Jika dikenang kembali, sejak kecil lagi kita sering ditanya cita-cita atau ‘apa kita nak jadi’ apabila dewasa kelak. Antara jawapan popular dulu ialah ingin menjadi polis atau askar. Jawapan itu nanti kemudian disahut oleh ibu dengan saranan supaya anak menjadi doktor.
Kata ibu, jika ibu sakit nanti anak boleh merawat. Ayah pula bersuara, jadilah peguam dengan alasan untuk membela orang yang tidak bersalah dan mendakwa orang bersalah demi menegakkan keadilan.
Ada kala nenek pula menyampuk, supaya cucu memilih profesion guru untuk mendidik generasi selain banyak cuti dan boleh meluangkan masa bersama keluarga. Sebagai anak kecil yang kurang faham erti dunia sebenar pada waktu itu, kita hanya mengiyakan kata-kata mereka.
Dalam senyap mungkin kita mengubah cita-cita atau bertegas dengan impian dan tidak kurang juga keliru menentukan hala tuju. Namun, perbualan berkenaan cita-cita hanya tinggal sebagai perbualan dan akhirnya masa depan diputuskan oleh kelayakan serta keputusan akademik kita.
Lantas timbul beberapa konflik iaitu antara bidang diambil tidak selari dengan minat dan kecenderungan, belajar sekadar segulung sijil atau ijazah, belajar asal lulus, bermotivasi rendah dan lebih malang lagi berasa bosan disebabkan terbeban dengan pelajaran.
Inilah cerita sebahagian kita atau generasi yang masih di dunia persekolahan atau di menara gading. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan amanah, adakah kita selesa jika situasi ini berterusan mewarisi kehidupan anak kita.
Kita boleh melakukan sesuatu supaya anak berasa dirinya sangat bernilai dan mampu memperjuangkan sesuatu yang bermakna dalam hidup. Apa yang diperjuangkan anak kita selari dengan cita-cita dan kecenderungannya.
Malah, lebih menarik lagi jika anak ini mengetahui proses mencapai cita-cita bermakna mereka sedang merealisasikan matlamat unggul ibu bapa iaitu menghimpun takwa dalam dirinya seterusnya mengembangkan kepemimpinan dirinya.
Seterusnya, sebagai ibu bapa kita bersama mencari jalan membantu anak mengorak langkah supaya cita-cita, sifat kepemimpinan dan takwa seiring. Cara terbaik adalah mengaitkan cita-cita anak dengan apa yang mereka boleh ‘beri’ bukan hanya apa yang mereka ‘terima’.
Seorang doktor perubatan akan merawat serta berikhtiar mengurangkan kesengsaraan serta menyelamatkan nyawa. Inilah konsep memberi, bukan memikirkan pendapatan lumayan, sanjungan atau ganjaran lain yang termasuk dalam konsep terima.
Islam menjelaskan kepada kita bahawa tangan di atas lebih baik dari tangan yang di bawah, bermaksud keupayaan memberi lebih mulia daripada menerima. Keupayaan memberi menjadikan seorang insan itu bersifat tekun, bertindak bijak, memupuk sikap penyayang dan bertanggungjawab.
Berbeza keupayaan menerima, antara perkara negatif yang mungkin timbul adalah menjadikan insan itu individu yang tamak, kurang bersyukur, malas berusaha, memupuk budaya mengharapkan orang lain dan sebagainya.
Justeru, apabila membincangkan mengenai cita-cita, perkara perlu diutamakan apakah manfaat yang kita boleh beri pada orang lain atau dunia kita.
Langkah seterusnya adalah melihat nilai ‘beri’ seperti doktor yang merawat dan berikhtiar mengurangkan kesengsaraan dengan keredaan Allah SWT, secara tidak langsung menerapkan ciri-ciri takwa dalam diri doktor.
Pada masa sama, perjuangan doktor juga meneruskan dakwah rasul dari aspek kesihatan supaya umat manusia sentiasa memelihara salah satu daripada lima asas pembinaan syariah iaitu kesejahteraan diri.
Apa juga cita-cita tersemat dalam hati anak atau diatur ibu bapa, matlamat kerjaya dipilih perlu jelas iaitu memberi khidmat dalam bidang diceburi untuk manfaat semua serta mendapat keredaan Allah SWT.
Credit: Isfaiah Mohd Dasuki
No comments:
Post a Comment