Wednesday 1 October 2014

Harga petrol RON95, diesel naik 20 sen 2 Okt 2014

RON95

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014.

Dengan ini harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

KPDNKK berkata pemberian subsidi perlu lebih bersasar dan tidak secara pukal, dengan bukan warganegara Malaysia, termasuk pelancong asing, turut menikmati subsidi yang diberikan kerajaan.

Langkah ini juga dapat menghasilkan penjimatan yang setimpal dan boleh digunakan untuk pembangunan pendidikan, kesihatan, sistem pengangkutan awam yang lebih meluas dan cekap serta meningkatkan keselamatan negara.

Kata KPDNKK kerajaan sedar bahawa langkah rasionalisasi subsidi ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat.

Oleh itu, kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk meringankan beban, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara langkah yang akan diambil kerajaan ialah menaikkan kadar pemberian BR1M yang akan diumumkan dalam Bajet 2015 kelak. - Bernama
   

No comments:

Post a Comment