuan dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak segala keburukan.


Sifat Rububiyah pula ialah sifat Allah dalam mentadbir, mengurus, mendidik dan mengasuh makhluk ciptaan-Nya.

Oleh kerana itu, amatlah sesat dan syirik jika kita mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan mengasihi,
mencintai dan mentaati perintahnya sebagaimana layaknya mencintai dan mentaati Allah SWT atau meminta
selain mengharapkan sesuatu hajat daripada sebarang makhluk.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 48: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa
syirik dan akan mengampunkan dosa lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya ia melakukan dosa besar.” Adalah malang
 apabila ramai daripada masyarakat pada hari ini, walaupun sering diingatkan mengenai hal syirik, tetap t
erpesong daripada panduan yang diberikan Allah SWT.

Ramai daripada masyarakat hari ini lebih percaya kepada bomoh dan dukun untuk memenuhi sesuatu hajat
termasuk pangkat, kedudukan dan pengaruh.

Malah, apabila tidak menemui tanda sakit menerusi kaedah sains dan teknologi moden, kita akan lebih percaya
pula kepada bomoh yang pastinya akan menyatakan puncanya daripada gangguan jin atau syaitan. Lebih teruk
lagi, apabila keadaan itu berlaku, kita menaruh harapan pada bomoh itu untuk menyembuhkan penyakit dihidapi
dengan melakukan pelbagai syarat yang kadangkala tidak masuk akal untuk dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menemui tukang tilik atau ahli sihir atau bomoh dan bertanya sesuatu
kepada mereka, lalu dia mempercayai akan apa yang dikatakan mereka, sesungguhnya dia menggerunkan apa
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” Amalan khurafat lain pula termasuk memakai tangkal azimat
dengan keyakinan tertentu seperti menjadi kebal, pelaris perniagaan, penolak bahaya, penyembuh penyakit,
penggerun dan penunduk musuh.

Rasulullah SAW melarang keras amalan memakai tangkal azimat dan di dalam satu hadis, baginda menyebut: “Sesungguhnya jampi mantera, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah syirik.” Malah, ada pula di kalangan masyarakat hari ini lebih mempercayai tilikan nasib berpandukan sifat seseorang atau hanya dengan meneliti
 tarikh lahir. Mereka lebih mempercayai tilikan manusia mengenai untung nasib mereka, sedangkan untung nasib mereka hanya diketahui Allah SWT.

Disebabkan itu, wujud golongan manusia yang lebih cenderung untuk percaya kepada nasib yang disebutkan
tukang tilik itu tadi, walhal setiap perkara yang bakal berlaku terjadi berdasarkan tindakan dilakukan seseorang.

Kecualilah ia membabitkan hal musibah atau kematian yang ditentukan Allah dan tidak boleh dihalang oleh
sesiapa pun. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 106: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad)
menyembah atau  memuja yang lain daripada Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan
juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu.

“Oleh itu, jika engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada orang- orang
 yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).” Sebagai manusia yang diberikan akal,
kita nilai sendiri peribadi seorang tukang tilik itu. Paling mudah, sebelum mempercayainya, kita nilai adakah
mereka (tukang tilik) mampu menilik detik hidup mereka, waktu susah atau waktu sakit.

Jika mereka tidak mampu menilai diri sendiri, adakah pula mereka mampu menilik diri orang lain?
Credit to: HMetro

No comments:

Post a Comment