Sunday 5 October 2014

Garam juga baik untuk kesihatan

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Selama ini sebahagian besar orang ramai boleh dikatakan kurang mengambil garam kerana terpengaruh dengan persepsi, mineral itu mampu memudaratkan kesihatan selain menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit.

Walau bagaimanapun, menurut satu hasil kajian yang dilakukan oleh penyelidik daripada Fakulti Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selama sembilan tahun, pengambilan garam jika mengikut sukatan yang ditetapkan sebenarnya mampu memberi kesan yang baik untuk jangka masa panjang.

Menurut Profesor Kesihatan Pekerjaan di Jabatan Kesihatan Masyarakat PPUKM, Prof. Dr. Noor Hassim Ismail (gambar), pihaknya telah menjalankan kajian itu ke atas pelbagai lapisan masyarakat termasuk pesakit hipertensi dan golongan warga emas.

"Dalam kajian itu, kami mendapati garam sebenarnya mengandungi ‘potassium’ iaitu sejenis mineral yang perlu ada dalam tubuh manusia dan terdapat dalam buah-buahan serta sayur-sayuran antaranya pisang dan kobis.

"Jika garam diambil mengikut skala yang betul, tekanan darah dapat diturunkan. Jika sebelum ini masyarakat dipengaruhi bahawa pengambilan garam adalah berbahaya, sebenarnya tidak berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kami," katanya.

Beliau mengumumkan kejayaan Fakulti Perubatan PPUKM apabila artikel berhubung hasil kajian itu disiarkan dalam ‘New England Journal’, antara bahan rujukan utama pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia, dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi PPUKM, Prof. Dr. Ima Nirwana Soelaiman dan juga Pakar Bedah Saraf PPUKM, Prof. Madya Dr. T. Jegan.

Mengulas lanjut, Noor Hassim berkata, kejayaan tersebut adalah hasil usaha keras yang dilakukan oleh lima penyelidik Fakulti Perubatan PPUKM yang membuat kajian soal selidik menerusi internet terhadap penduduk di 18 buah negara termasuk Malaysia.

"Kajian yang dijalankan merupakan kajian ‘cohort’ iaitu pemerhatian untuk jangka masa yang panjang yang lebih tepat walaupun mengambil masa yang lama iaitu selama sembilan tahun bermula tahun 2005 lalu. Di Malaysia, sebanyak 16,000 responden terlibat dalam dalam kajian ini," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, PPUKM berjaya melakukan pembedahan rangsangan dalam otak yang pertama (deep brain stimulation) yang diadakan pada 25 September lalu, diketuai oleh Dr. Jegan.

Pembedahan ke atas pesakit lelaki berusia 62 tahun ini menurutnya, dibuat menggunakan tenaga elektrik yang dihantar pada bahagian tertentu otak dan mampu mengubah aktiviti otak agar memberi kesan pada pergerakan pesakit ketika dibedah.

No comments:

Post a Comment