Saturday 15 February 2014

Perbarisan kenang jasa Leftenan Adnan Saidi.


Kuala Lumpur: Sambutan ulang tahun ke- 76 Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) semalam, menjadi acara paling bermakna untuk warganya apabila dihadiri waris ikon pejuangnegara , Allahyarham Leftenan Adnan Saidi. 

Buat julung kalinya, tiga waris perwira negara itu iaitu cucunya, Ahmad Abdullah, 55; dan dua cicit, Mohd Asrul Halim Ahmad, 30; bersama sepupunya, Zulfikri Ahmad Bastiar, 23; menjadi tetamu istimewa bagi menyaksikan istiadat penuh bermakna itu. Sambutan dijayakan 13 pegawai dan 220 anggota lainlain pangkat dengan diketuai Pegawai Pemerintah 1 RAMD, Lt Kol Megat Najib Shahrudi Megat Yunus.




Kenang perjuangan 

Perbarisan khas turut diadakan sebagai simb olik mengenang perjuangan Adnan yang terkorban ketika mengetuai benteng terakhir pasukan Kompeni C, 1 RAMD bertempur melawan serangan tentera Jepun di Bukit Candu, Singapura pada 14 Februari 1942. 

Upacara yang diakhiri dengan tiupan trompet ‘Last Post’ dan upacara menurunkan bendera pasukan sebagai memperingati mereka yang terkorban, meruntun perasaan tetamu pada sambutan itu. 




Kehadiran Mohd Asrul Halim yang mempunyai wajah seiras dengan moyangnya, membuatkan hadirin terutama warga 1 RAMD mengimbau peristiwa yang dekat di hati mereka. 




Ketika ditemui, beliau menyatakan penghargaan tidak terhingga kerana buat pertama kali diberi peluang bersama bapanya untuk menghargai perjuangan moyangnya dalam sambutan penuh istiadat.

 
“Saya terharu dan tidak menyangka pihak 1 RAMD dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sanggup mencari kami sebagai waris Leftenan Adnan dan diberi penghormatan menyertai sambutan ini. 




Peribadi tegas, berani 

“Walaupun tidak berkesempatan bertemu nyang (moyang), saya seolah-olah mengenali peribadinya yang dikatakan berani dan tegas, maka pastinya saya berbangga menjadi warisnya,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Staf Am Markas Pemerintahan Medan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain, berkata setiap tahun 1 RAMD akan mengadakan sambutan khas memperingati jasa dan pengorbanan Leftenan Adnan. 




“Kita berusaha menjejak waris Allahyarham dan bertuah kerana akhirnya dapat mengundang mereka,” katanya.



 




Credit: Nor Azizah Mokhtar

No comments:

Post a Comment