Google+ Followers

Wednesday, 2 April 2014

Kapal selam HMS Tireless sertai misi mencari MH370


Kapal Selam Nuklear British, HMS Tireless menghampiri pelabuhan Gibraltar dalam perjalanan ke selatan Lautan Hindi untuk menyertai misi mengesan pesawat MH370, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR 2 April - Kapal selam milik United Kingdom (UK) jenis Trafalgar Class tiba di selatan Lautan Hindi untuk membantu pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Suruhanjaya Tinggi British dalam kenyataan di sini hari ini menyatakan, penghantaran HMS Tireless itu telah dimaklumkan oleh Setiausaha Pertahanan United Kingdom, Philip Hammond kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Malaysia Defence Secretary Hishammuddin Hussein

“Dengan keupayaan tinggi mencari sehingga ke dasar laut, HMS Tireless boleh menyumbang kepada pencarian lokasi pesawat yang hilang itu.

“UK telah menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa Malaysia sejak kehilangan pesawat itu dan memberikan sokongan yang tidak terhingga," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kapal HMS Echo yang berkeupayaan tinggi mencari serpihan pesawat di permukaan air dan mampu mengesan isyarat dari kotak hitam akan turut dihantar ke Lautan Hindi.

“Kapal itu yang mempunyai keupayaan meninjau kawasan di sekitarnya akan dapat membantu pihak berkuasa mengecilkan lagi lokasi pencarian.

“Kerajaan UK turut membantu dengan menyediakan bantuan kepakaran teknikal daripada Kementerian Pertahanan, Pejabat Hidrografi, Jabatan Pengangkutan dan Pejabat Meteorologi untuk membantu mengesan pesawat itu," jelasnya.

Tambahnya, empat pegawai Tentera Udara Diraja British yang dipinjamkan kepada Tentera Udara Diraja Australia dan Tentera Udara Diraja New Zealand turut terlibat secara aktif dalam pencarian maritim itu.


Credit: Rodelio Junjun Taucan