Wednesday, 30 April 2014

Persahabatan yang sebenar

SAHABAT merupakan insan yang selalu berdampingan dengan kita. Teman, rakan, kawan atau apa jua istilahnya, ia dapat difahami sebagai sesuatu yang menjadi lumrah dalam kehidupan umat manusia. 

Sebagai sebuah agama yang lengkap lagi sempurna, Islam turut mengajar manusia tentang sahabat dan nilai-nilai penting yang perlu ada dalam sebuah persahabatan.

Sejarah bangsa terdahulu menyaksikan dengan jelas bagaimana Islam membawa nilai persahabatan yang sebenar. Dengan hadirnya Islam, permusuhan antara kaum Aus dan Khazraj di Madinah yang terjadi sekian lama berjaya dihentikan. Bahkan, bukan sekadar itu, mereka akhirnya bersahabat baik seperti saudara kandung dan berjuang bersama-sama menegakkan agama Islam ketika itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersepadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. (Ali Imran: 103)

Bagi mereka yang mengamati dengan teliti, tentu akan timbul rasa kagum bagaimana permusuhan yang terjadi sekian lama mampu dihapuskan dengan nilai-nilai Islam. Islam mengajar agar sentiasa menanamkan sifat kasih dan sayang terhadap manusia baik terhadap orang Islam mahupun yang belum Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kamu akan melihat orang-orang mukmin saling mengasihi, mencintai dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya). (riwayat al-Bukhari)

Islam mengajar manusia agar saling berkasih-sayang dalam kehidupan. Namun nilai ini hanya tinggal teori semata-mata. Umat Islam kini sesama sendiri saling bertelagah dan berpecah belah, seakan-akan sifat kasih-sayang sesama Muslim telah hilang sama sekali.

Sedangkan apabila adanya pertelingkahan, Islam mengajar kita agar saling mendamaikan kedua-dua pihak, bukan menambah api permusuhan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat: 10)


Amalan mulia


Kawan menjadi tempat meminta pertolongan dalam urusan kehidupan di dunia ini. Sememangnya sifat tolong-menolong tidak dapat dipisahkan dalam persahabatan kerana ia antara sebab persahabatan itu terjalin dan menjadi kukuh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa membebaskan seorang mukmin daripada suatu kesusahan dunia, maka Allah akan membebaskannya daripada suatu kesusahan di hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesusahan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama Muslim. (riwayat Muslim)
Tolong-menolong sememangnya amalan mulia. Namun, Islam hanya membataskan pertolongan kepada manusia dalam hal yang baik sahaja. 

Tidak dibenarkan tolong-menolong dalam perkara maksiat dan keburukan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Tolong-menolonglah untuk membuat kebaikan dan bertakwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya. (al-Maidah: 2)


Berlapang dada

Tegur-menegur juga penting antara satu dengan yang lain. Hanya kerana seseorang itu merupakan kawan kita, ia tidak bermakna dia terlepas daripada ditegur jika melakukan kesalahan. Menegur atau mengkritik bukanlah bermakna kita mahu bermusuhan dengannya. Namun atas dasar persahabatan dan inginkan kebaikan buatnya, maka kesalahan yang dilakukan hendaklah ditegur, dikritik dan dibaiki dengan baik lagi berhikmah.

Rasulullah S.AW bersabda yang bermaksud: Tolonglah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi. Salah seorang sahabat bertanya, Wahai Rasulullah, Kami boleh menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana mahu menolong orang yang zalim? Baginda menjawab, Menghalangnya agar tidak melakukan kezaliman. Itulah cara untuk menolongnya. (riwayat al-Bukhari)

Hari ini, menjadi satu kebiasaan jika keburukan yang dilakukan kawan dibiarkan begitu sahaja. Serba salah untuk menegur kawan sendiri kerana bimbang berkecil hati dengan teguran tersebut.

Seharusnya seorang kawan yang baik, hendaklah berlapang dada dan menerima teguran yang diberikan untuk berfikir dan memperbaiki diri. Bukan memarahi atau memandang serong apabila ditegur oleh rakan.
Semoga kita dapat memperbaiki nilai-nilai persahabatan agar ia berkekalan dengan lebih baik. Insya-Allah.






Credit: MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR

Tuesday, 29 April 2014

Contohi semangat waja Sultan Muhammad Al-Fateh

Sebut saja Constantinople yang kini dikenali sebagai Istanbul di Turki, pasti ramai akan terkenangkan ketokohan pejuang Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh. 



Sabda Rasulullah SAW ketika menggali Parit Khandaq: “Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Riwayat Imam Ahmad).


Pejuang Islam berusaha dan berlumba-lumba dalam cubaan untuk membebaskan Constantinople daripada empayar Byzantine bagi mendapatkan penghormatan yang dijanjikan Allah SWT. 



Hadis Nabi SAW menjadi realiti kira-kira 800 tahun kemudian oleh khalifah ketujuh kerajaan Uthmaniyyah, Sultan Muhammad Al Fateh, bersama 150,000 tenteranya. 

Sultan Muhammad Al-Fateh atau nama sebenar beliau Sultan Muhammad dilahirkan di Adrianapolis (sempadan Turki-Bulgaria) pada 29 Mac 1432 Masihi. 


Cintakan ilmu 


Terkenal dengan sifat yang sangat cintakan ilmu, beliau memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang antaranya ketenteraan, sains, kejuruteraan, falsafah dan matematik. Beliau juga menguasai enam bahasa iaitu Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki dan Parsi. 

Beliau seorang yang sangat rendah diri sehingga ulama serta pemimpin terbabit dalam membina Benteng Bereli Hassan melihat beliau membuka serban untuk mengangkat batu dan pasir. 




Bapanya, Sultan Murad menjadikan al-Quran sebagai asas utama dalam mendidik Sultan Muhammad Al-Fateh hingga beliau menjadi pemuda yang hebat. 

Sejak kecil iaitu dari umur empat tahun, ibunya, Huma Hatun membawa Sultan Muhammad Al-Fateh ke atas bukit berdekatan Kota Constantinoplel bagi menanam impian dan wawasan suatu hari nanti beliau akan mampu menguasai kota itu. 




Pada usia 12 tahun, Sultan Muhammad Al-Fateh dilantik menjadi pemimpin sebuah pulau kecil, Pulau Magnesia kerana bapanya ingin melihat bagaimana Sultan Al-Fateh belajar membuat keputusan serta berdikari. 


Misi takluk Byzantine pada usia 21 tahun 

Beliau memulakan misi penaklukan Kota Constantinople pada umur 21 tahun iaitu dua tahun selepas dilantik menjadi sultan. Sebelum beliau terdapat 12 kali percubaan telah dilakukan untuk merobohkan Empayar Byzantine. 

Sebelum serangan, Sultan Muhammad Al-Fateh pernah menyamar untuk menyelinap masuk ke dalam kota bertujuan mengenal pasti selok-belok kota serta mencari sendiri kekuatan dan kelemahan kota milik Empayar Byzantine itu. 




Strategi dilancarkan terhadap tentera Rom ini sama dengan strategi daripada peperangan Rasulullah SAW dan Salahuddin Al-Ayyubi kerana dua ikon hebat ini antara rujukan paling disanjungi Sultan Muhammad Al-Fateh. 




Persediaan dilakukan kira-kira dua bulan termasuk mereka bentuk meriam gergasi sebagai alat perang. Berkat kesungguhan serta sifat sabar dimiliki, akhirnya pada tanggal 29 Mei 1453 Kota Constantinople berjaya ditawan kerajaan Islam dan nama Constantinople ditukarkan menjadi Istanbul (Islam keseluruhannya). 


File:Ayasofya-Innenansicht.jpg
Ayasofya Museum
Sultan Muhammad Al-Fateh juga telah melumurkan pasir ke mukanya selepas melakukan sujud syukur di atas pembukaan kota itu menyebabkan beliau digelar sebagai Al-Fateh yang membawa maksud pembukaan. 




Semangat dan sifat mulia beliau seharusnya menjadi contoh belia Islam hari ini. Kita seharusnya memanfaatkan usia muda ini dengan sebaiknya. Sebolehnya dalam diri perlu ada cita-cita tinggi. Kita juga hendaklah berusaha membangunkan dan mempertahankan bangsa, negara dan agama Islam.





Credit: Nur Aziana Abdul Manaf


Bertuah terlibat dalam arena dakwah



HIDAYAH itu milik Allah. Ia akan dikurniakan buat hamba pilihan-Nya. Walaupun mungkin pada awalnya, individu tersebut adalah sejahat-jahat manusia, namun apabila cahaya keimanan meresap ke dalam jiwa, tiada siapa mampu menghalangnya memilih akidah yang suci.
Itulah yang dialami oleh pendakwah tersohor dari Boston, Amerika Syarikat (AS), Imam Suhaib Webb yang menemui sinar Islam pada usia 20 tahun.
Malah, Suhaib sangat bertuah kerana berpeluang melibatkan diri dalam arena dakwah secara menyeluruh berbanding dengan mereka yang memang dilahirkan sebagai seorang Muslim.
Di Malaysia, figura hebat ini juga semakin dikenali sejak mengacarakan rancangan berbentuk keagamaan, Reflections di saluran TV AlHijrah bermula tahun 2011.
Ironinya, Suhaib dilahirkan di Oklahoma, AS dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh pada ajaran Kristian Protestan sementelah datuknya merupakan seorang paderi.
Bagaimanapun, pada usia 14 tahun, beliau hilang minat terhadap agama yang dianuti. Keyakinannya juga semakin pudar dalam kehidupan beragama dan situasi itu disifatkan satu krisis kerohanian dalam diri.
Jiwa mudanya mula memberontak sekali gus melakukan pelbagai perkara yang teruk selepas berkawan dengan kumpulan remaja samseng dan liar.
Menurut Suhaib, jika diimbas kehidupan lampaunya, ia hanya dipenuhi dengan sejarah hitam yang sebolehnya ingin dipadamkan dari kotak fikirannya.
Ini kerana zaman remajanya dihiasi dengan pelbagai aktiviti liar. Daripada minum arak, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita hinggalah terlibat dengan gejala dadah.
"Pada waktu yang sama, saya juga berkecimpung dalam dunia hiburan sebagai seorang deejay dan menjadi salah seorang ahli dalam kumpulan hip hop AK Assault.
"Jujurnya kehidupan saya langsung tidak terurus. Sebagai seorang manusia di sisi Tuhan, terlalu banyak dosa yang telah saya lakukan. Memang saya sangat menyesal dengan corak kehidupan tersebut," cerita Suhaib ketika ditemui sewaktu rakaman rancangan Reflections musim ke-16 dan 17 di Kompleks Penyiaran TV AlHijrah, Kuala Lumpur baru-baru ini.
SIAPA sangka lelaki yang dilahirkan dengan nama William Webb ini akhirnya memilih Islam sebagai jalan hidupnya.



Hijrah
Memiliki bentuk tubuh yang tegap dan sasa dengan ketinggian mencecah hampir dua meter, sekali pandang Suhaib kelihatan garang dengan riak wajah yang agak serius.
Malah, sukar untuk melihat senyuman terukir di bibirnya melainkan hanya sekali dua dalam pertemuan tersebut rentetan jenaka spontannya.
Setiap persoalan yang ditanya pula, pasti dijawab dengan ringkas dan seadanya. Dalam erti kata lain, tidak meleret-leret.
Pada hemat penulis, keperibadian itu mungkin disebabkan sisi gelap yang pernah dilalui sekali gus membuatkan beliau lebih berhati-hati dalam setiap perlakuan dan tutur bicara.
Tiga tahun sebelum memeluk Islam, Suhaib terlebih dahulu telah membaca al-Quran yang dihadiahkan oleh seorang kenalan dalam industri seni.
Melalui kitab suci itulah, beliau mula menyedari betapa pentingnya kehidupan beragama yang akan memandu manusia ke jalan yang diredai.
Logik al-Quran
"Dengan membaca al-Quran dan terjemahannya, ia memberi saya banyak pengajaran. Ia mengajar saya untuk menghormati pelbagai aspek dalam kehidupan dan mempelajari tentang tauhid iaitu keesaan Allah.
"Paling penting isi kandungan al-Quran memberi penjelasan yang sangat logik dalam setiap perkara," ujarnya yang memberitahu ibu bapanya risau apabila mengetahui beliau memeluk Islam kerana ia sering dikaitkan dengan keganasan.
MENGELOLAKAN rancangan Reflections di TV AlHijrah sejak tahun 2011 telah melonjakkan populariti Suhaib dalam arena dakwah di Malaysia.



Namun, akhirnya keluarga Suhaib menerima agama Islam yang dianuti dan hubungan yang terjalin antara mereka masih baik hingga sekarang.
Sebaik memeluk Islam, Suhaib meninggalkan kerjayanya sebagai deejay dan kemudian melanjutkan pengajian di University of Central Oklahoma dalam bidang pendidikan.
Tidak ketinggalan, beliau turut mengambil inisiatif mendalami ajaran Islam dan mempelajari bahasa Arab dengan seorang ulama dari Senegal.
Bermula dari situ, Suhaib telah dilantik mengetuai pusat komuniti Islam, The Islamic Society of Greater Oklahoma City dan menjadi imam di sana.
Photo: Dallas! Imam Suhaib will be delivering the 1st Khutba at 1pm and an open Friday program for the community at 8pm, both at Plano Masjid. All of this followed by Ella Collins Institute's new class Al Munfarijah - The Reliever on Saturday!
Jelas Suhaib, menjadi imam tidak pernah terfikir olehnya kerana cita-cita awalnya hanya untuk bergelar seorang guru dengan ijazah pendidikan yang dimiliki.
Tambahan pula, usianya yang masih muda dan baru memeluk Islam menjadi faktor beliau bimbang tidak mampu melaksanakan amanah yang diberikan.
"Namun, atas permintaan guru agama, saya terpaksa akur. Kini sudah hampir 12 tahun saya menjadi imam di sana. Melalui pengalaman yang ada, saya percaya golongan muda seharusnya diberi peluang menjadi imam.
"Jangan bimbang jika anda melakukan kesilapan kerana ia memberi kita pengajaran yang bermakna. Malah kalau hendak berjaya, kita perlu gagal dahulu," tuturnya.
Pada tahun 2004, Suhaib sekali lagi melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Selama enam tahun berada di Mesir, beliau turut belajar menghafal al-Quran dan mempelajari kaedah bacaan secara bertaranum dari Sheikh Abu Mustafa, seorang ulama terkenal di Mekah.
Ilmu yang dimiliki Suhaib tidak disimpan seorang diri sebaliknya disampaikan kepada komuniti Islam di Amerika Syarikat dan juga United Kingdom melalui tiket sebagai pendakwah bebas.
Photo: #ArtMonday Standing  between two suns.
HUBUNGAN Suhaib bersama komuniti Islam di Boston sentiasa baik lantaran sikapnya yang sering prihatin dengan kehidupan saudara seagama.



Kini, Suhaib merupakan imam di Masjid Boston di bawah kendalian Islamic Society of Bolton Culture Centre (ISBCC), antara komuniti Islam terbesar di AS.
Beliau turut mengendalikan sebuah laman web Suhaib Webb - Your Virtual Mosque yang boleh dilayari di www.suhaibwebb.com sebagai salah satu usaha dakwah kepada masyarakat.
Ditanya mengenai penglibatannya dalam bidang seni, Suhaib berkata, dia masih terlibat tetapi secara suka-suka seperti menonton konsert Ramli Sarip di Malaysia.
"Bidang seni merupakan satu cabang dakwah yang boleh merapatkan sesama manusia. Malah, seni juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Islam atau dalam erti kata lain dakwah melalui seni," ungkapnya.

Wajib bela diri jika difitnah

MUGHIRAH bin Syu'bah seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal sangat cerdik. Beliau selalu menemukan jalan keluar setiap kali berdepan dengan permasalahan yang berat.

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah memberinya jawatan amir di Bahrain. Namun kerana rakyat Bahrain tidak menyukai Mughirah, Umar memecat beliau daripada jawatan tersebut, lalu menyuruhnya kembali ke Madinah.

Meskipun keinginan mereka dituruti, namun rakyat bimbang Umar akan berubah fikiran di masa hadapan. Mereka takut Mughirah akan ditugaskan kembali di Bahrain. Justeru, rakyat yang tak berbudi ini membuat rancangan jahat. Mereka berniat memfitnah Mughirah agar imejnya rosak di mata Khalifah Umar.

Ahli Bahrain mengumpulkan wang 100,000 dirham lalu diserahkan kepada seorang laki-laki. Orang ini lalu pergi ke Madinah untuk berjumpa sendiri dengan Khalifah Umar.

Di hadapan Umar, laki-laki dari Bahrain itu berkata: “Wahai Amirul mukminin, sesungguhnya Mughirah telah berkhianat. Ia mencuri wang negara sebanyak 100,000 dirham lalu menitipkannya kepadaku."
Lalu dia memperlihatkan wang yang dibawanya dan berkata: “Inilah buktinya."

Sebagai pemimpin yang adil, Umar segera memanggil Mughirah. Setelah menceritakan tuduhan tersebut, Umar bertanya kepadanya: “Apa pembelaanmu?"

Mughirah menjawab: “Wahai Amirul mukminin, orang ini telah berdusta. Aku tidak menitipkan wang 100,000 dirham kepadanya, akan tetapi 200,000 dirham."

Umar bertanya lagi: “Mengapa engkau melakukan perbuatan khianat?" Mughirah menjawab: “Aku terdesak kerana hajat keluargaku, wahai Amirul mukminin."

Orang yang membawa cerita dusta itu menjadi ketakutan. Bagaimana tidak, pada saat ini ia malah dituduh mencuri wang 100,000 dirham. Jika tidak dapat menghadirkannya, maka ia pasti dihukum. Tentu sahaja ia tidak memiliki wang sebanyak itu.

Orang ini segera berkata: “Tidak, demi Allah, wahai Amirul mukminin. Ia tidak menitipkan sedikitpun wang kepadaku. Sebenarnya aku hanya membuat cerita palsu. Kami rakyat Bahrain tidak menyukai Mughirah dan kami bimbang tuan akan mengembalikannya menjadi amir di negeri kami."

Umar bertanya kepada Mughirah: “Apakah yang membuat kamu membuat pengakuan palsu seperti tadi?"

Mughirah menjawab: “Orang jahat ini telah berdusta untuk menjatuhkan aku. Maka aku ingin menghinakannya."

Kisah ini terdapat dalam beberapa kitab sejarah antaranya, Siyar A’lam al-Nubala karya al-Hafiz Abu Abdillah al-Zahabi.


Bela diri

Seorang Muslim memang penyabar, namun bukan bermakna dia mesti berdiam diri apabila difitnah. Dia wajib membela dirinya dan menjelaskan hakikat yang berlaku.

Ambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran. Apabila isteri majikannya menuduh baginda merayu beliau, Nabi Yusuf segera menafikan tuduhan tersebut. Dengan tegas beliau menceritakan perkara yang sebenar: Dialah yang merayu diriku! (Yusuf: 26)

Seorang mukmin tidak boleh membiarkan dirinya menjadi mangsa fitnah dan kekeliruan. Malah ia mesti menutup segala kemungkinan yang boleh berlaku. Jelaskan duduk perkara yang sebenar sebelum sesiapa tersalah faham.

Pernah satu malam Safiyah mendatangi Rasulullah SAW yang tengah beriktikaf di masjid. Setelah berbincang beberapa saat, isteri Nabi SAW ini bangkit untuk beredar. Baginda turut berjalan untuk mengiringi beliau keluar.

Kebetulan dua orang laki-laki berlalu di tempat itu. Melihat Rasulullah SAW tengah berjalan dengan seorang perempuan, mereka mempercepat langkah untuk menjauh.

Rasulullah SAW segera memanggil mereka. Baginda ingin menutup kemungkinan berlaku salah faham di hati mereka. Baginda bersabda: “Ini isteriku Safiyyah binti Huyai."

Baginda bersabda: Sesungguhnya Syaitan mengalir di tubuh manusia seperti aliran darah. Aku bimbang ia akan membisikkan perkara buruk kepadamu. (riwayat al-Bukhari)

Semoga Allah menjaga kita daripada fitnah dan tuduhan palsu. Amin ya rabbal ‘alamin.

Budaya buruk selfie

Selfie yang merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar atau kamera web untuk tujuan dimuat turun ke laman sosial seperti facebook, instagram dan twitter, kini menjadi fenomena di seluruh dunia daripada orang biasa hingga kepada pemimpin dunia.

Begitu popularnya trend tersebut sehinggakan perkataan selfie dipilih sebagai perkataan tahunan 2013 selepas penggunaannya meningkat sebanyak 17,000 peratus sejak tahun sebelumnya.

Pemilihan tersebut dilakukan oleh syarikat penerbit, Oxford Dictionaries selepas perkataan Inggeris itu paling kerap digunakan pada tahun tersebut.

Begitupun, sebagai orang Timur lebih-lebih lagi beragama Islam, obses berkongsi gambar sehingga terlupa batas-batas dan had yang sepatutnya diselindung, tidak sewajarnya dilakukan.

Tambahan pula jika perbuatan itu sekadar mahu mencari kepuasan melihat gambar tersebut mendapat puluhan komen atau meraih ratusan atau ribuan like.

Pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kerja Sosial, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin berkata, selfie adalah singkatan kepada gabungan perkataan potret diri sendiri (self-potrait).

“Bergambar bukanlah sesuatu yang salah. Ia menjadi kurang wajar apabila perbuatan tersebut dilakukan secara berlebihan tanpa tujuan serta menimbulkan rasa jelek dan salah tanggapan, apatah lagi jika gambar tersebut dalam bentuk memalukan dan tidak sepatutnya dikongsi dengan orang lain.

“Selfie merupakan budaya baru membabitkan tabiat yang sukar dimengerti. Sebagai contoh, kalau dahulu hanya wanita sahaja yang obses untuk menonjolkan penampilan dan paras rupa mereka, tetapi sekarang golongan lelaki juga berebut-rebut berbuat demikian," katanya.

Menurut Siti Azura, bukanlah menjadi isu besar jika individu mengambil gambar sendiri mahupun bersama-sama kumpulan ketika sedang melakukan aktiviti dengan tujuan menyampaikan maklumat dan berkongsi kegembiraan.

Bagaimanapun, nampak aneh dan jelek di mata kebanyakan orang jika gambar tersebut sengaja diambil dengan aksi mengada-nada, seksi, gaya mulut itik (duckface) dan sebagainya.

Menurutnya lagi, tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja paling ramai berminat dengan tabiat selfie berbanding golongan dewasa dan orang tua.

“Dalam ilmu psikologi, remaja diklasifikasikan sebagai golongan yang mudah terpengaruh dan sedang mencari ‘identiti diri’ untuk membentuk keyakinan.

“Mereka adalah golongan yang mudah terikut-ikut dengan kawan dan budaya yang dilihat. Mereka juga adalah golongan yang tidak pandai menangani tekanan dan akan mudah hilang kawalan diri," katanya.

Beliau mengambil contoh, kes yang berlaku kepada seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dari England, Danny Bowman, yang menghabiskan masa hampir 10 jam setiap hari untuk mengambil kira-kira 200 gambar selfie menggunakan telefon bimbit.

Tabiat pelik yang membelenggu remaja lelaki itu yang berlarutan selama tiga tahun akhir memakan diri apabila keadaan tersebut hampir meragut nyawanya. Dia berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan gambar yang diambilnya hingga menyebabkan dia mengalami penyusutan berat badan sebanyak 20 kilogram.

“Bagi kes ini, saya rasa ibu bapa orang yang paling bertanggungjawab untuk memantau segala aktiviti dan tingkah laku anak mereka. Tidak salah jika ibu bapa mengambil tahu apa yang dilakukan anak-anak dan dengan siapa mereka berkawan sebagai langkah berjaga-jaga," jelasnya.

Menurut Siti Azura lagi, individu yang gemar bergambar secara selfie kebiasaannya mempunyai motif untuk tujuan kepuasan sementara.

Golongan ini katanya, ingin memaklumkan atau berkongsi 'saat itu' atau aktiviti yang sedang dilakukan atas alasan berkongsi pengalaman dan rasa gembira.

“Ada sebahagiannya suka berbuat demikian untuk menghiburkan diri sendiri dan menghilangkan tekanan. Ada yang memuat naik gambar sendiri dalam laman sosial untuk tujuan perkongsian tanpa ada motif yang keterlaluan.

“Ada pula mereka yang keterlaluan dalam menunjuk sesuatu perkara sehingga berkongsi perkara yang sepatutnya menjadi hak privasi mereka seperti gaya tidur, saat bercinta, malah gambar dalam tandas pun mahu dikongsi dengan orang ramai," katanya.

Beliau mengambil contoh di Thailand, budaya selfie yang begitu popular terutama di kalangan remaja, menyebabkan Jabatan Kesihatan Mental negara itu telah mengeluarkan amaran kepada generasi muda yang terlalu obses.

Kerajaan Thailand berpendapat, sikap ini boleh menyebabkan masalah mental pada masa hadapan terutama sekali berkaitan keyakinan diri, di mana ini boleh menyebabkan kesan negatif terhadap kehidupan seharian seseorang, karier dan juga pembangunan negara.

Menurut Siti Azura lagi, memberi terlalu banyak perhatian kepada gambar sendiri yang dimuat naik ke dalam laman sosial dengan harapan mendapat jumlah like paling banyak merupakan satu petanda bahawa selfie boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah, termasuk kemungkinan untuk hilang keyakinan diri.

“Keyakinan diri adalah penting kerana ia membolehkan seseorang itu berasa berpuas hati, gembira, berupaya menerima kebenaran.

“Mereka yang hilang keyakinan akan berasa gementar, teragak-agak dan tidak gembira dengan kehidupan sendiri. Hidup dalam keadaan ini untuk satu jangka masa yang lama boleh menyebabkan gangguan mental dan emosi seperti paranoid, cemburu, penumpuan kepada perkara yang remeh serta kemurungan," jelasnya.

Menurut beliau lagi, salah satu penyakit mental yang selalu dikaitkan dengan perbuatan yang berulang-ulang dan ketidakupayaan diri adalah Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD).

Ia adalah perasaan was-was yang melampaui tahap normal dan dikategorikan sebagai salah satu daripada penyakit mental.

“Ramai sebenarnya yang mengalami penyakit ini, termasuk diri kita sendiri yang kadang-kadang kita tidak sedar, selain di kalangan ahli keluarga, saudara mara dan kawan-kawan.

“Apa yang membezakan tahap keseriusan penyakit tersebut, dari tahap ringan hingga ke tahap kritikal, yang mana seseorang itu memerlukan ubat dan kaunseling di hospital.

“Penyakit ini boleh dikaitkan dengan selfie jika kita mempunyai simptom seperti was-was dengan diri sendiri seperti penampilan, bentuk badan, riak muka, wajah dan apa-apa aktiviti diri sendiri. Ini dituruti dengan pengambilan gambar dan memuat turut dalam kadar yang sangat banyak.

“Jika tabiat selfie menjadi satu penyakit yang tidak terkawal secara terus-terusan sehingga seluruh masa ditumpukan padanya, maka bantuan kaunseling boleh diberikan kepada mereka.

“Mereka boleh dibawa berjumpa kaunselor bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan dengan tabiat selfie yang dialami," ujarnya lagi.

Begitupun, beliau mengakui agak keterlaluan jika mengkategorikan tabiat selfie ini sebagai penyakit mental secara umum.

Hanya pakar psikiatri yang layak mendiognasisnya sebagai kecelaruan mental setelah dirawat.



 Credit: Siti Aishah Yusoff

Sunday, 27 April 2014

Kuasai nafsu

AL-FARUQ merupakan gelaran untuk Umar bin al-Khattab. Maknanya orang yang sangat pandai membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Gelaran ini memang sangat sesuai untuk menggambarkan sifat-sifat yang terdapat dalam diri beliau.

Pada suatu hari, Umar berjumpa dengan Jabir bin Abdillah di tengah jalan. Beliau melihat Jabir pulang dari pasar dengan membawa sesuatu.
Umar bertanya: “Apa yang engkau bawa itu, wahai Jabir?"
Jabir menjawab: “Ini sepotong daging. Aku membelinya sebab tengah teringin memakan daging."

Daging makanan yang halal dan baik. Namun berbelanja kerana motif keinginan tidak disukai oleh Umar. Beliau menegur Jabir dengan berkata: “Apakah setiap kali menginginkan sesuatu, engkau terus membelinya?"
Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab Al-Zuhd.

Ucapan Umar bin al-Khattab ini patut menjadi panduan hidup Muslim moden. Beliau mengajar kita untuk tidak menjadikan keinginan sebagai motif perbelanjaan. Akan tetapi perbelanjaan itu mestilah berasaskan keperluan.

Keinginan tidak selalu selari dengan keperluan. Sering kali seseorang membeli sesuatu barang bukan karena ia memerlukannya. Ia membelinya hanya karena barangan itu pernah dilihatnya dalam sebuah iklan yang sangat menarik.

Jika kita menginginkan sesuatu yang tidak diperlukan, maka itu petanda kuasa nafsu yang sangat besar di dalam hati. Kita perlu ingat bahawa hawa nafsu selalu menyuruh kepada keburukan. (rujuk Yusuf: 53)

Nafsu tidak pernah mengenal had batasan. Setiap kali diberi, ia akan meminta yang lain. Jika terus diperturutkan, nafsu akan menjerumuskan kita ke jurang pembaziran. Dan pembaziran akan membawa kita kepada situasi kegawatan kewangan suatu hari nanti.


Cara Muslim

Prinsip ini memperlihatkan ketinggian fikah Umar. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang mencela sikap memperturutkan hawa nafsu. Sikap ini merupakan salah satu cara hidup orang kafir yang mesti dijauhi.

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka. (al-Najm: 23)

Muslim mesti memperlihatkan cara hidup yang berbeza. Kita berbelanja kerana keperluan, bukan setakat kerana keinginan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang meninggalkan sebuah pakaian kerana tawaduk kepada Allah SWT, padahal ia mampu memakainya, maka pada hari kiamat nanti Allah akan memanggilnya di hadapan semua makhluk, lalu membiarkannya memilih baju-baju iman yang ia kehendaki." (riwayat Imam Ahmad)

Sungguh besar balasan orang yang meninggalkan nafsu dan keinginannya kerana Allah SWT.


Pembaziran

Pada kesempatan yang lain, Umar berkunjung ke rumah anaknya, Abdullah. Setibanya di rumah Abdullah, beliau melihat sepotong daging. Umar lalu bertanya: “Mengapa ada daging di sini?" Abdullah menjawab: “Aku sedang teringin memakan daging, jadi aku membelinya."

Umar berkata: “Apakah setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan seseorang, setiap kali ia menginginkan sesuatu ia lalu memakannya."

Saturday, 26 April 2014

Aisberg seluas Singapura mula hanyut

Aisberg seluas Singapura mula hanyutRekahan aisberg seluas 660 kilometer persegi.
WASHINGTON: Saintis kini memantau aisberg sebesar negara Singapura, salah satu rekahan ais terbesar yang pernah wujud. Ia pecah daripada glasier Antartika dan sedang menuju lautan terbuka. 

Pakar glasier NASA, Kelly Brunt pada Rabu lalu berkata, aisberg itu meliputi kawasan seluas 660 kilometer persegi dan setebal 500 meter. 


Dikenali sebagai B31, aisberg itu terpisah daripada Glasier Pulau Pine Antartica pada November lalu, kata Brunt. 

“Ia adalah ketulan ais cukup besar untuk mencetuskan pemantauan,” kata Brunt dalam perbualan telefon, sambil mengesahkan pertubuhan kerajaan termasuk Pusat Ais Kebangsaan yang memerhatikan beberapa aisberg pada satu-satu masa. 

Lokasi terkini aisberg itu bukanlah kawasan yang dipenuhi laluan kapal. 

“Tiada banyak kapal melalui kawasan ini. Kami tidak bimbang mengenai laluan kapal. Kami tahu semua lokasi aisberg besar,” katanya. 

Saintis amat tertarik dengan aisberg ini bukan saja disebabkan saiz besarnya tetapi ia berasal daripada lokasi yang tidak dijangka, kata Brunt. “Ia seperti kepingan kek yang terapung di Lautan Selatan,” katanya. 


Rekahan glasier yang menghasilkan aisberg itu kali pertama dikesan pada 2001, menurut Brunt, seorang saintis di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA dan Universiti Negeri Morgan di Maryland. 

Pulau Glasier Pine sudah dikaji secara dekat sejak dua dekad lalu kerana ia kian menipis dan mencair pantas. Ia mungkin penyumbang utama peningkatan paras air laut, kata saintis. 

Mereka berkata, aisberg itu sudah terapung di sekitar Teluk Pulau Pine, kawasan perairan Laut Amundsen dan kemungkinan besar akan hanyut kerana arus deras Lautan Selatan. 




Credit: REUTERS

Tuesday, 22 April 2014

KENAPA SIFAT 20 DAN KENAPA WAJIB BELAJAR SIFAT 20?

MENGAPA SIFAT ALLAH ADA DUA PULUH?
Kadang kala ada pertanyaan, “Mengapa sifat Allah yang wajib diketahui oleh setiap mukallaf hanya dua puluh sifat? Bukankah sifat-sifat Allah yang terdapat dalam al-Asma’ al-Husna ada Sembilan puluh Sembilan?”.
“Perlu diketahui bahawa Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah tidak membataskan sifat-sifat Allah kepada dua puluh kerana sifat dua puluh itu adalah sifat Dzat Allah yang menjadi syarat ketuhanan (syart al-Uluhiyyah). Sedangkan sifat-sifat Allah yang lain adalah sifat af`al (sifat yang berkaitan perbuatan) Allah ta`ala. Dan sifat-sifat af`al Allah itu jumlahnya banyak serta tidak terbatas.”[1]
MENGAPA WAJIB MENGETAHUI SIFAT 20???
Dalam ma`rifatullah, Mazhab Ahl al-Sunah Wa al-Jama`ah telah mengetengahkan pemahaman terhadap konsep sifat 20 yang wajib bagi Allah. Konsep ini sangat masyhur dan wajib diketahui oleh setiap individu muslim yang mukallaf. Akhir-akhir ini terdapat satu golongan yang dikenali sebagai Wahhabi telah mempersoalkan sifat 20 tersebut dengan mengemukakan beberapa alasan yang antara lainnya adalah; tidak terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Hadis nas yang mewajibkan pengethuan umat Islam terhadap sifat 20. Bahkan termaktub di dalam hadis sendiri bahawa nama-nama Allah (al-Asma’ al-Husna) jumlahnya sembilan puluh sembilan. Dari premis ini, timbul sebuah pertanyaan; mengapa sifat yang wajib bagi Allah yang harus diketahui itu hanya terhad kepada dua puluh sifat sahaja, bukan sembilan puluh sembilan sebagaimana yang terdapat di dalam al-Asma’ al-Husna?
Para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dalam menetapkan sifat dua puluh tersebut sebenarnya bersumberkan daripada kajian dan penelitian yang cermat dan mendalam. Terdapat beberapa alasan ilmiah yang logik serta relevan dengan fakta nas yang sedia ada yang telah dikemukakan oleh para ulama’ berhubung latar belakang wajibnya mengetahui sifat dua puluh yang wajib bagi Allah subhanahu wata`ala, antaranya ialah:
Pertama, setiap orang yang beriman harus meyakini bahawa Allah ta`ala wajib memiliki semua sifat kesempurnaan yang layak bagi keagungan-Nya. Mereka harus meyakini bahawa mustahil Allah ta`ala memiliki sifat kekurangan yang tidak layak bagi keagungan-Nya. Mereka juga harus meyakini pula bahawa Allah berkuasa melakukan atau meninggalkan penciptaan segala sesuatu yang bersifat mumkin iaitu seperti menciptakan, mematikan, menghidupkan, memberi rezki, mengurniakan kebahagiaan , menimpakan kecelakaan dan lain-lain lagi. Kesemua ini adalah sekian bentuk keyakinan yang paling dasar yang perlu wujud di dalam hati setiap orang Islam.
Kedua, para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah sebenarnya tidak membataskan sifat-sifat kesempurnaan Allah hanya kepada 20 sifat sahaja. Bahkan setiap sifat kesempurnaan yang layak bagi keagungan Allah, sudah pasti Allah wajib memiliki sekian sifat tersebut, sehingga sifat-sifatkamalat (kesempurnaan dan keagungan) Allah itu sebenarnya tidak terbatas pada sembilan puluh sembilan sahaja sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Imam al-Hafiz al-Bayhaqi:[2]
“وَقَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِنَّ لِلَّهِ تَسْعَةً وَتِسْعِيْنَ اِسْمًا)) لايَنْفِيْ غَيْرَهَا, وَإِنَّمَا أَرَادَ وَاللهُ أَعْلَمُ أَنَّ مَنْ أَحْصَى مِنْ أَسْمَاءِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ تِسْعَةً وَ تِسْعِيْنَ اِسْمًا دَخَلَ الْجَنَّةَ”.
Maksudnya:
“Sabda Nabi sallallahu`alaihi wasallam : Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama”, tanpa menafikan nama-nama selainnya. Nabi sallallahu`alaihi wasallam hanya bermaksud -wallahu a`lam-, bahawa barangsiapa yang menghitung sembilan puluh sembilan nama tersebut akan dijamin masuk syurga”.
Pernyataan al-Hafiz al-Bayhaqi di atas bahawa nama-nama Allah ta`ala sebenarnya tidak terbatas dalam jumlah sembilan puluh sembilan dengan didasarkan pada hadith shahih: [3]
“عَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ… أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ بَصَرِيْ، وَجَلاءَ حَزَنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ “.
Maksudnya:
“Ibn Mas’ud berkata, Rasulallah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:” Ya Allah, sesungguhnya aku Hamba-Mu.. Aku memohon dengan perantara setiap Nama yang Engkau miliki, baik yang Engkau namakan Dhat-Mu dengan-Nya, atau yang Engkau turunkan nama itu dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkannya kepada sesiapa di kalangan makhluk-Mu, atau yang hanya Engkau sahaja yang Mengetahui-Nya dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, jadikanlah al-Quran sebagai taman/pengubat hatiku, cahaya mataku, penghilang kesedihanku dan penghapus rasa gundahku”.
Hadis di atas menjelaskan bahawa di antara nama-nama Allah ta`ala yang telah dijelaskan di dalam al-Qur’an, ada di antaranya yang diketahui oleh sebahagian hamba-Nya dan ada yang hanya diketahui oleh Allah ta`ala sahaja. Sehingga berdasarkan kepada hadis tersebut, nama-nama Allah itu sebenarnya tidak terbatas pada 99, maka apatah lagi 20 sifat yang telah dirumuskan oleh para ulama’ yang melaut ilmu mereka itu.
Ketiga, para ulama’ telah membahagikan sifat-sifat khabariyyah, iaitu sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan hadis seperti yang terdapat di dalam al-Asma’ al-Husna, kepada dua bahagian. Pertama, Sifat al-Af`al al-Zat iaitu sifat-sifat yang ada pada Zat Allah ta`ala, yang antara lain adalah sifat 20. Dan kedua, Sifat al-Af`al, iaitu sifat-sifat yang sebenarnya adalah perbuatan Allah ta`ala, seperti sifat al-Razzaq, al-Mu`thi, al-Mani`, al-Muhyi, al-Mumit, al-Khaliqdan lain-lain. Perbezaan antara keduanya adalah, sifat al-Zat merupakan sifat-sifat yang menjadiSyart al-Uluhiyyah, iaitu syarat mutlak ketuhanan Allah ta`ala. Kesemua sifat tersebut telah menyucikan zat Allah ta`ala daripada sebarang sifat yang tidak layak bahkan mustahil untuk disandarkan kepada zat Allah yang Maha Agung. Dari sini para ulama’ telah mentapkan bahawaSifat al-Zat ini adalah azali (tidak ada permulaan), dan baqa’ (tidak ada pengakhiran bagi Allah). Hal tersebut berbeza dengan Sifat al-Af`al, ketika Allah ta`ala memiliki salah satu daripada Sifat al-Af`al, maka lawan kepada sifat tersebut adalah tidak mustahil bagi zat Allah ta`ala, bahkan ia menunjukkan lagi perihal kehebatan dan keagungan Allah kerana mampu menciptakan dua perkara yang berlawanan berdasarkan fungsi yang terkandung di dalam nama-nama dan sifat-sifat yang telah ditetapkan oleh Allah ta`ala kepada zat-Nya yang Maha Agung seperti; sifat al-Muhyi (Maha Menghidupkan), al-Mumit (Maha mematikan), al-Dhar (Maha Memberi Bahaya) dan al-Nafi` (Maha Memberi Manfaat), al-Mu`thi (Maha Pemberi) dan al-Mani` (Maha Pencegah) dan lain-lain. Di samping itu, para ulama’ mengatakan bahawa Sifat al-Af`al itu adalah baqa’.[4]
Keempat, dari sekian banyak Sifat al-Zat yang wujud tersebut, maka sifat dua puluh dianggap cukup dalam memberi kefahaman kepada kita bahawa Allah ta`ala memiliki segala sifat kesempurnaan dan maha suci Allah daripada segala sifat kekurangan. Di samping itu, kesemuaSifat al-Zat yang telah terangkum dalam sifat dua puluh tersebut, dari sudut fakta, telahpun ditetapkan berdasarkan dalil al-Qur’an, al-Sunnah dan dalil-dalil aqli.[5]
Kelima, sifat dua puluh tersebut dianggap cukup kuat untuk menjadi benteng kepada akidah seseorang daripada terpengaruh dengan faham yang keliru atau menyeleweng dalam memahami sifat Allah ta`ala. Sebagaimana yang telah kita maklum aliran-aliran yang menyimpang daripada fahaman Ahl al-Sunah Wa al-Jama`ah seperti Wahhabi, Muktazilah, Musyabbihah, Mujassimah, Karramiyyah dan lain-lain telah menyifatkan Allah ta`ala dengan sifat-sifat makhluk yang kesemua sifat tersebut dilihat dapat meruntuhkan kesempurnaan dan kesucian zat Allah ta`ala. Maka dengan memahami sifat dua puluh tersebut, iman seseorang akan dibentengi daripada keyakinan-keyakinan yang menyongsang fahaman arus perdana umat Islam berhubung zat Allah ta`ala. Misalnya, ketika golongan mujassimah mengatakan bahawa Allah ta`ala itu duduk di atas `Arasy, maka hal ini akan ditolak dengan salah satu daripada sifat Salbiyyah yang wajib bagi zat Allahta`ala iaitu; Qiamuhu Binafsih (Allah ta`ala tidak berhajat kepada sesuatu), ketika musyabbihah mengatakan bahawa Allah ta`ala memiliki anggota tubuh badan seperti mata, tangan, kaki, muka, betis dan lain-lain, maka dakwaan tersebut akan ditolak pula dengan sifat wajib bagi Allah ta`alayang lain iaitu sifat Mukhalaftuhu lilhawadith (Allah tidak menyerupai sesuatupun), ketika golongan Muktazilah menafikan kewujudan sifat ma`ani pada zat Allah ta`ala dengan mengatakan bahawa Allah ta`ala maha kuasa tetapi tidak mempunyai sifat qudrat, maha mengetahui tetapi tidak mempunyai ilmu, maha berkehendak tetapi tidak mempunyai iradat, maka dakwaan songsang tersebut akan ditolak dengan sifat-sifat ma`ani yang jumlahnya adalah tujuh iaitu qudrat, iradat, ilmu, hayat, sama`, basar dan kalam. Demikian pula dengan sifat-sifat yang lain.[6]
الْقَائِدَةُ: “الْجَهْلُ بِالصِّفَاتِ يُؤَدِّيْ إِلَى الْجَهْلِ بِالْمَوْصُوْفِ مَنْ لا يَعْرِفُ صِفَاتِ الله لا يَعْرِفُ الله”.
Kaedah: “Jahil tentang sifat (Allah) membawa kepada jahil dengan yang mempunyai sifat (Allah), sesiapa yang tidak mengenal sifat Allah, tidak mengenal Allah ta`ala”.
[1] KH. Muhyiddin Abd al-Somad (2009), Aqidah Ahlussunnah Wal Jama`ah Terjemah dan Syarh Aqidah al-Awam, Jakarta: Khalista Surabaya, h. 25.
[2] Al-Hafiz al-Bayhaqi (1959), al-I`tiqad `ala Mazhab al-Salaf Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, Abu al-Fadhl Abdullah Muhammad al-Siddiq al-Ghumari (ed.), Kaherah: Dar al-`Abd al-Jadid, , h. 14.
[3] Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad (3528), al-Hakim di dalam al-Mustadrak (1830) dan al-Tabarani di dalam al-Mu`jam al-Kabir (10198). Al-Hafiz Ibn Hibban menilainya sahih di dalamSahih-nya (977).
[4] Al-Hafiz al-Bayhaqi(1959), op.cit., h. 15, 21 dan 22; Abu Mansur Abdul Qahir al-Baghdadi (1981), Usul al-Din, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyah, h. 122-125. Dari sini dapat kita fahami bahawa pernyataan sebagian kalangan beberapa tahun yang lalu, bahawa untuk saat ini sifat Rahmah Allahta`ala adalah lebih layak ditekankan untuk diketahui daripada sifat-sifat yang lain, adalah tidak ada asasnya. Ini adalah bertitik tolak daripada ketidakfahaman mereka terhadap sifat al-Zat yang menjadi Syart al-Uluhiyyah dan Sifat al-Af`al yang bukan Syart al-Uluhiyyah.
[5] Hasan al-Ayyub (2003), Tabsit al-`Aqaid al-Islamiyyah, Kaherah: Dar al-Salam, h. 17.


[6] Lihat pernyataan Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali tentang tujuan mempelajari ilmu kalam menerusi kitabnya al-Munqidz min al-Dhalal, lihat al-Ghazzali (1998), al-Munqidz min al-Dhalal, Abdul Halim Mahmud (ed.), Kaherah: Dar al-Ma`arif, h. 36.

Credit: Pondokhabib.wordpress.com

Sunday, 20 April 2014

Kereta terbakar dalam kawanan singa

LONDON 20 April - Sebuah keluarga yang mengunjungi sebuah taman safari di Britain, baru-baru ini mengalami detik-detik mencemaskan apabila kereta yang mereka naiki terbakar secara tiba-tiba di kawasan habitat singa.

Lebih menakutkan, kereta yang dinaiki seorang ibu, Helen Clements dan dua anaknya, Charlie, 12, dan George, 9, terbakar hanya kurang 100 meter dari kawanan singa ditempatkan di Taman Safari Longleat, Wiltshire.

Ketika menceritakan detik cemas itu kepada DailyMail Online, Clements berkata, kereta yang dipandunya di taman tersebut tidak menghadapi sebarang masalah sehinggalah mereka memasuki kawasan kurungan singa.

Jelas wanita berusia 43 tahun itu, kenderaannya tiba-tiba terhenti dan enjin mulai panas sebelum api muncul dari bonet depan kereta.

"Saya sedar ada sekawan singa kira-kira 90 meter dari kereta kami dan saya tidak pasti sama ada mahu keluar atau tunggu di dalam kereta yang sedang terbakar.

"Saya hanya mampu membunyikan hon supaya dapat menarik perhatian anggota Perhilitan, namun api semakin marak, menyebabkan kami terpaksa keluar dari kereta tersebut," katanya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga beranak itu bernasib baik kerana sebaik-baik mereka keluar dari kenderaan yang terbakar itu, beberapa orang anggota Perhilitan tiba di lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan dengan menghalau singa berkenaan.

Lima anggota bomba kemudiannya dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan dalam tempoh 15 minit.

Dalam pada itu, Clements berkata, dia rasa bersyukur kerana mereka sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan ekoran kejadian yang berlaku dengan pantas itu.

"Anak-anak saya sangat tenang ketika insiden tersebut dan mereka kini mempunyai pengalaman yang hebat untuk diceritakan kepada rakan-rakan di sekolah," katanya.