MISTERI kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak Sabtu terus menjadi tanda tanya yang kini telah memasuki hari ketujuh namun tiada menunjukkan sebarang berita.
Walaupun pelbagai kaedah telah diambil termasuk menggunakan bantuan teknologi dari dalam dan luar negara, namun masih menemui jalan buntu.
Tidak kurang pelbagai teori, cadangan dan andaian daripada pelbagai pihak juga dilihat mula memenuhi pelbagai ruangan termasuk media alternatif dan juga sosial.
Justeru, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, umat Islam disaran agar memperbanyakkan bertaubat dan berdoa memohon petunjuk daripada Allah SWT bagi membantu menyelesaikan kes tersebut.
Islam menyeru semua umat Islam untuk berdoa dengan sesungguh berdoa, kembali memohon, merintih dan memperbanyakkan taubat kepada-Nya.
Sebagaimana merujuk kisah Nabi Yunus a.s yang terpenjara di perut ikan Nun. Baginda tidak berhenti-henti bertaubat dan bertasbih kepada Allah SWT dengan tasbih, Laailahaillaanta subhanainni kuntum minazzalimin (Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim).
Manakala doa yang juga boleh kita amalkan adalah merujuk kepada ayat 10 surah al-Kahfi yang bermaksud: Ya tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah pentunjuk yang lurus bagi
kami dalam urusan kami," katanya.
Tambahnya, umat Islam harus menyakini bahawa Allah SWT adalah sebaik-baik tempat bergantung dan bertawakal tanpa berputus asa dengan keputusannya.
Setelah segala usaha pencarian dengan upaya manusia melalui ilmu sains, kepakaran dan teknologi sedang giat dijalankan, maka kita sebagai hamba Allah SWT harus terus berdoa bermohon kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa.
Selain itu, saya juga memohon agar para alim ulama dan seluruh ahli keluarga penumpang pesawat di Malaysia untuk turut sama berdoa dan memohon kerana doa adalah senjata bagi orang beriman.
Oleh itu, marilah kita kembali menjadi hamba yang mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah dengan berdoa dan solat hajat secara istiqamah, bersabar dan juga bertawakal," ujarnya.
Othman turut menasihati masyarakat agar tidak melakukan apa-apa tindakan atau perbuatan yang bercanggah akidah dan syariat dalam usaha membantu mencari pesawat MH370 itu.
No comments:
Post a Comment