Friday 17 October 2014

Kurang kasih sayang punca anak tertekan

 Gambar Hiasan.

SHAH ALAM – Kurang kasih sayang dan perhatian ibu bapa merupakan antara punca utama kanak-kanak mengalami tekanan hidup.

Pensyarah Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Abdul Hamid Abdul Rahman berkata, sekiranya dibiarkan, tekanan itu boleh menyebabkan mereka menghadapi masalah mental.

“Dalam kehidupan masyarakat moden kini, ramai ibu bapa bekerja. Akibatnya, mereka kurang memberi perhatian kepada anak-anak.

“Kanak-kanak yang tidak mendapat kasih sayang boleh menghadapi tekanan. Ini kerana, di peringkat ini emosi mereka tidak kental dan mudah mengalami gangguan jiwa,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan berkata, lebih 20 peratus kanak-kanak lingkungan umur lima hingga 15 tahun di negara ini menghadapi masalah mental yang berpunca daripada tekanan hidup serta diskriminasi keadaan persekitaran.


Katanya, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2011 menunjukkan peningkatan masalah psikiatri kanak-kanak ialah 19.3 peratus pada 2006 berbanding 13 peratus pada 1996.

Abdul Hamid berkata, faktor persekitaran juga menyumbang kepada tekanan hidup golongan ini.

“Berbanding kanak-kanak, golongan remaja sudah boleh berfikir. Tetapi tekanan tetap dirasai kerana mereka mula mengenali erti kehidupan dan tanggungjawab seperti orang dewasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah mental merangkumi pelbagai jenis dan tidak hanya terhad kepada penyakit kurang siuman.

“Mereka yang tertekan boleh dapat penyakit seperti kemurungan, kebimbangan, darah gemuruh, panik atau penyakit was-was dikenali obsessive compulsive disorder.

“Tapi ada juga yang mendapat penyakit tidak siuman diwarisi secara genetik dan dikesan pada peringkat awal remaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment