Tuesday 1 April 2014

Pati di Sabah perlu penyelesaian menyeluruh



LAHAD DATU - Masalah pendatang tanpa izin (PATI) yang sudah sekian  lama menghantui rakyat Sabah memerlukan penyelesaian menyeluruh, dan bukan diletakkan di bahu pihak keselamatan semata-mata, kata Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek.
   
Beliau berkata tanpa penglibatan semua pihak, usaha membendung kebanjiran PATI di negeri ini mungkin tidak berkesan.



   
"Jelas sekali, isu ini memerlukan kerjasama semua pihak. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pasukan keselamatan. Paling tidak pun, sekurang-kurangnya kita menyalurkan maklumat penting berkaitan kehadiran PATI kepada pihak berkuasa kita untuk tindakan lanjut," katanya.
   
Mohammad berkata demikian ketika menyampaikan taklimat ringkas Esscom sempena lawatan anggota Persatuan Nelayan Sabah (Pengasah) yang diketuai Presidennya Jaini Ating ke ibu pejabat Esscom, Harbour City, dekat sini semalam.



   
Berdasarkan laporan dan maklum balas yang diterima pihaknya, masih terdapat majikan yang menggaji pekerja daripada kalangan PATI dan menyewakan rumah mereka kepada golongan ini, katanya.


Mohammad berkata:"Jadi bagaimana kita menyelesaikan masalah PATI kalau orang tempatan sendiri melindungi mereka....ini sepatutnya tidak berlaku."



   
Pada lawatan itu, beliau juga berkata peranan nelayan selaku anggota masyarakat yang  arif mengenai perairan setempat amat penting kerana mereka boleh menjadi "mata dan telinga" pihak berkuasa untuk melaporkan kehadiran PATI khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Ezzone).  



   
"Ini bermakna para nelayan boleh membantu pasukan keselamatan melebarluaskan liputan pengawasan keselamatan, sekaligus memantapkan lagi usaha Esscom untuk menjaga dan memelihara keselamatan rakyat khususnya di Esszone," katanya.



   
Bagaimanapun, Mohammad berkata bukan mudah untuk menjayakan misi Esscom kerana ia berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kawasan perairan yang luas dan pesisiran pantai yang panjang.
   
Mengenai pelbagai isu termasuk masalah penyeludupan dan jenayah rentas sempadan yang dibangkitkan oleh anggota Pengasah, Mohammad berkata pihak Esscom akan mengambil tindakan susulan berhubung perkara itu.




Terdahulu, Jaini menyerahkan memorandum kepada Mohammad untuk penelitian pihak Esscom.
   
Jaini berkata memorandum itu, antara lain, mencadangkan penubuhan sukarelawan Esscom yang melibatkan golongan belia nelayan dan penyediaan peralatan perhubungan khas kepada nelayan terpilih bagi memudahkan mereka menghubungi Esscom jika berlaku kejadian jenayah dalam kawasan perairan Esszone.



   

Beliau turut menyambut baik penubuhan Esscom yang menurut mereka memberi kelegaan kepada para nelayan daripada segi keselamatan.
   
"Selepas Esscom ditubuhkan, keadaan keselamatan di pantai timur Sabah bertambah baik....nelayan tidak lagi takut-takut keluar menangkap ikan,"katanya. 








Credit: Bernama

No comments:

Post a Comment