Saturday 8 February 2014

Dakwah tak akan berjaya tanpa berhemah


Perlu ditekankan di sini dakwah yang dilakukan Rasulullah SAW adalah dakwah yang penuh dengan berkat, gerakan sederhana, bersepadu, terkawal, berkesinambungan dan jauh dari unsur melampau. Sikap melampau sama sekali bukanlah sifat gerakan dakwah Islam. 

Sekali lagi ditegaskan sikap melampau bukan sifat dan fenomena umum gerakan dakwah Islam. Mungkin ada beberapa unsur dakwah yang mempamerkan sikap melampau, namun itu perlulah dirujuk kepada individunya bukan sifat dan watak dasar dakwah Islam.
Ikut garis panduan al-Quran, sunnah

Gerakan dakwah Islam didasari pertimbangan yang sihat, diatur oleh aturan serta norma yang digariskan al-Quran dan sunnah. Gerakan dakwah Islam berinteraksi dengan realiti, penuh pertimbangan dan kebijaksanaan.

Dengan izin Allah SWT, dakwah Islam adalah asas bagi mencapai kebahagiaan suatu negeri dan penduduknya. Dakwah Islam menjamin tersebarnya nilai kebaikan di tengah-tengah umat kerana dakwah Islam adalah gerakan dibina atas landasan tauhid.

Dakwah Islam adalah gerakan yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin sementara ulama serta cendikiawan penggerak yang menjadikan ilmu dan kemahiran berfikir pengawal kepada setiap tingkah laku. Justeru, gerakan dakwah akan terus bergerak menuju Allah SWT. 



Rasulullah bersikap penyantun

Ketahuilah sesungguhnya Rasulullah SAW sangatlah santun dan lemah lembut. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” (Surah Ali-Imran, ayat 159) 

Kita dapat memastikan dakwah yang diperjuangkan tidak akan beroleh kejayaan tanpa sikap lemah lembut. Ketika Allah mengutus Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menginsafkan Firaun, Ia berfirman kepada keduanya: “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata yang lemah lembut semoga ia beringat atau takut.” (Surah Taha, ayat 44)

Kepada Rasulullah SAW, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fushilat, ayat 34) 

Rasulullah SAW benar-benar menjalankan suruhan ini. Baginda membalas kejahatan dengan kebaikan. Baginda tidak menuntut balas terhadap musuh yang pernah berniat untuk memerangi dan membunuhnya serta tidak pernah mengeluarkan perkataan menyakitkan hati orang lain.





Credit: Dr Zahazan Mohamed

No comments:

Post a Comment