KALAU ikut undang-undang negara yang haramkan pukul kanak-kanak, ramai hamba ALLAH yang saya kenal sudah lama kena dakwa.

Semua yang berlaku berkaitan dengan kes didik kanak-kanak.

Cerita tentang ibu bapa pukul anak guna tali pinggang atau rotan jadi perkara biasa.

Saya masih ingat cerita seorang rakan menggantung adiknya yang degil kaki ke atas di dahan pokok dan kepulkan asap di bawah hingga dia serik.

Saya sendiri pernah jadi ‘mangsa dera’, diketuk di kepala dengan kayu pembaris oleh guru semasa di darjah dua kerana teragak-agak menjawab kali-kali.

Ketika dalam kelas Special Malay, saya kena rotan 16 kali di punggung kerana dapat 16 markah di bawah markah lulus hingga terpaksa duduk atas bantal ketika makan.

Di rumah atau di kelas mengaji al-Quran juga kadang-kadang saya kena cubit atau rotan kerana salah sebut.

Masa makan sebelum ke sekolah rendah, ibu letak kayu api di sebelah untuk pastikan saya habiskan setiap butir nasi tanpa bantahan dan tunggu depan pintu dengan senduk jika saya tiba di rumah selepas azan Maghrib.

Ayah ketuk lutut dengan pembaris ketika mengajar saya mengaji al-Quran kalau, umpamanya, yang patut dua harkat saya sebut satu harkat.

Ketika itu hati memberontak tetapi tidak berani bersuara. Semua itu kini tinggal kenangan, tapi sedar tak sedar, ia rupa-rupanya ada hikmah di sebaliknya; ia buat kita jadi orang.

Namun kes pasangan suami isteri yang direman sejak 18 Disember lalu oleh pihak berkuasa Sweden adalah sesuatu yang malang.


  • Pukul anak tak solat, pasangan dikenal pastiPasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan memukul anak lelaki mereka. - Foto dipetik daripada Astro Awani


Bayangkan, hanya kerana disyaki memukul tangan anak berusia lebih 10 tahun kerana tidak solat, mereka sudah dipisahkan dengan semua empat anak.


Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan penjara.

Tetapi apa boleh buat. itu undang-undang di sana. Kata orang, lain orang lain ragam, lain padang lain belalang.

Cuma kita berdoa dan terima insiden itu sebagai hikmah. Sekurang-kurangnya lebih ramai faham Islam.

Moga-moga mereka akan faham Islam sendiri tidak merestui tindakan memukul anak, isteri atau siapa sahaja sewenang-wenangnya?

Mereka perlu tahu Islam itu adil, bahkan dalam perang pun, di mana musuh yang mengaku kalah dan mencari perlindungan tidak boleh diserang.

Memukul anak yang berusia 10 tahun, tanpa mencederakan, jika tidak menunaikan solat pun dilakukan sebagai jalan terakhir.

Sebenarnya, mengharamkan tindakan memukul anak yang dibenarkan Islam tidak membuat keadaan di negara yang menguatkuasakan undang-undang seperti itu bertambah baik pun.

Beberapa pakar di Sweden berpendapat, sejak undang-undang itu dilaksanakan pada 1979, kanak-kanak di negara itu menjadi degil dan biadab.

Menurut laporan South China Morning Post, seorang ahli psikiatri terulung, David Eberhard menjelaskan, undang-undang itu menyebabkan kanak-kanak mula menuntut hak sama rata dengan orang dewasa.

“Ia menyebabkan kanak-kanak menjadi penentu keputusan keluarga bila hendak makan, tidur, menonton televisyen dan sebagainya,” katanya.

Islam adalah agama minoriti terbesar di Sweden. Negara itu ada kira-kira 9.5 juta penduduk dan antara 1 peratus dan 4 peratus beragama Islam.

Moga-moga dengan insiden ini akan membuka mata dan hati lebih ramai orang memahami dan menerima Islam.

Seperti yang berlaku dalam kes 9/11; ramai yang mulanya benci kepada Islam (termasuk anggota keluarga mereka yang terbunuh dalam tragedi itu), akhirnya mendapat hidayah dan memeluk Islam setelah meneliti isi al-Quran.

Sekurang-kurangnya empat perkara berlaku selepas 9/11 - sebuah negara terpilih menjadi rendah diri, memahami Islam, kegiatan antara kepercayaan menjadi subur dan ateis keluar dari kepompong.

Kata orang, September 11 bukan sekadar menukar Amerika. Ia mengubah sikapnya terhadap agama.

Sebelum 9/11 mereka tidak tahu apa-apa mengenai Ramadan atau undang-undang syariah, tapi insiden itu mendorong mereka mempelajari untuk memahami Islam.

Buku mengenai Islam menjadi best sellers, kolej-kolej di sana tawarkan lebih banyak kursus mengenai Islam, stesen-stesen TV mereka tiba-tiba memperkenalkan pakar-pakar Islam masing-masing.

'Wamakaruu wamakarallah wallahu khairul maakiriin'. - Ali Imran 3:54.






Credit: FARUSH KHAN/Sinar harian