Tuesday 14 October 2014

Perlembagaan jamin hak rakyat Sabah, Sarawak


Keistimewaan kaum peribumi Sabah dan Sarawak sentiasa dipelihara. - Gambar hiasan
Baru-baru ini akhbar tempatan dan media sosial menyiarkan berita bahawa ada pihak yang melancarkan kempen 'Sabah Sarawak keluar Malaysia (SSKM)' untuk membangkitkan sentimen membenci Kerajaan Pusat dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak. Media juga melaporkan ada pihak aktivis sosial dan politik mendakwa kerajaan pusat 'anak tirikan' rakyat Sabah dan Sarawak, malah gagal melaksanakan Perjanjian 20 perkara.
Sejarah menunjukkan aktivis sosial dan politik di Sabah dan Sarawak sering membangkitkan isu kedua-dua negeri itu berpisah dari Malaysia. Suara berpisah lebih lantang kedengaran di Sabah berbanding Sarawak. Malah, ada parti politik di Sabah yang memasukkan perkara itu dalam manifesto parti politik mereka dalam menghadapi pilihan raya umum.
Antara tuntutan dan dakwaan yang sering dibangkitkan sebagai alasan untuk Sabah dan Sarawak berpisah dari Malaysia adalah kononnya rakyat kedua-dua negeri itu tidak puas hati terhadap kadar royalti petroleum, penjawat awam dari Semenanjung mendominasi perkhidmatan awam, rakyat Sabah dan Sarawak masih mundur berbanding di Semenanjung dan Kerajaan Pusat melayan Sabah dan Sarawak sebagai negeri jajahan.
Tuntut Sabah keluar Malaysia
Persoalannya, apakah wujudnya elemen kebenaran dalam dakwaan kumpulan aktivis sosial dan politik yang menuntut Sabah keluar dari Malaysia? Adakah benar sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak berasa Kerajaan Pusat tidak berlaku adil terhadap kedua-dua negeri itu atau tidak melaksanakan Perjanjian 20 Perkara?
Apakah tuntutan dan dakwaan yang sering dibangkitkan itu kerana pertimbangan politik semasa untuk menjamin dan menyelamatkan masa depan politik seseorang individu dan parti politik mereka?
Hakikatnya, membangkitkan sentimen dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak agar kedua-dua negeri itu keluar dari Malaysia adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, malah semangat Perjanjian 20 Perkara yang bersama-sama dipersetujui oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia pada tahun 1963.
Mengikut Perkara 1(2) dalam Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak adalah negeri-negeri Persekutuan. Sabah dan Sarawak adalah sebahagian yang sah dalam Persekutuan dan dengan itu tidak boleh keluar dari Persekutuan. Malah langkah memisahkan Sabah daripada Malaysia adalah bertentangan dengan Perkara 7 dalam senarai Perjanjian 20 Perkara yang menjadi asas pembentukan Malaysia.
Kumpulan yang mendakwa Semenanjung telah menakluki Sabah dan Sarawak untuk kepentingan rakyat perlu mengimbas kembali senario geo-politik pasca Perang Dunia Kedua dan perkembangan politik seterusnya yang mendorong rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bersama-sama membentuk Malaysia berteraskan konsep federalisme.
Perkembangan dalam geopolitik rantau Asia selepas Perang Dunia Kedua jelas memperlihatkan British yang menguasai Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak bercadang untuk melakukan sesuatu dalam menentukan hala tuju masa depan negeri-negeri berkenaan.
Pegawai British yang pernah berkhidmat di Sabah dan Sarawak mengeluarkan kenyataan bahawa pengunduran British dari rantau ini dijangka akan mendedahkan Sabah dan Sarawak kepada ancaman daripada China, Indonesia dan Filipina.
Seorang pentadbir British pernah menyatakan bahawa: "If the British moved out, it was likely that both North Borneo and Sarawak would not survive as viable states on their own and the political vacuum would inevitably invite intervention for these neighbouring powers".
Dengan latar belakang geopolitik inilah pemikiran untuk membentuk Gagasan Malaysia dicetuskan. Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961, ketika beliau menyertai majlis makan tengah hari bersama ahli Persatuan Wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara, di Hotel Adelphi, Singapura, membayangkan ada kemungkinan besar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak akan bersatu dalam satu Gagasan yang lebih besar untuk menjamin keselamatan dan pembangunan ekonomi rantau ini.
Pihak British, yang menjajah negeri seperti Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak menyambut baik idea Tunku Abdul Rahman dan seterusnya bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Cobbold pada 16 Januari 1962 , yang diketuai oleh bekas Gabenor Bank England, Lord Cobbold, untuk mengkaji pendapat awam rakyat Sabah dan Sarawak dalam mengetahui sama ada rakyat di kedua-dua negeri itu bersetuju atau tidak untuk bersama Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan Malaysia.
Suruhanjaya Cobbold
Suruhanjaya Cobbold itu disertai oleh Datuk Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd Ghazali Shafei mewakili kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Antony Abell dan Watherston mewakili kerajaan British. Suruhanjaya Cobbold dilaporkan bertemu hampir 4,000 rakyat Sabah dan Sarawak secara langsung dan menerima 2,200 surat dan memorandum daripada parti politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin-pemimpin kaum, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai .
Hasil kajian menunjukkan hampir 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak menyokong untuk bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan Malaysia.
Namun, pemimpin yang mewakili rakyat Sabah dan Sarawak mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan Malaysia yang bakal ditubuhkan perlu mengambil kira hak dan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak, terutama kaum peribumi Sabah dan Sarawak dalam merangka Perlembagaan ke arah membentuk Malaysia.
Maka dengan itu, Suruhanjaya Cobbold yang dipertanggungjawabkan oleh British terhadap pembentukan Malaysia mengesyorkan agar Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang disediakan pada tahun 1957 boleh dijadikan sebagai asas bagi membentuk Perlembagaan Malaysia dengan beberapa pindaan dan memasukkan beberapa perkara yang membabitkan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.
Cadangan Suruhanjaya Cobbold diatas diterima baik oleh pemimpin yang mewakili rakyat Sabah dan Sarawak dan dengan itu mereka bersetuju menyediakan satu laporan khas yang mengandungi beberapa tuntutan untuk dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia dalam menjamin kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.
Beberapa kumpulan yang mewakili rakyat Sabah dan Sarawak, termasuk parti politik seperti USNO, UNKO United Party, Demokratik Parti dan United Pasok Momogun Organisation telah menyediakan beberapa memorandum dan sebahagian besar tuntutan berkisar kepada hal-hal kebebasan agama, bahasa, migrasi dan lain-lain kepentingan khas kaum peribumi Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, Sabah menyediakan 20 usul dan Sarawak pula menyediakan 18 usul untuk dipertimbangkan oleh sebuah jawatankuasa antara kerajaan atau Inter Governmental Committee atau Lansdowne Committee,1963 (IGC) yang ditubuh khas untuk mengkaji usul-usul daripada Sabah dan Sarawak.
Usul berkenaan jelas menyatakan rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju bersama Persekutuan Tanah Melayu membentuk sebuah negara yang dirujuk sebagai 'Malaysia'. Usul-usul rakyat Sabah dan Sarawak kini dirujuk sebagai Tuntutan 20 Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara bagi Sarawak. Dengan penerimaan dan persetujuan tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak, maka terbentuklah Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
Perlu ditegaskan bahawa Malaysia ditubuhkan berdasarkan kepada sistem pentadbiran federalisme. Umumnya, 'Federalisme' membawa maksud beberapa negeri bergabung di bawah sebuah Kerajaan Pusat. Federalisme membawa pengertian bahawa beberapa negeri yang berautonomi bersatu di bawah sebuah Kerajaan Pusat dan kuasa pentadbirannya berdasarkan kepada satu Perlembagaan.
Jadi, Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah negara yang bertunjangkan prinsip federalisme yang mana ahli-ahlinya dapat mengekalkan jati diri, identiti dan autonomi kerajaan negeri masing-masing.
Sebahagian besar perkara yang terkandung dalam Perjanjian 20 Perkara telahpun dimasukkan atau diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan sedang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri masing-masing mengikut kemampuannya.
Hak, kuasa Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan
Hak dan kuasa Sabah dan Sarawak juga dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan agar menjadi asas pentadbiran kerajaan Persekutuan Malaysia.
Salah satu tuntutan penting yang menjadi asas untuk rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Malaysia adalah tuntutan menjamin hak istimewa peribumi Sabah dan Sarawak. Tuntutan penting ini termaktub dalam Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut "Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak".
Dengan ini jelas bahawa hak kaum peribumi Sabah dan Sarawak terjamin dalam Perlembagaan. Pada masa sama, lain-lain tuntutan dan harapan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai hak dan kuasa negeri pula dimasukkan dalam beberapa Perkara, Bahagian dan Jadual dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Pada keseluruhannya Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak mengabaikan tuntutan yang dikemukakan rakyat Sabah dan Sarawak ketika Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.
Rakyat Sarawak didapati amat puas hati dengan pelaksanaan tuntutan mereka. Sebaliknya, rakyat Sabah terus dilanda dengan pelbagai dakyah bahawa Kerajaan Pusat mengabaikan 20 perkara yang dikemukakan sebagai syarat untuk bersama Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia.
Apabila kita meneliti Perlembagaan Persekutuan, didapati roh dan semangat 20 Perkara menyerlah dalam pelbagai Perkara, Bahagian dan Jadual dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Tuntutan 20 Perkara rakyat Sabah adalah seperti berikut:
Tuntutan 20 Perkara
  • Perkara 1 Agama: Tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia.
  • Perkara 2 Bahasa: Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan.
  • Perkara 3 Perlembagaan: Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia.
  • Perkara 4 Ketua Persekutuan: Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.
  • Perkara 5 Nama Persekutuan: "Malaysia"
  • Perkara 6 Imigresen: Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke Borneo Utara sepatutnya memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.
  • Perkara 7 Hak Menarik Diri ; Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.
  • Perkara 8 Borneonisasi: Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.
  • Perkara 9 Pegawai-pegawai British: Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti dengan orang tempatan yang berkelayakan.
  • Perkara 10 Kewarganegaraan: Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan.
  • Perkara 11 Cukai dan kewangan: Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan, dan cukai sendiri.
  • Perkara 12 Kedudukan khas bangsa asli/Bumiputera Borneo Utara: Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya.
  • Perkara 13 Kerajaan Negeri: Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.
  • Perkara 14 Jangkamasa Peralihan: Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut Perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh Kerajaan Persekutuan.
  • Perkara 15 Pelajaran: Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.
  • Perkara 16 Perlindungan kepada Perlembagaan: Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara.
  • Perkara 18 Nama Ketua Negeri :Yang di-Pertua Negeri Sabah
  • Perkara 19 Nama Negeri: Sabah
  • Perkara 20 Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain: Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus membabitkan Borneo Utara.

    Rakyat Sabah dan Sarawak nikmati pembangunan sejak menyertai Malaysia.
    Pembangunan ekonomi meningkat 74 kali ganda
    Sudah 51 tahun Sabah dan Sarawak menganggotai Persekutuan Malaysia. Sejak Rancangan Malaysia Kedua dilancarkan pada tahun 1971, banyak program pembangunan dijalankan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat kedua-dua negeri itu. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam masa 51 tahun yang lalu, kualiti hidup rakyat Sabah dan Sarawak berjaya dipertingkatkan ke tahap yang hampir sama dengan kualiti hidup rakyat di Semenanjung.
    Walaupun kedudukan demografi dan geografi Sabah dan Sarawak yang unik serta rakyatnya tinggal berselerak di kawasan pedalaman menjadi satu cabaran kepada kerajaan dalam merancang pelan pembangunan, program pembangunan yang dilaksanakan dapat mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah dan Sarawak.
    Kadar miskin turun
    Kadar kemiskinan Sabah dapat diturunkan daripada 70 peratus pada tahun 1970 kepada paras 16 peratus pada tahun 2007 dan ke paras 8 .1 peratus pada tahun 2013. Kadar pengangguran pula dapat diturunkan kepada 5.2 peratus (2013).
    Dalam konteks pembangunan ekonomi, nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah telah meningkat daripada RM602 juta pada awal tertubuhnya Malaysia (1967) kepada RM44.4 bilion pada tahun 2013 iaitu peningkatan hampir 74 kali ganda. Pendapatan perkapita Sabah telah meningkat daripada RM1,770 pada tahun 1970 kepada RM19,,010 (2013). Jumlah rakyat yang berkerja juga telah meningkat dari 38,000 ribu pada tahun 1970 kepada 1.5 juta pada tahun 2013.
    Mengikut kajian Bahagian Analisa Cukai, Bahagian Pengurusan Belanjawan, Kementerian Kewangan Malaysia, kerajaan pusat memberi peruntukan besar kepada Sabah, iaitu RM4.376 bilion. Anggaran pembangunan Sabah bagi 2014 adalah RM 1.2 bilion. Daripada jumlah itu, kerajaan negeri menyediakan RM838.43 juta (69.8 peratus) dan Kerajaan Pusat pula RM361.87 juta (30.2 peratus).
    Sumbangan Kerajaan Pusat secara langsung kepada jabatan kerajaan persekutuan di Sabah pula mencecah RM1.047 bilion bagi 2013. Kerajaan Pusat juga memperuntukkan RM2.049 bilion dalam bajet 2014 untuk menjalankan program pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah dan Sarawak.
    Aliran peruntukan sejumlah besar kepada Sabah dijangkakan berterusan termasuk bayaran tunai sebanyak lima peratus daripada nilai petroleum yang ditemui dalam negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974.
    Berhubung dengan pembangunan sosial pula, Sabah diperuntukkan kuasa dan hak-hak tersendiri dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membela dan melindungi kepentingan rakyat Sabah terutama dalam memelihara adat resam, budaya dan agama masyarakat Sabah.
    Sabah juga dibenarkan meneruskan dengan mahkamah, undang-undang peribumi malah Mahkamah Persekutuan (Sivil) yang berasingan daripada Mahkamah Persekutuan pada peringkat pusat. Pelantikan ketua hakim bagi Sabah dan Sarawak juga disyaratkan perlu dirunding dengan ketua menteri negeri masing-masing.
    Memandangkan Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertekad untuk membela kumpulan rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik tanpa mengira kaum dan etnik agar mereka dapat keluar daripada cengkaman dan lingkaran kemiskinan, masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak dijangka akan terus diberi perhatian dan tumpuan, malah bantuan supaya mereka juga dapat menikmati bersama hasil pembangunan pesat yang dikecapi Persekutuan Malaysia.
    Usah terpengaruh dengan dakyah keluar Malaysia
    Dengan demikian, rakyat Sabah tidak harus terpengaruh dengan slogan dan desakan yang menggesa Sabah keluar dari Persekutuan Malaysia. Dakyah menggesa Sabah memisah daripada Persekutuan Malaysia bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian 20 Perkara yang dipersetujui bersama, malah dijangka akan merugikan rakyat Sabah daripada menikmati kesejahteraan pada masa hadapan.
    Rakyat Sabah perlu diingatkan supaya jangan menggadai kemakmuran, kesejahteraan dan kualiti hidup yang dinikmati sejak terbentuknya Malaysia untuk memenuhi agenda politik seseorang individu atau kumpulan yang dilihat lebih mementingkan kepentingan politik diri daripada kepentingan keseluruhan rakyat Sabah.
    Majoriti rakyat Sabah dan Sarawak nyata menzahirkan rasa puas hati dan bersyukur kerana dapat menganggotai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 dan mengharapkan Sabah dilimpahi pembangunan dan kemajuan yang berterusan dalam menjamin masa depan yang cemerlang bagi generasi akan datang.


  • Credit: M Priasamy

    No comments:

    Post a Comment