Saturday 29 March 2014

Iktibar daripada kehilangan MH370

MH370 sejak 8 Mac lalu mempunyai hikmah untuk dinilai umat Islam, baik yang terbabit secara langsung atau yang berkongsi kesedihan menimpa keluarga penumpang penerbangan itu. 

Antara hikmahnya ialah kesatuan ummah yang tidak putus memberi sokongan dari segi tenaga, pemikiran sdan doa supaya musibah yang melanda negara serta masyarakat dunia itu dapat dirungkaikan demi kemaslahatan semua.


Semangat kesatuan dibuktikan umat Islam yang istiqamah berdoa dan menunaikan solat hajat memohon bantuan Allah SWT bagi memberi petunjuk serta memudahkan usaha pencarian pesawat MH370. 

Ma’qil Yasar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Bagi saya, kebaikan menunaikan semua suruhan Allah dalam suasana huru-hara, sama seperti kebaikan berhijrah.” (Riwayat Muslim) 

Menangani situasi yang berlaku, tidak dinafikan ada antara kita melakukan penghijrahan. Mungkin sebelum ini kita kurang peka terhadap keadaan di sekeliling dan musibah yang melanda menjadikan kita mula mengambil sikap berjaga-jaga. 

Ada yang sebelum ini tidak mengenali jiran, tetapi disebabkan ujian daripada Allah SWT ini, kehadiran jiran memberi sokongan dan ucapan menenangkan menjadi permulaan kepada jambatan silaturahim sesama Islam. 

Mungkin juga sebelum ini kita lupa dengan nikmat dan rahmat Allah SWT, kejadian yang berlaku menyentak sanubari supaya sentiasa berpaling kepada kekuasaan-Nya kerana hanya kepada-Nya tempat kita menyembah serta memohon pertolongan. 


Sebaiknya, biarlah kenangan manis dan ingatan kita tertumpu kepada perkara yang baik-baik saja kerana bersangka baik itu dianjurkan Islam. Begitu juga dengan ujian Allah SWT timpakan kepada kita, hendaklah diterima dengan sangkaan yang baik. 

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Ada lima golongan yang dikategorikan mati syahid. Orang yang mati disebabkan sakit taun. Orang yang mati disebabkan sakit perut. Orang yang mati kerana lemas dalam air. Orang yang mati dihempap sesuatu dan orang yang mati terkorban di medan perang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan. Bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.” (Surah al-Baqarah, ayat 152)

No comments:

Post a Comment