Wednesday 8 October 2014

Cabaran hidup berkeluarga


ORANG tua-tua sering berkata, melayari hidup berumah tangga ini sangat bergantung kepada takdir dan nasib. 

Jika nasib seperti batu, jatuh ke air, ia tenggelam dan jika nasib seperti sabut, jatuh ke air terapunglah ia. 

Sama ada tenggelam atau terapung, ia tetap suatu takdir Allah SWT dan pasangan tersebut juga perlu ada ikhtiar dan usaha bagi memastikan perkahwinan mereka kekal bahagia sehingga ke akhir hayat dan mereka sekeluarga berada dalam keberkatan-Nya.

Mustahil ada manusia di dunia ini berkahwin tanpa inginkan zuriat dan keluarga yang berkembang. Mana mungkin ada pasangan berkahwin semata-mata ingin menyelesaikan isu desakan nafsu tanpa sebarang niat ingin beribadah. Perkahwinan itu satu sunnah dan melakukannya adalah ibadah.

Namun, di zaman serba moden ini, generasi muda nampaknya sangat terfokus kepada isu seks dan tuntutan hawa nafsu sehinggakan kanak-kanak semuda 12 tahun telah mula berjinak dengan seks.

Bukan itu sahaja, selain daripada hanya memuaskan tuntutan seks, mereka juga melihat isu zuriat sebagai perkara tidak penting. Akhirnya, apabila telah ramai melakukan seks sebelum berkahwin, kepentingan perkahwinan mula menurun.

Suatu masa dahulu hamil sebelum nikah adalah sesuatu yang sangat memalukan sehingga anak perempuan yang sedang mengadung dihalau dan terpaksa hidup melarat. Malah perbuatan zina itu dikeji dan dikutuk.

Masyarakat Melayu Islam menyembunyikan kejadian hamil luar nikah dengan menikahkan segera anak gadis dengan pasangannya yang berzina dan kebiasaannya, selepas bernikah mereka akan berpindah bagi memastikan kelahiran anak sulung itu tidak diketahui orang.

Hari ini, masyarakat Melayu-Islam masih memandang keji perbuatan berzina atau mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin tetapi cara penyelesaiannya sudah berbeza. Jarang benar anak dihalau keluar dari rumah dan mereka juga tidak dinikahkan kerana faktor usia yang terlalu muda.



Ramai ibu bapa yang akan menghantar anak gadis mereka yang telah mengandung ke rumah persinggahan untuk melahirkan anak dan menyerahkan anak tersebut sebagai anak angkat, ibu anak yang masih muda meneruskan pengajian dan ada yang tamat hingga peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Ada juga yang menikahkan anak mereka demi menjaga nama baik keluarga dan selepas kelahiran pasangan itu bercerai. Dalam kes seperti ini, anak juga diserahkan sebagai anak angkat atau dipelihara saudara terdekat.

Kita tetap memandang serius kejadian hamil luar nikah tetapi ia semakin menjadi-jadi dan kita tidak mencari jalan untuk menyelesaikannya. Kita tidak pernah terfikir bagaimana kita boleh menghalang zina daripada terus berlaku? Bagaimana seharusnya kita bertindak sekiranya berlaku hamil luar nikah pada umur 13 tahun.

Apa yang berlaku, kita asyik menunding jari menyalah antara satu sama lain. Kita menuduh ibu bapa tidak pandai mendidik anak sehingga anak tidak takut untuk berzina dan tidak mampu mengawal nafsu. Kita salahkan kerajaan kerana tidak memantau penjualan secara haram DVD lucah, program televisyen yang memberangsangkan atau bahan-bahan lucah di internet.

Tidak kurang juga segelintir pihak yang menyalahkan media, guru dan pemimpin kerana kita adalah pakar dalam mencari kesalahan orang daripada bermuhasabah diri bahawa ia semua berlaku kerana kita yang cuai tentang tanggungjawab kita.


Didikan agama


Sebagai ibu bapa kita berkewajipan mendidik anak-anak dengan didikan agama yang kuat dan mencukupi. Cara mendidik anak mengenai agama hari ini berbeza dengan ibu bapa dahulu. Zaman saya dibesarkan tiada televisyen, telefon dan internet. Yang ada hanya sebuah radio kecil yang usang dan buku-buku.

Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga besar yang mana ayah adalah imam dan guru agama. Saya mula bersolat dengan mengikut atau meniru ayah dan ibu solat dan masjid adalah rumah kedua saya kerana dibawa ke masjid setiap malam kerana ayah bertugas kecuali selepas baligh.

Sirah Nabi atau cerita waktu hendak tidur yang ayah ceritakan setiap malam sebelum kami tidur, saya percaya diceritakan oleh guru ayah kepadanya dan ayah menceritakannya semula kepada kami adik-beradik. 

Cerita itu lekat dalam kepada seperti lekatnya cerita bedtime stories yang generasi hari ini bacakan kepada anak-anak mereka. Saya hanya kenal Snow White, Sleeping Beauty apabila saya bersekolah di sekolah Inggeris melalui pembacaan.

Anak-anak saya juga beruntung kerana mereka sempat mendengar kisah-kisah Nabi daripada arwah ayah (datuk mereka) dan cerita itu sebati sebagai pengajaran. Penceritaan itu dibuat seolah-olah kami dapat merasai apa yang dilalui.

Cerita Nabi yang paling saya suka ialah cerita Nabi Yusof, Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW. Apabila dewasa dan boleh membaca, saya membaca semula kisah-kisah ini dalam bentuk ayat al-Quran dan dapat merasakan ketepatan cerita yang arwah ayah sampaikan dahulu.

Daripada sirah Nabi itu, lahirlah cinta kepada Nabi Muhammad SAW. Timbul rasa ingin menziarahi makam baginda di Madinah. Malah semasa pertama kali menunaikan umrah pada 1995 dan berada di Raudhah di Makam Rasulullah SAW, perasaan itu datang dengan sendiri, terasa seperti menemui baginda dan mengingati kisah yang Nabi SAW lalui.

Dua anak saya bertuah kerana mereka sempat mendengar sendiri cerita Nabi SAW dari mulut ayah saya. Mereka membesar di zaman yang maklumat berada di hujung jari, namun cabarannya ialah hendak menentukan kesahihan maklumat tersebut.

Hari ini terdapat pelbagai blog yang mengandungi maklumat mengenai agama, malah al Quran pun boleh dimuat turun di atas talian. Malahan, tidak perlu membawa kitab al-Quran hanya membawa ipad yang mana al-Quran boleh dibaca dengan membuka gajet bersebut.

Di samping itu, kita juga boleh belajar membaca al-Quran melalui telefon pintar kerana semuanya boleh dimuat turun. Banyak juga penulisan mengenai agama dalam internet, namun persoalannya bagaimanakah kita hendak memastikan kesahihan sumber itu? Dengan wujudnya aneka ajaran sesat, maka kerunsingan kita semakin meningkat terdapat bahan dalam talian ini.




Petikan Agama UM Rabu 8/10/2014.

No comments:

Post a Comment