Firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 152 bermaksud: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.”
Bersyukur adalah satu nilai mulia, bukan saja ditekankan agama, tetapi dalam kehidupan kita bermasyarakat. Apabila adanya rasa syukur kita akan lebih menghargai setiap yang diperoleh.
Ibu bapa sewajarnya menerapkan konsep syukur ini ke dalam jiwa anak mereka semenjak usia kanak-kanak lagi. Hal ini penting bagi mendidik sahsiah mereka supaya apabila besar nanti tidak lekas lupa diri, keluarga dan agama.
Anak seharusnya diberitahu bahawa segala nikmat ataupun kemudahan yang mereka kecapi meskipun mudah didapati dan secara percuma tanpa perlu bersusah payah, ia adalah suatu kurniaan. Setiap yang didapati dan berlaku di alam maya ini tidak ada dengan sendirinya, melainkan diberi dan dicipta. Sebagai hamba Allah sudah tentu kita percaya penciptanya tiada lain melainkan Dia Yang Maha Kuasa. Justeru, kita perlu bersyukur kepada Tuhan, bahkan sesama manusia yang memberikan kemudahan dan sokongan kepada kita.
Syukur bukan sekadar mengucapkan terima kasih di bibir saja, tetapi ia disusuli dengan penzahiran sikap dan watak kita dalam memanfaatkan pemberian itu.
Kita lihat anak yang belajar di sekolah, bukan sedikit menerima buku teks secara percuma. Namun, mengapa masih ada yang enggan membacanya dan tidak menjaganya dengan rapi? Di manakah nilai syukur yang diajar dan diterapkan? Jejantas yang dibina berdekatan sekolah ataupun di kawasan lain sekalipun, berapa ramai yang memanfaatkannya, sedangkan kos pembinaan menelan belanja yang banyak? Jadi, di mana rasa syukur dan menghargai pemberian itu? Mulai hari ini marilah kita anjakkan minda dan sikap klasik itu kepada bentuk baru yang lebih positif. Kita sebagai ibu bapa perlulah tampil menjadi pendidik dan pembimbing pertama, bukannya dilepaskan tanggungjawab itu kepada guru di sekolah.
Ingatlah firman Allah dalam surah al-Haj, ayat 38 bermaksud: “Sesungguhnya Allah membela orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.” Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Orang yang dianggap paling bersyukur kepada Allah ialah orang yang paling banyak berterima kasih kepada manusia.” (Riwayat Tirmidzi) Kini anak kita umumnya menikmati kehidupan dalam keadaan senang dan mewah. Mereka boleh mendapat apa-apa saja yang dihajati dengan mudah. Sebut saja, dibelikan kepada mereka. Anak kita adalah anak Malaysia yang dilahirkan di sebuah negara yang aman, makmur dan mudah dengan segala keperluan.
Makanan beraneka jenis dengan lauk-pauk memenuhi hidangan, pakaian pula cantik belaka manakala rumah sesetengahnya siap dengan penyaman udara. Ini belum lagi dikira dengan alatan lain. Dengan itu, kita sebagai ibu bapa kenalah menyedarkan mereka mengenai kesenangan yang dinikmati. Kita boleh juga bandingkan dengan kanak-kanak lain seusia mereka di luar negara sana masih ramai yang tidak bernasib baik. Hidup seharian di dalam khemah yang penuh kedaifan.
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.” (Riwayat Bukhari) Kita wajib insafkan mereka bersyukur dengan memanfaatkan semaksimumnya segala nikmat perlu disuburkan di dalam jiwa. Membiarkan jiwa anak kosong dengan nilai syukur bermakna kita gagal menerapkan salah satu nilai akhlak Islam yang mulia. Apakah kita berasa tidak bersalah? Justeru, marilah kita memupuk anak masing-masing dengan sikap tahu bersyukur. Insya-Allah dengan itu mereka akan sentiasa mengenal Tuhan sama ada pada waktu senang mahupun susah, malah tahu membalas budi.
Credit: Mohd Rizal Azman Rifin
No comments:
Post a Comment