Sunday 16 February 2014

Cara membina kepercayaan anak



Nabi Muhammad SAW memulakan strategi pembentukan masyarakat dengan langkah pertama membentuk hala tuju anak-anak, generasi paling muda dalam masyarakat Islam, di samping membina personaliti unggul sahabat. 

Antara langkah yang didahulukan Baginda SAW dalam pembentukan anak adalah memfokuskan enam aspek perkembangan individu manusia secara berperingkat dan langkah demi langkah dengan tertib sekali.


Enam aspek ini adalah perkembangan emosi, akidah, ibadah, akhlak, seksualiti dan sosial secara berturutan tanpa melangkau dan melepasi manamana tahap. 

Rasulullah memulakan sentuhan keramatnya dalam pembentukan generasi dengan membentuk emosi yang sejahtera dan terus hidup subur. 

Baginda muncul dengan watak peramah, murah senyum dan mesra kanakkanak, penyayang dan mencintai anak, sehingga menurut beberapa riwayat, Nabi Muhammad SAW sering bergurau dan memberi salam kepada anak. 

Abdullah bin Salam, salah seorang ketua pendeta Yahudi, pada zaman Nabi mengucap syahadah hanya dengan melihat penampilan Nabi SAW ketika Baginda turun dari unta sebaik tiba di Madinah semasa hijrah. 

Menunjukkan betapa penampilan manusia mendatangkan kesan pada jiwa dan emosi seseorang. Sebagai ibu bapa, pembinaan emosi ini sudah tentu kukuh terbina dalam jiwa anak. 


Malang sekali pada hari ini, kita lebih banyak memikirkan emosi sendiri berbanding mengambil peluang untuk membantu mengukuhkan emosi anak, kita cepat melenting, marah dan mengherdik mereka. 

Kembangkan emosi anak Mengembangkan emosi anak juga bermakna mampu merasai apa yang mereka rasa dan mampu menjiwai perasaan anak. 

Rasulullah pernah berpesan kepada Abdullah bin Abbas yang pada saat itu masih kecil lagi dengan sabdanya, “aku mengasihimu dan sentiasalah kamu bertahajud”. Jelas ucapan Nabi Muhammad menunjukkan Nabi mengasihinya dan arahan bertahajud itu adalah untuk kebaikan anak itu, iaitu pelaburan bagi anak itu yang paling berguna di akhirat nanti. 

Selain kasih sayang adalah kepercayaan kepada mereka, kita memberi kepercayaan dan keyakinan bahawa mereka mampu melakukan sesuatu dan memberi mereka peluang untuk melakukan kesilapan di samping bimbingan serta pemantauan tanpa jemu sehinggalah anak ini benar-benar menguasai sesuatu kemahiran. 

Rasulullah SAW pernah membimbing seorang anak yang silap melapah daging, kemudian Baginda meminta anak itu beralih tempat untuk Baginda menunjukkan cara melapah terbaik buat anak itu dengan penuh tanda hormat dan kasih. 

Sebagai ibu bapa marilah kita berterusan membimbing anak kita, malah dari sudut pelaksanaan solat dan tempoh membimbing anak solat adalah tiga tahun. Dalam tempoh itu, bimbinglah mereka tatacara solat yang betul, menjadikan solat sebagai budaya dan ibu bapa perlu menerima jika anak melakukan kesilapan. 

Inilah cara membina kepercayaan dalam diri anak, keyakinan dengan diri sendiri dan keyakinan juga bagi ibu bapa untuk anak membudayakan solat dalam hidupnya. 

Penghargaan kepada anak juga adalah sebahagian daripada sentuhan emosi buat anak. Penghargaan adalah aspek di mana ibu bapa melahirkan rasa bangganya diri mereka dengan apa yang dilakukan oleh anak, memberitahu betapa kita bertuah mempunyai anak sepertinya. 

Ucapan terima kasih, memohon maaf adalah antara cara kita menghargai anak, selain memberi hadiah, pelukan bangga, senyuman syukur dan sebagainya. 

Pernah satu hari ketika Rasulullah bersama sahabatnya, datang puterinya, Fatimah yang ketika itu masih kecil, lantas Baginda berdiri memeluknya dan memberi tempat duduknya kepada anak perempuannya. 

Bayangkan betapa layanan Baginda terhadap anak perempuannya itu adalah satu penghargaan yang agak asing kerana budaya Arab pada ketika itu adalah memberi layanan buruk terhadap anak perempuan. 

Kejayaan hasil dorongan keluarga 

Kajian di Barat mendapati bahawa majoriti atlet sukan yang berjaya, mendapat dorongan dan galakan daripada keluarga masing-masing. 

Menguatkan emosi anak adalah dengan cara meredakan dan merawat rasa takut anak. Ada yang takut binatang kecil seperti lipas dan cicak atau cerita hantu dan sebagainya, maka sebagai ibu bapa yang prihatin memperkasakan emosi anak ini dengan cara lebih mengetahui apa yang ditakuti. 

Pernah terjadi pada zaman Nabi Muhammad SAW, cucu Baginda Hasan dan Husin takut apabila berdepan dengan seekor ular besar, maka Baginda SAW menghalau ular itu dan kemudian menenangkan Hasan dan Husin dengan cara menyapu wajah kedua-dua cucunya, dibacakan doa dan kemudian diberi kata-kata semangat serta mendukung kedua-duanya. 

Ada antara kita pula mengambil peluang untuk mengejek serta memperlekehkan anak dengan perkara yang ditakutinya tanpa kita sedari kita melepaskan peluang untuk mengukuhkan emosi anak. 

Demikianlah bagaimana kita boleh membantu membangunkan aspek terpenting dalam diri anak iaitu aspek emosi mereka.




Credit: Isfadiah Mohd Dasuki

No comments:

Post a Comment