27/11/2011 7:30pm
KUALA LUMPUR – Seorang ibu berusia 75 tahun mati selepas lehernya dikelar dengan pisau oleh anak lelakinya yang dipercayai mengidap penyakit mental di rumah mereka di Taman Bukit Serdang, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Abdul Razak Elias berkata, dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi tadi, warga emas itu (nama enggan diberi polis) mati di tempat kejadian, manakala anaknya berusia 35 tahun itu pula cedera parah di leher akibat cubaan untuk menyembelih dirinya sendiri.
"Kejadian disedari seorang anak perempuan mangsa yang kebetulan datang ke rumah itu dan menemui ibunya terbaring di tilamnya di ruang tamu rumah tiga tingkat itu.
"Suspek pula sempat menyambut kakaknya yang hadir itu sebelum terjatuh akibat pendarahan di leher.
“Kakak suspek kemudian segera membawanya ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut dan kami difahamkan suspek kini tenat,” katanya di tempat kejadian di sini.
Beliau berkata, tiada kesan pergelutan di rumah itu dan pihak forensik menemui pisau dengan kesan darah, yang dipercayai digunakan suspek, di atas meja kopi di ruang tamu rumah.
Abdul Razak berkata, polis percaya mangsa dikelar sekali sebelum suspek cuba menyembelih dirinya sendiri lebih dari satu percubaan. Credit to: Bernama
No comments:
Post a Comment