Tuesday 29 April 2014

Wajib bela diri jika difitnah

MUGHIRAH bin Syu'bah seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal sangat cerdik. Beliau selalu menemukan jalan keluar setiap kali berdepan dengan permasalahan yang berat.

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah memberinya jawatan amir di Bahrain. Namun kerana rakyat Bahrain tidak menyukai Mughirah, Umar memecat beliau daripada jawatan tersebut, lalu menyuruhnya kembali ke Madinah.

Meskipun keinginan mereka dituruti, namun rakyat bimbang Umar akan berubah fikiran di masa hadapan. Mereka takut Mughirah akan ditugaskan kembali di Bahrain. Justeru, rakyat yang tak berbudi ini membuat rancangan jahat. Mereka berniat memfitnah Mughirah agar imejnya rosak di mata Khalifah Umar.

Ahli Bahrain mengumpulkan wang 100,000 dirham lalu diserahkan kepada seorang laki-laki. Orang ini lalu pergi ke Madinah untuk berjumpa sendiri dengan Khalifah Umar.

Di hadapan Umar, laki-laki dari Bahrain itu berkata: “Wahai Amirul mukminin, sesungguhnya Mughirah telah berkhianat. Ia mencuri wang negara sebanyak 100,000 dirham lalu menitipkannya kepadaku."
Lalu dia memperlihatkan wang yang dibawanya dan berkata: “Inilah buktinya."

Sebagai pemimpin yang adil, Umar segera memanggil Mughirah. Setelah menceritakan tuduhan tersebut, Umar bertanya kepadanya: “Apa pembelaanmu?"

Mughirah menjawab: “Wahai Amirul mukminin, orang ini telah berdusta. Aku tidak menitipkan wang 100,000 dirham kepadanya, akan tetapi 200,000 dirham."

Umar bertanya lagi: “Mengapa engkau melakukan perbuatan khianat?" Mughirah menjawab: “Aku terdesak kerana hajat keluargaku, wahai Amirul mukminin."

Orang yang membawa cerita dusta itu menjadi ketakutan. Bagaimana tidak, pada saat ini ia malah dituduh mencuri wang 100,000 dirham. Jika tidak dapat menghadirkannya, maka ia pasti dihukum. Tentu sahaja ia tidak memiliki wang sebanyak itu.

Orang ini segera berkata: “Tidak, demi Allah, wahai Amirul mukminin. Ia tidak menitipkan sedikitpun wang kepadaku. Sebenarnya aku hanya membuat cerita palsu. Kami rakyat Bahrain tidak menyukai Mughirah dan kami bimbang tuan akan mengembalikannya menjadi amir di negeri kami."

Umar bertanya kepada Mughirah: “Apakah yang membuat kamu membuat pengakuan palsu seperti tadi?"

Mughirah menjawab: “Orang jahat ini telah berdusta untuk menjatuhkan aku. Maka aku ingin menghinakannya."

Kisah ini terdapat dalam beberapa kitab sejarah antaranya, Siyar A’lam al-Nubala karya al-Hafiz Abu Abdillah al-Zahabi.


Bela diri

Seorang Muslim memang penyabar, namun bukan bermakna dia mesti berdiam diri apabila difitnah. Dia wajib membela dirinya dan menjelaskan hakikat yang berlaku.

Ambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran. Apabila isteri majikannya menuduh baginda merayu beliau, Nabi Yusuf segera menafikan tuduhan tersebut. Dengan tegas beliau menceritakan perkara yang sebenar: Dialah yang merayu diriku! (Yusuf: 26)

Seorang mukmin tidak boleh membiarkan dirinya menjadi mangsa fitnah dan kekeliruan. Malah ia mesti menutup segala kemungkinan yang boleh berlaku. Jelaskan duduk perkara yang sebenar sebelum sesiapa tersalah faham.

Pernah satu malam Safiyah mendatangi Rasulullah SAW yang tengah beriktikaf di masjid. Setelah berbincang beberapa saat, isteri Nabi SAW ini bangkit untuk beredar. Baginda turut berjalan untuk mengiringi beliau keluar.

Kebetulan dua orang laki-laki berlalu di tempat itu. Melihat Rasulullah SAW tengah berjalan dengan seorang perempuan, mereka mempercepat langkah untuk menjauh.

Rasulullah SAW segera memanggil mereka. Baginda ingin menutup kemungkinan berlaku salah faham di hati mereka. Baginda bersabda: “Ini isteriku Safiyyah binti Huyai."

Baginda bersabda: Sesungguhnya Syaitan mengalir di tubuh manusia seperti aliran darah. Aku bimbang ia akan membisikkan perkara buruk kepadamu. (riwayat al-Bukhari)

Semoga Allah menjaga kita daripada fitnah dan tuduhan palsu. Amin ya rabbal ‘alamin.

No comments:

Post a Comment