Friday, 28 February 2014

Telah nyata kebenaran Islam



FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabnya. (Ali-Imran: 19)

Di tengah-tengah senario umat Islam dituduh sebagai pengganas, dinafikan hak mereka di bumi sendiri, dimalukan dengan insiden-insiden yang tidak langsung memahami sensitiviti masyarakat Islam, namun siapa sangka agama Islam itu semakin mendapat perhatian penduduk dunia. 

Malah, kalau sebelum ini agama Kristian dikatakan menduduki tangga teratas sebagai penganut teramai, kini fakta itu telah berubah. Yang dibenci itulah yang kini sedang dicari-cari dan dicintai oleh insan-insan yang Allah SWT pilih. Subhanallah.



Buktiknya, jumlah penduduk dunia (2013) adalah 7,021,836,029. Sebaran maklumat menurut agama adalah: Islam 22.43 peratus, Kristian Katolik 16.83 peratus, Kristian Protestan 6.08 peratus, Orthodok 4.03 peratus, Anglican 1.26 peratus, Hindu 13.78 peratus, Buddha 7.13 peratus, Sikh 0.36 peratus, Yahudi 0.21 peratus, Baha 0.11 peratus, lainnya 11.17 peratus, Non Agama 9.42 peratus dan Atheists 2.04 peratus (www.30 days.net).




Bahkan dikatakan bahawa jumlah umat Islam pada 2012 adalah berjumlah lebih 2,000 juta. Sedangkan jumlah penganut Kristian dan Protestan adalah 2,000 juta. Sehingga Islam sekarang ini walaupun dibandingkan dengan penganut Kristian dan Protestan, sudah menjadi agama terbesar di dunia. (www.religiouspopulation).


Lima kali ganda

Menurut The Almanac Book of Facts, 2011, penduduk dunia (2011) berkembang 137 peratus dalam satu dekad terakhir, di mana Kristian berkembang hanya sebanyak 46 peratus, sebaliknya Islam berkembang sebanyak lima kali ganda iaitu 235 peratus. 



Disebutkan bila trend perkembangan ini terus berlaku, dijangkakan pada 2030, satu daripada tiga penduduk dunia adalah orang-orang Islam. (www.muslimpopulation.com).



Fakta ini senada dengan jangkaan Menteri Koordinator Politik Hukum dan Keamanan, Djoko Suyanto pada Persidangan Antarabangsa Cendikiawan Islam di Hotel Sultan, Jakarta, tidak lama dahulu. Beliau telah meramalkan bahawa pada 2025 nanti, umat Islam akan menjadi penduduk majoriti di dunia. Jumlahnya juga akan mendadak naik iaitu 30 peratus dari seluruh populasi warga bumi atau seperempat penduduk dunia.



Dalam persidangan yang bertemakan ‘Meningkatkan Solidaritas dan Kesatuan Muslim Dunia’ (Upholding Solidarity and Unity in the Moslem World) itu, Djoko turut meramalkan umat Islam akan mengambil peranan utama dalam bidang keilmuan dunia.



Sementara itu, jika dilihat pecahan mengikut benua, data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (2012) menunjukkan, sejak 1989 sehingga 2012, perkembangan jumlah penganut agama Islam yang paling cepat berkembang di Australia dan Oceania/Pacific iaitu 257.01 peratus, diikuti oleh Eropah 142.35 peratus, Amerika 25 peratus, Asia 12.57 peratus, Afrika 2.15 peratus dan Amerika Latin 4.73 peratus (www.30-days.net).



Menurut The Almanac Book of Facts (2011) lagi, dalam 10 tahun terakhir, penduduk dunia bertambah sebanyak 137 peratus. Di mana penganut agama Kristian bertambah sebanyak 46 peratus. Sedangkan penganut agama Islam bertambah sebanyak 235 peratus (www.geocities.com).



Dapat disimpulkan di sini, Islam adalah agama dengan perkembangan penganutnya yang tertinggi di dunia setiap tahun. Hal ini diperkukuhkan dengan fakta yang dipetik daripada Guinness Book of World Records, 2011 di mana antara 1990 hingga 2000, diperkirakan sekitar 12.5 juta orang daripada pelbagai agama, berhijrah kepada agama Islam.



Dapatan daripada tinjauan pendapat di Amerika Syarikat, didapati sekitar 200,000 orang setiap tahun berhijrah akidah dari agama Kristian kepada agama Islam (www.usislam.org).



Suatu penyelidikan yang dibuat oleh Faith Matters (2011) di Eropah, didapati bahawa dalam 10 tahun terakhir diperkirakan jumlah orang Inggeris yang bertukar daripada agama lain (Kristian) menjadi Muslim ialah seramai 5,000 orang setiap tahun (http://insideislam.wisc.edu).









Credit: IBRAHIM ABDULLAH

Thursday, 27 February 2014

Punca tiada rasa nikmat dalam solat

Kita menunaikan solat, tetapi masih tidak dapat membantu diri ke arah kebaikan. Apabila dikaji, didapati rupa-rupanya solat kita tidak mengikut cara yang ditetapkan dalam Islam. Rukun solat amat jelas seperti dinyatakan mazhab Asy-Syafie iaitu ada 17 rukun solat. 

Bermula dengan niat dalam hati, lafaz Allahu Akbar, berdiri, membaca surah al-Fatihah, rukuk, toma’ninah (menetapkan selurus tulang asas) padanya, iktidal, toma’ninah, sujud dua kali, toma’ninah, duduk antara dua sujud, toma’ninah, duduk untuk tasyahhud akhir, baca tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi, memberi salam dan akhir sekali tertib.


Walaupun telah banyak buku dan kelas agama berkaitan solat, masih ada sesetengah masyarakat yang mendatangkan perkara bidaah buruk yang bercanggah dengan Islam seperti meletakkan genggaman pergelangan tangan di tempat terlalu tinggi di bawah leher ketika solat. 

Perkara itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah bahkan tiada seorangpun dalam kalangan ulama muktabar mengatakan wajib melakukan sedemikian. 

Menggerak-gerakkan jari telunjuk dengan pergerakan berpusing-pusing seolah bermain-main ketika duduk tahiyat awal dan akhir. 


Benci imam baca qunut Subuh 


Membenci imam membaca qunut Subuh lalu menghukum dengan tidak adil imam bermazhab Syafie kononnya sesat. Meninggalkan dengan sengaja bacaan basmalah (bismillahirrahman nirrahim) ketika membaca surah al-Fatihah. 

Bidaah dholalah (perkara baru yang sesat) yang paling besar dalam solat adalah bidaah iktiqad. Kepercayaan karut seperti mempercayai Allah SWT yang disembah itu seperti berhala mempunyai kaki, mata anggota, tangan berjisim, bertempat dan duduk di hadapannya atau bersila letih diatas ‘Arasy dan berada ruang lingkup langit. 

Ini adalah akidah yang diasaskan oleh golongan Yahudi sejak zaman berzaman yang cuba diresapkan ke dalam akidah umat Islam kerana tujuan Yahudi supaya ibadah umat Islam tidak sah, dengan itu umat Islam akan lemah mudah dikuasai oleh musuh-musuhnya. 

Berpegang teguhlah kita dalam menjaga solat dengan memantapkan tauhid dan memperbanyakkan menuntut ilmu agama mengikut landasan aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah supaya kita selamat di dunia dan akhirat. 








Credit: Mohd Rasyiq Mohd Alwi

Wednesday, 26 February 2014

SENYUMLAH KERANA SENYUM ITU SEDEKAH




Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman)”. (Hadis Riwayat Muslim)

Memberi senyuman tidak kira kepada siapa pun ketika bertemu mungkin dianggap perkara kecil atau remeh tetapi senyuman ikhlas yang diberikan itu mempunyai nilai sedekah kerana menimbulkan kegembiraan orang lain dan mengeratkan ukhuwah sesama Muslim. 




Mengukir senyuman adalah kebaikan yang tidak memerlukan modal, namun ganjarannya besar dan begitu memberi kesan positifnya dalam kehidupan bermasyarakat.

Tuesday, 25 February 2014

DOA KETIKA RASA SEDIH DAN DUKACITA



Doa agar dihilangkan dari sifat malas, lemah, sedih dan susah, hutang dan kesewenang-wenangan manusia.

Nabi Muhammad SAW. Pernah mengajarkan doa kepada Abdullah bin Abbas, Beliau berkata: : Mahukah engkau aku ajarkan doa yang kalau engkau ucapkan, Allah akan menghilangkan / melenyapkan kesusahan dan melunaskan hutang-hutangmu?, doa tersebut adalah : Allahumma innii a’uudzubika minal hammi wal hazani wa a’uudzubika minal ’ajzi walkasali, wa a’uudzubika minal jubni wa bukhli, wa a’uudzubika min gholabatid-daini wa qohrirrijaal.
اللَّـــهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْحَـمِّ وَالْحَزَنِ وَاَعُوْذُبِكَ مِنَ الْعَجْـِز وَاْلكَسَلِ   
 وَاَعُوْذُبِكَ مِنَ الْجُـبْنِ وَالْبُخْـلِ وَاَعُوْذُبِكَ مِنْ غَلَبَتِ الدَّيْنِ وَقَـهْرِ الرِّجَالِ.
“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kikir, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.” (HR Abu Dawud 4/353)

Dalam hadis tersebut ada 8 penyakit jiwa yang sangat berbahaya, sehingga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memohon perlindungan dari Allah SWT:

1. Suka berkeluh kesah atau merasa susah (hamm) ;
Sesungguhnya manusia itu suka berkeluh kesah. Allah telah menyebutkan hal ini dalam Al Quran bahawa memang sifat manusia adalah suka berkeluh kesah. 

Jika kita dapat menghindarkan sifat ini; maka nikmat Allah akan senantiasa melimpah. Jika ujian hidup disikapi dengan ratapan keluh kesah, bukannya masalah tambah terang, namun biasanya malah bertambah runyam. Sebaliknya hati akan tenang ketika rasa syukur mampu kita hadirkan dalam perjalanan hidup kita. 

Bukankah Allah SWT telah berjanji akan menambah nikmatNya jika kita bersyukur dan memberi peringatan akan siksaNya yang pedih andai kita kufur akan nikmatnya.

2. Kesedihan atau rasa sedih (hazan).
Manusia memang suka bersedih jika sesuatu yang diinginkannya tidak didapatkan, atau jika ditimpa musibah, atau jika dilecehkan oleh orang lain, atau karena sebab lain. Oleh sebab itu berlindung kepada Allah dari kesedihan adalah suatu hal yang sangat diutamakan, kerana hanya Allahlah yang mampu menghilangkan kesedihan seorang hamba.

3. Kelamahan (’ajz);
Nabi pernah berpesan untuk hati-hati agar tidak meninggalkan generasi yang lemah sepeninggalannya kita. Lemah bererti tidak mempunyai kemampuan, kekuatan dalam bidang apapun. Yang lebih ditakutkan adalah lemah dalam iman dan akhlak. Oleh sebab itu mari kita senantiasa memberikan perhatian yang serius pada hal yang satu ini.

4. Malas (kasal).
Tidak ada orang yang suka kepada orang malas. Malas adalah sifat syetan. Allah melaknat syaitan, dan janganlah sekali-kali mengikuti syaitan.

 Dengan kemalasan tidak adanya prodaktiviti, tidak ada kemajuan dan tidak ada rezeki. Hidup ini tidak akan berkembang jika sifat malas terus menerus dipelihara.

5. Pengecut (jubn).
Kita harus berani kalau benar, apalagi dalam menegakkan agama Allah. Tegakkan kebenaran dan cegahlah kemungkaran dengan tenaga, lisan dan hatimu.

6. Kikir/pelit/bahkil (bukhl,).
Nabi mengatakan bahwa orang yang kikir itu jauh dari Allah, jauh dari manusia dan dekat kepada neraka. 

Selanjutnya Beliau berpesan agar setiap muslim tidak boros dan tidak menjadikan tanggannya terbelenggu kebelakang serta tidak pula membukan tanganya terlalu lebar. Kalau terlalu pelit ia akan dicela dan jika terlalu boros ia akan menyesal. 

Jadi bersikaplah sederhana. Maka jauhkanlah sifat bahkil , kikir dan pelit karena sifat tersebut tidak disukai oleh Allah dan manusia. 

Syaitan menakut-nakuti manusia dengan dibayang-bayangi kefakiran supaya seseorang tidak mahu infaq, sedekah, zakat. “Syaitan menjanjikan kefakiran kepadamu dan menyuruh yang jahat, dan Allah menjanjikan kepadamu pengampunan dan keutamaan dariNya, Allah itu maha luas rezekinya dan maha mengetahui.” (Al Quran Surah Al Baqarah : (2) : 268). Padahal dengan jelas Allah menjanjikan kebahagiaan bagi orang yang tidak bakhil. “Barangsiapa dijaga dari kekikiran dirinya maka mereka itulah orang-orang yang berbahagia.” (QS Al Hasyr : 9).

7. Banyaknya hutang (ghalabatuddayn);
supaya terhindar dari penyakit ini maka kita harus selalu merasa cukup (ghina) terhadap setiap pemberian Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Tidak membelanjakan rezeki kita kepada hal-hal yang tidak perlu dan bermanfaat, apalagi berhutang untuk hal-hal yang tidak perlu. 

Jika tidak mendesak, usahakan untuk tidak berhutang. Satu hal yang dijanjikan Allah adalah untuk selalu berzakat dan berinfaq/sedekah, kerana Allah akan melipatgandakan/menambah harta kita apabila kita berzakat, infaq dan sedekah.

8. Penindasan manusia (qahrirrijaal).
Penindasan tetap saja ada dari zaman dulu hingga sekarang. Jika dulu penindasan pada umumnya dilakukan melalaui secara fiZik, tapi sekarang penindasan dapat berupa banyak bentuk, misalnya penindasan dari segi ekonomi, budaya, dan sistem-sistem yang tidak sesuai dengan jalan Allah.

Mari kita berlindung dari kesemua hal tersebut, semoga Allah memberikan taufiq dan pertolongannya kepada kita, Amin.




Credit: Sukabumi

Harimau bintang jantan berkeliaran di bandar

A leopard prepares to pounce on a forest guard at Prakash Nagar village in India near Salugara.
HARIMAU itu melompat dari sebuah bangunan yang dalam pembinaan di Meerut.
MEERUT, India - Seekor harimau bintang jantan yang berkeliaran telah mencederakan enam orang di sini pada Ahad lalu.
Beberapa pegawai berkata, haiwan itu dilihat berkeliaran di sebuah hospital, pawagam dan kompleks apartmen.
Binatang buas itu juga melompat menerusi tingkap yang pecah di sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan.
Menurut pihak berkuasa, orang ramai dinasihatkan agar tidak keluar dari rumah selepas usaha menangkap harimau itu gagal dilakukan oleh beberapa anggota polis.
A leopard prepares to pounce on a forest guard at Prakash Nagar village in India near Salugara.
"Kami melancarkan satu operasi besar-besaran untuk memburu binatang buas itu," kata seorang pegawai perhutanan dalam wawancara bersama akhbar India Times.
Menurut seorang pegawai perhutanan kepada portal berita dna, harimau itu tiba di bandar ini selepas ia memanjat sebuah trak yang mengangkut kayu dari Uttarakhand pada Ahad lalu. - Agensi

Waspada terhadap penghapus pahala

SUATU hari, Abdurahman bin Auf berkunjung ke rumah isteri Nabi yang bernama Ummu Salamah. Beliau memang terkenal sangat berbakti kepada isteri-isteri Nabi selepas kewafatan baginda. Beliau sering memberikan wang dan menyediakan semua keperluan rumah mereka.

Namun ziarah Abdurahman kali ini untuk meminta nasihat. Beliau berkata: "Wahai ibuku (setiap isteri Nabi merupakan ibu kaum mukmin), aku bimbang akan mendapat kesukaran di akhirat nanti akibat terlalu banyak harta yang aku miliki. Aku orang Quraisy yang paling kaya."

Ummu Salamah berkata: "Wahai anakku, perbanyaklah berinfak. Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya sebahagian daripada sahabatku tidak akan berjumpa denganku lagi selepas aku meninggal dunia."

Hadis yang disebutkan Ummu Salamah ini sangat mengejutkan Abdurahman. Beliau berasa kecut. Wajahnya masih terlihat pucat apabila keluar dari rumah Ummu Salamah.

Di tengah perjalanan, beliau berjumpa dengan Umar bin al-Khattab. Abdurahman menceritakan kepada beliau perihal hadis Ummu Salamah ini.

Sepertimana Abdurahman, Umar turut terkejut. beliau segera mendatangi Ummu Salamah dan berkata: "Demi Allah, adakah aku termasuk orang yang dimaksudkan Nabi itu?"
Ummu Salamah menjawab: "Tidak. Dan aku tidak akan membuka rahsia ini lagi kepada selain dirimu." (riwayat Ahmad)

Hadis Nabi yang diceritakan Ummu Salamah ini jelas bukan ditujukan kepada para sahabat Nabi yang telah mengorbankan nyawa dan harta untuk Islam. Mereka telah dijamin akan mendapat ganjaran besar daripada Allah di akhirat.


Kaum munafik

Hadis ini berbincang tentang segelintir kaum munafik yang tubuhnya bersama Nabi, namun hatinya bersama kaum musyrikin. Mereka ialah seperti Abdullah bin Ubay bin Salul dan tokoh-tokoh munafik yang berkomplot hendak membunuh Nabi semasa perjalanan pulang dari Tabuk. Mereka inilah yang tidak akan melihat wajah Nabi di akhirat nanti sebab berada di neraka selama-lamanya.

Namun begitu, Umar dan Abdurahman berasa bimbang termasuk daripada kumpulan ini. Ini menunjukkan sikap mereka yang tidak pernah merasa baik dan suci kerana amal kebaikan yang mereka lakukan. Sebaliknya, mereka terus bimbang dan khuatir Allah SWT tidak menerima amal ibadah itu kerana kekurangan dan kelemahan mereka.

Berkenaan dengan ini, Imam Al-Syafii pernah berkata: "Orang yang paling tinggi darjatnya ialah orang yang tidak merasa tinggi. Dan orang yang paling mulia ialah orang yang tidak berasa mulia."

Sikap seperti Umar dan Abdurahman ini terlahir daripada jiwa yang selalu bermuhasabah diri. Setiap kebaikan yang dilakukan tidak patut dingat-ingat. Apalagi dihitung-hitung pahala yang akan didapatkan lalu merasa tidak perlu meningkatkan amalan.


Amalan

Sebanyak apapun amalan yang kita lakukan, hakikatnya kita tidak pasti adakah Allah SWT menerima ataukah menolaknya.

Ibadah yang bernilai tinggi di sisi Allah SWT ialah yang ikhlas dilakukan untuk-Nya semata-mata. Sementara ibadah yang bukan kerana Allah SWT tidak akan berharga sama sekali.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah menceritakan bahawa orang pertama yang dicampakkan ke neraka ialah mereka yang berjuang, beribadah dan mengaji bukan kerana Allah SWT. Sebaliknya, mereka melakukan semua amalan ini agar menjadi sebutan ramai.

Sikap seperti ini disebut riak dan sum‘ah, iaitu melakukan ibadah kerana manusia. Sesiapa beramal agar dilihat manusia, maka itu riak. Siapa beramal agar berita amalan itu didengar oleh manusia, maka itu sum‘ah. Kedua-duanya menghapus pahala ibadah.

Rasulullah bersabda: Allah berfirman: Aku tidak memerlukan kepada sekutu. Sesiapa yang melakukan suatu amalan sambil mempersekutukan diri-Ku dengan yang lain, maka Aku berlepas daripadanya. Dan amalan itu untuk pihak yang disekutukannya itu. (al-Bukhari dan Muslim)

Kerana ikhlas sangat sukar dipastikan, Umar dan Abdurahman selalu berasa bimbang meskipun mereka telah melakukan yang terbaik. Bagaimana kita yang selalu bergelimang kesalahan dan kekurangan?





Monday, 24 February 2014

Hikmah beristighfar mohon keampunan

Syaddad bin Aus berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Istighfar iaitu doa meminta ampun yang utama dengan membaca: Wahai Tuhan! Engkaulah Tuhan saya. Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau menjadikan saya, dan saya ini adalah hamba-Mu. 

Saya mencuba sedaya upaya melaksanakan janji kepada-Mu. Saya berlindung kepada-Mu daripada perbuatan jahat saya sendiri. Saya mengaku Engkau sudah memberi banyak nikmat kepada saya. Saya juga mengaku perbuatan dosa saya. Memang tidak ada sesiapa lagi yang boleh mengampunkan dosa selain daripada-Mu.



Keistimewaan doa 

Orang yang membaca doa ini pada waktu siang dengan penuh yakin kemudian meninggal dunia pada hari itu sebelum waktu petang, sudah pasti dia menjadi ahli syurga. Dan orang yang membaca doa ini pada waktu malam dengan penuh yakin, kemudian meninggal pada malam itu sebelum tiba waktu pagi, sudah pasti dia menjadi ahli syurga.” (Riwayat Bukhari) 

Abdullah bin Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membiasakan diri beristighfar meminta ampun, Allah akan melepaskan dia daripada semua kesempitan dan melapangkan daripada semua kesusahan. Serta memberi rezeki yang tidak disangka-sangka kepadanya.” (Riwayat Abu Daud)

What matters most is how you see yourself...




What matters most is how you see yourself...

Engkaulah apa kau fikirkan...




That is how you get rid of negative thoughts. You displace 
them. You become what you think about all day long. You 
must think about positive things, ...

Dakwah tak perlu tunggu diri sempurna

Muslim patut baiki diri, ambil peduli kerosakan dalam masyarakat

Berdakwah, menyuruh berbuat kebaikan dan menegah kejahatan adalah kewajipan setiap Muslim. Insan yang menegakkan amar makruf, nahi mungkar adalah insan yang setia mengamalkan suruhan agama dan sangat bertakwa.


Rasulullah SAW bersabda: “Manusia yang paling baik adalah yang paling tenang, bertakwa, giat menyuruh kepada yang makruf, giat melarang kemungkaran dan paling rajin bersilaturahim.” (Riwayat Imam Ahmad).

Tugas dakwah ini tidak terletak di bahu individu atau kelompok tertentu seperti difahami sesetengah orang. Ia tanggungjawab dan kewajipan seluruh umat manusia kerana salah satu antara ciri-ciri orang beriman ialah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kalian sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali-Imran, ayat 110) 

Kita pasti menepati watak umat terbaik jika berterusan menegakkan tugas dakwah. Jika perkara ini tidak dititikberatkan dan tidak menjadi amalan rutin dalam kehidupan sehari-hari, tentu kita akan termasuk dalam golongan orang yang mendapat kemurkaan Allah SWT.



Gambaran Muslim sejati 


Seorang Muslim yang baik bukanlah hanya berbuat baik terhadap diri sendiri, sentiasa beramal soleh dan membenci segala bentuk maksiat tanpa ambil peduli terhadap kerosakan yang terjadi dalam masyarakatnya. 

Muslim yang baik cenderung memperbaiki dan menerangi orang lain demi kasih sayang kepada sesama manusia serta cintakan kesejahteraan hidup masyarakat. 

Inilah sebenar-benar Muslim yang digambarkan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-’Asr, ayat 1-3) 

Meskipun begitu, masih ada kekeliruan mengenai tugas mulia ini apabila ada beranggapan tugas dakwah tidak wajar dilakukan dengan alasan dirinya belum cukup baik. Anggapan demikian hanya akan membantutkan kegiatan dakwah.

Jika harus menunggu diri menjelma sebagai manusia yang serba sempurna, nescaya dakwah tidak mungkin dilaksanakan, orang yang mengamalkan ajaran Islam tidak bertambah bahkan semakin berkurang, manakala maksiat berleluasa tanpa halangan.

Kita harus mengakui hakikat seorang insan tidak ada yang sempurna melainkan mempunyai kelemahan dan kekurangan. Oleh itu, jika ada peluang untuk mengajak kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran, ia perlu segera dipenuhi meskipun diri belum cukup baik serta sempurna. 

Imam Hasan al-Basri berkata: “Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, sebab aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan kuranglah orang yang memberi peringatan.” 



Diri tak sempurna bukan alasan

Daripada Anas, katanya, kami bertanya: “Ya Rasulullah, kami tidak akan menyuruh orang untuk berbuat baik sebelum kami sendiri mengamalkan semua kebaikan dan kami tidak akan mencegah kemungkaran sebelum kami meninggalkan semua kemungkaran. Maka Nabi SAW bersabda: “Tidak, bahkan serulah kepada kebaikan meskipun kalian belum mengamalkan semuanya dan cegahlah dari kemungkaran, meskipun kalian belum meninggalkan semuanya.” (Riwayat Tabrani) 

Diri yang tidak sempurna bukanlah alasan untuk lepas tangan dan terkecuali daripada kewajipan berdakwah. Keengganan berdakwah sementara dia mampu untuk melakukannya, hanya akan mengundang kemurkaan Allah SWT. 

Sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seseorang berada dalam suatu kaum, dia berbuat maksiat di tengah mereka dan mereka mampu untuk mencegahnya, namun mereka tidak mencegahnya, kecuali Allah menimpakan kepada mereka seksaan sebelum mereka mati (mereka akan menerima banyak musibah di dunia).” (Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).





Credit: Mohd Adid Ab Rahman

Sunday, 23 February 2014

Kita insan yang lemah dan selalu tersilap.....

1175287_499581660134406_876325827_n


PBS ditangguh, teliti kesan bebanan guru

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga perkara itu diputuskan oleh Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, Kementerian Pendidikan mengambil serius mengenai isu pelaksanaan PBS yang dibangkitkan oleh guru-guru di samping pandangan tentang kesannya terhadap murid.

Berikut kenyataan penuh beliau;

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat memandang serius mengenai isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dibangkitkan oleh guru-guru di samping pandangan akan kesannya kepada murid. PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid. Dalam hal pelaksanaannya, KPM sentiasa terbuka dan telus terhadap sebarang rungutan, komen, pandangan, kritikan daripada guru-guru dan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan arahan Menteri Pendidikan supaya KPM membuat kajian menyeluruh mengenai perlaksanaan PBS, pihak KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru. Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara-perkara yang melibatkan kekerapan guru-guru memasukkan data-data berkaitan eviden dan pencapaian murid yang termasuk juga pengisian borang-borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru-guru.

Di samping memastikan kajian dan penelitian tersebut dilaksana secara berkesan, KPM juga telah mengambil langkah-langkah segera bagi menanganinya seperti berikut;

l. Menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari 2014 bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

2. Mengadakan perbengkelan yang melibatkan guru-guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS. Bengkel tersebut telah dilaksanakan pada awal dan pertengahan bulan Februari 2014 dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh terdekat.

3. Menubuhkan Jawatankuasa Task Force PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.

4. Mewujudkan War Room PBS di peringkat KPM untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklumbalas segera mengenainya dari semasa ke semasa; dan

5. usaha-usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem tersebut secara lebih mudah dan berkesan.

Kesemua tindakan tersebut diambil adalah bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya. KPM akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan hal ini termasuk tindakan selanjutnya terhadap pelaksanaan PBS setelah Menteri Pendidikan berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan dengan mengambilkira dapatan kajian terbaru KPM, rungutan para guru dan pandangan masyarakat termasuk oleh Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan perlaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa yang terdekat.

Saturday, 22 February 2014

Biodata Imam Syafie


Nama penuh: Abu Abdullah Muhammad ibn Idris ibn Abas ibn Usman ibn Syafi' ibn 'Ubaid ibn Abdu Yazid ibn Hashim ibn Mutolib ibn Abdu Manaf.
Nasab keturunan dengan Nabi Muhammad S.A.W: melalui datuk baginda Abdu Manaf dan melalui nasab ibu kepada Imam Syafie, Fatimah binti Abdullah ibn Hasan ibn Hussin ibn Ali ibn Abi Talib. Hubungan nasab ini diakui jumhur ulamak.

Lahir: Tahun 150 H di Ghazzah, Palestin

Kehidupan: Beliau membesar di dalam keluarga yang fakir di Palestin. Bapanya meninggal ketika Imam Syafie kecil lagi.

Ketika berumur 2 tahun ibunya telah membawa ke Kota Makkah untuk berjumpa dengan saudara mara beliau dari keturunan yang dihormati.

Ketika Imam Syafie berumur 7 tahun, beliau telah pun menghafaz Al Quran dan selepas itu beliau menghafaz pula hadith-hadith Rasulullah S.A.W. 

Imam Syafie juga menguasai ilmu bahasa Arab fushah. Di usia mudanya, beliau menuntut ilmu dari ramai fuqaha' di Makkah sehinggakan
beliau diminta untuk memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah agama. 

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah di ceritakan bahawa setiap malam beliau membaHAgi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Imam Syafie kerap berhijrah ke luar negara untuk mengutip mutiara ilmu dari ramai ulamak yang tersohor pada masa itu. Beliau pergi ke Madinah Al Munawwarah untuk berjumpa dengan Imam Malik dan tinggal bersamanya sehingga ke penghujung hayat Imam Malik. Imam Malik meninggal dunia pada tahun 179 H. 

Setelah itu Imam Syafie menyibukkan diri dengan ilmu agama dan beliau bertugas di Yaman. Ketika beliau di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Oleh kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Imam Syafie masuk ke Baghdad sebanyak 3 kali. Kali pertama pada tahun 183 H ataupun sebelum Khilafah Harun Ar Rashid. kali kedua pada tahun 195 H dan tinggal di Baghdad selama 2 tahun. Kali ketiga pada tahun 198 H. 

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu Khalifah Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, kerana golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Justru, di mana sahaja kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Satu kali datang surat khalifah dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya. Jika urusan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan keBaghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap kerana di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa beliau termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa keBaghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan seorang demi seorang masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa soalan, mereka dibunuh dengan dipenggal leher tahanan tersebut. Agar darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berselerak ia dialas dengan kulit binatang.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, memohon dari Allah SWT. Beliau dipanggil ke hadapan khalifah. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap khalifah. Semua para pembesar memerhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amir al-Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.” 

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”

Imam Syafie menjawab: “Saya tidak mengucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati Tuanku sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”

Setelah membaca ayat di atas, Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang Tuanku telah menjadi khalifah, jawapan salam Tuanku tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.” 

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan Tuanku dengan baik bila saya masih dirantai begini. Jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah al-Hujarat ayat 6: 

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada Tuanku itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan Tuankulah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana Tuanku adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun ar Rasyid menundukkan kepalanya. Ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”

Beliau menjadi masyhur di kalangan umat Islam pada ketika itu. Setelah itu beliau berhijrah ke Mesir. Imam Syafie keluar masuk Mesir terlalu kerap sehinggakan tidak diketahui berapa kali. 

Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:
“Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI iaitu: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT iaitu: mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR iaitu : membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT) iaitu : menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT) iaitu : membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA) iaitu : menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA) iaitu : redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI S.A.W iaitu : berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT iaitu : mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Sehingga pada tahun 199 H Imam Syafie masuk semula ke Mesir dan meninggal dunia di Mesir pada malam Jumaat yang penuh barakah. Beliau dikebumikan selepas Asar pada hari Jumaat bertarikh 29 Rejab 204 H bersamaan 19 Januari 820 M.






Credit: niknasri.com