Wednesday 12 March 2014

Perbezaan antara saintis barat, Muslim menilai alam



Perjalanan alam langit yang begitu teratur, rapi, tepat lagi bersistem dalam edaran hariannya adalah satu fenomena menakjubkan. 

Perjalanan cakerawala, galaksi, bintang dan planet yang berbilion jumlahnya berlaku secara harmoni, tidak berlaku pertembungan atau kemalangan. 

Perjalanan alam kosmos itu memenuhi rumus matematik yang tertentu hingga peristiwa langit seperti gerhana, solstis, ekuinoks dan seumpamanya dapat dikira dengan tepat oleh ahli astrofizik. 


Sistem yang begitu bersistem itu tentulah ditadbir Yang Maha Pencipta yang menguasai seluruh alam.



Setiap objek kosmos sujud, tunduk dan patuh kepada Allah SWT, melakukan peredaran masing-masing dalam edaran yang telah ditentukan tanpa sebarang bantahan. Hakikatnya, seluruh objek langit dan bumi bertasbih kepada Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun yang tidak bertasbih dan memuji-Nya, tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Sungguh, Allah Maha Penyantun dan Maha Pengampun.” (Surah al-Isra’, ayat 44) 


Sains barat kaji aspek luaran alam 

Saintis Barat menghubungkan peristiwa itu sebagai peristiwa tabii yang berlaku seadanya dan digelar hukum alam. Sains barat hanya mengkaji aspek luaran alam semesta, sedangkan banyak peristiwa alam semesta tidak mampu dijawab dengan sains semata-mata. 

Mereka mencari sebab tabii yang dianggap saintifik untuk menerangkan peristiwa itu dalam kerangka saintifik. Sains barat hanya mampu menjawab sebahagian kecil persoalan berkaitan bagaimana peristiwa itu berlaku, tetapi tidak dapat menjawab persoalan mengapakah ia berlaku demikian. 





Namun, bagi saintis Muslim, peristiwa itu bukan sekadar hukum tabii sebaliknya telah ditakdirkan oleh Pencipta alam semesta yang termasuk dalam kategori sunnahtullah. Kajian alam kosmos memperlihatkan keagungan Penciptanya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal iaitu orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata, Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.” (Surah Ali-Imran, ayat 190-191) 








Ulul Albab Ajaibnya Alam Semesta

No comments:

Post a Comment