MUNGKIN namanya agak pelik bagi sesetengah orang terutamanya masyarakat yang tinggal di semenanjung Malaysia tetapi bagi masyarakat Sabah, Sarawak dan Brunei serta Wilayah Persekutuan Labuan, ambuyat dan kelupis tidak asing lagi bagi mereka kerana ianya merupakan makanan tradisional bagi bangsa mereka.
Seterusnya, ia merupakan sajian makanan yang menyelerakan. Ambuyat dan kelupis ini adalah hidangan makanan yang berasal daripada masyarakat berbangsa Melayu Brunei yang tinggal di negeri Sabah.
AMBUYAT
Ambuyat merupakan makanan tradisional kaum Bisaya di Sabah dan Brunei. Ambuyat berwarna putih cair dan teksturnya seperti gam. Ambuyat menjadi hidangan wajib ketika kenduri perkahwinan dan hari keramaian bagi penduduk yang berbangsa Bisaya.
Adakalanya, ambuyat dimakan bersama-sama sebagai hidangan makan tengah hari bagi menggantikan nasi.
Ambuyat diperbuat daripada pokok rumbia yang diproses menjadi sagu rumbia. Bagi masyarakat Bisaya yang tinggal di Beaufort, Sabah, untuk membuat ambuyat mereka perlu meredah hutan mencari pokok sagu.
Pokok sagu akan ditebang dan dibawa ke pondok pemprosesan sagu dan kebiasaannya kaum lelaki bertanggungjawab untuk mengupas kulit batang sagu tersebut. Setelah batang sagu siap dikupas, proses pembelahan dilakukan bagi mengeluarkan isi sagu yang terdapat di bahagian tengah batang sagu.
Kemudian, isi sagu yang berwarna putih dipotong kecil dan halus. Sagu yang siap dipotong akan ditapis dan direndam untuk tempoh tiga hari di dalam baldi yang berisi air. Selepas tempoh satu atau dua hari, isi sagu yang direndam akan menjadi sebatian. Sebatian ini adalah yang dinamakan sagu dan akan dimasak menjadi ambuyat.
Untuk menghasilkan ambuyat, tepung sagu digaul bersama air panas yang mendidih hingga menjadi kental dan kembang kerana ambuyat ini pada kebiasaannya dimakan menggunakan kayu sepit ataupun dikenali dengan panggilan chandas. Penggunaan chandas ini bagi membolehkan ambuyat yang kental boleh dipusing dan terbelit pada kayu tersebut.
KELUPIS
Kelupis merupakan salah satu jenis kuih tradisional yang terdapat di Sabah, Sarawak dan Brunei. Seperti ambuyat, kelupis juga merupakan hidangan istimewa yang sedap dihidang ketika masih panas.
Bagi suku kaum yang berbangsa Bisaya, kelupis sama seperti lemang atau ketupat bagi orang semenanjung, cuma cara memasak dan kaedah penghasilannya sahaja berbeza. Selain itu, kelupis ini sering dihidangkan sempena majlis perkahwinan dan juga majlis hari raya serta hari kebesaran yang lain.
Untuk menghasilkan kelupis ini, beras pulut dan santan merupakan bahan utamanya. Mula-mula masukkan santan dan daun pandan dalam kuali dengan menggunakan paras api yang perlahan. Hal ini bagi mengelakkan ramuan tersebut menjadi hangus.
Kemudian, biarkan santan dan daun pandan yang dimasukkan sehingga mendidih dan pecah minyak. Bila minyak timbul sikit di permukaan santan, maka bolehlah memasukkan beras pulut dan garam serta gaul hingga separuh masak dan santan kering.
Setelah itu, beras pulut yang digaul sebati dan sudah masak akan diangkat dari kuali dan dibungkus dalam daun nyirik ataupun daun pisang.
Daun nyirik ini merupakan sejenis daun yang khas untuk membungkus kelupis dan kebiasaannya daun ini akan membuatkan kelupis tahan lama berbanding daun pisang dan tidak mudah koyak. Selepas habis membungkus, kelupis ini akan dikukus semula sehingga masak.
Tekstur kuih kelupis ini tidaklah keras dan tidak juga lembik. Kuih ini juga sedap kalau dimakan bersama kuah kacang, kari ayam, kari daging, rendang, sambal dan sebagainya.
Ambuyat dan kuih kelupis merupakan makanan warisan turun-temurun bagi masyarakat berbangsa Bisaya.
Melalui makanan juga boleh mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan masyarakat. Hal ini kerana masyarakat yang berlainan budaya boleh merasa makanan tradisional suku kaum Bisaya ini dan secara tidak langsung dapat mengenali budaya mereka.
Oleh itu, kehidupan yang berpuak-puak ini menyebabkan manusia ingin berkenalan dan menjalin hubungan baik antara satu dengan yang lain. Masing-masing saling memerlukan antara satu dengan yang lain dan bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat dan negara yang maju dalam semua bidang seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan politik serta membina kehidupan yang lebih harmoni demi kepentingan bersama.
Credit: ZAIMAH BINTI DININ
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
No comments:
Post a Comment