Usah memandang enteng usaha dan daya seseorang menulis kerana hasilnya nanti bakal memberi makna serta impak tersendiri. Jika bukan untuk orang lain, ia akan lebih bernilai buat penulis. 

Penulis juga perlu mengaudit diri apabila mencatat sesuatu supaya ia memberi kesan baik. Berhati-hati menggarapkan idea supaya catatan tidak membawa kepada unsur takbur, ujub, riak, fitnah dan mengadu domba. 

Mata pena lebih tajam daripada pedang. Jika ia bermanfaat, ketajaman itu bakal memberi makna dan perubahan dalam kehidupan. Namun jika sebaliknya, maka tusukan ‘pedang’ itu akan membunuh jiwa-jiwa yang membacanya. 


Penyampaian ilmu menerusi penulisan 

Penulis yang baik akan mengambil kira unsur yang memudahkan penyampaian ilmu menerusi penulisan supaya dapat dicerna oleh pembaca. Sabda Nabi SAW: “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing.” (Riwayat Muslim) 

Malah, bahasa digunakan juga perlu mudah difahami. Setiap daripada kita perlu memahami keterbatasan ilmu yang dimiliki dengan memudahkan apa yang sukar bukannya merumitkan perkara yang biasa. 

Paling penting, setiap apa yang ingin dicatat atau ditulis, penulis adalah individu yang paling berhak untuk mengambil inspirasi serta mengamalkannya. 

Imam Ghazali pernah bermunajat, “Janganlah Engkau menjadikan kami termasuk dalam golongan orang yang hanya bercakap, kami mendengar, tetapi kami tidak mengamalkannya, kami mendengar, tetapi tidak menerima. Jangan jadikan kami orang yang apabila diingatkan, kami menangis keinsafan, namun apabila datang waktu untuk mengamalkannya, kami seperti biasa, melalaikan dan melupakannya.” 

Munajat adalah contoh catatan yang berbisa dan berbekas di hati. Melalui catatan pengalaman hidup, ia mampu memberi pengajaran dan pedoman kepada generasi lain biarpun masa terus beredar. 

Apabila menulis atau mencatat, elemen akal, hati dan fizikal umpama bergabung untuk menterjemahkan hasil penulisan itu. Maka, mencatat adalah satu proses yang berkait dengan akal. Tafakur dengan hati tenang dan waras akan menyalurkan suatu luahan yang baik dan sempurna. 

Justeru, memahami serta mentadabbur ayat al-Quran akan menghasilkan penulisan yang baik dan memberi makna. Ia akan mengajar kita merenung, berfikir dan memperhalusi tanda kebesaran Allah SWT dalam mencari erti kehidupan sebenar. 

Sesungguhnya setiap ciptaan Allah SWT di muka bumi ini mempunyai ibrah tersendiri untuk dikutip oleh manusia yang tahu menghargainya. Begitu juga memahami dan memikirkan apa yang dilihat, didengar dan dirasa akan menghasilkan bentuk penulisan bermakna. 

Ada kala kita belajar daripada kehidupan orang lain, makhluk ciptaan Allah SWT dan meluahkan dalam bentuk penulisan yang boleh memberi pedoman kepada sesiapa saja serta menjadi peninggalan sampai bila-bila. 


Ilmu disampaikan turun-temurun oleh ulama terdahulu 

Kesungguhan ulama terdahulu, pada hari ini kita masih dapat melihat ilmu itu terus bertebaran dan disampaikan turun-temurun ke generasi seterusnya. 

Sungguh hebat ilmuwan dulu. Disebabkan keazaman, kemahiran dan keinginan mencatat, akhirnya ia menjadi sumber inspirasi biarpun zaman dan musim terus beredar. Ia akan terus menjadi ejen kebaikan disebabkan satu daya usaha iaitu mencatat atau menulis. 

Biarpun pada masa kini, penulisan sedikit berbeza seiring teknologi yang maju, namun ia tidak menyekat perkembangannya. Malah apa yang penting, dengan pesatnya pembangunan teknologi maka lebih pantas lagi perkembangan ilmu melalui catatan atau penulisan.