Monday, 31 March 2014

Usah mudah putus asa mohon keampunan Allah

Daripada Anas bin Malik, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang sudah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Aku mengampuninya. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku akan datang padamu dengan pengampunan seluas bumi pula.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Bhagawi) 

Ini menjelaskan luasnya keampunan Allah SWT supaya hamba tidak berputus asa walaupun telah melakukan dosa. Namun, itu tidak bermakna kita boleh leka dalam dosa kerana dikhuatiri diri akan terbiasa dalam dosa dan terhalang untuk bertaubat.



Gambaran sifat pemurah Allah 



Hadis ini juga mengandungi khabar gembira, belas kasih dan gambaran sifat pemurah Allah SWT yang amat besar. Tidak terhitung banyaknya kurniaan kebaikan, belas kasih dan pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya. 

Rasulullah SAW bersabda: “Allah lebih bergembira atas taubat seorang hamba-Nya daripada (kegembiraan) seseorang antara kamu yang menemui kembali haiwannya yang hilang.” 

Daripada Abu Ayyub ketika hendak meninggal dunia dia berkata, “Aku merahsiakan daripada kamu sesuatu yang pernah aku dengar daripada Baginda SAW, iaitu aku mendengar Rasulullah bersabda: Sekiranya kamu sekalian tidak berbuat dosa, nescaya Allah akan menggantikannya dengan makhluk lain yang berbuat dosa, lalu Allah memberi ampun kepada mereka.” 
Demi mendapat keampunan daripada dosa yang telah dilakukan, hendaklah berdoa dengan diiringi harapan supaya dimakbulkan. Fokus ketika meminta doa kerana doa tidak diterima dengan hati yang lalai serta kosong daripada harapan. 

Mintalah ampun walau sebesar mana dosa yang telah dilakukan dan istighfar hendaklah diikuti dengan taubat tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. 

Jika kita meminta ampun tetapi tetap melakukan dosa, maka ada kemungkinan permohonan ampunan kita tidak diterima Allah SWT. Orang yang berdusta dalam bertaubat seperti orang yang ingin menuai padi tetapi tidak pernah menanamnya. 

Bertauhid kepada Allah SWT adalah kunci mendapat keampunan. Orang yang beriman dan tidak melakukan syirik tidak kekal dalam neraka, akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga.

Isteri juruterbang perlu sedia risiko kehilangan suami

PUTRAJAYA 31 Mac - Mental isteri juruterbang perlu sentiasa bersedia menerima risiko akan kehilangan suami mereka apabila keluar rumah untuk bertugas.

Itulah nasihat yang diberikan oleh balu Allahyarham Mejar (B) Azlizan Abdul Manas, Nor Haslina Hashim, 47, yang kehilangan suami dalam nahas helikopter terhempas di Kampung Atong, Jerangsang, Kuala Lipis, Pahang pada 3 Mac 1997.



"Sebagai isteri juruterbang, mental kami sudah dididik bahawa setiap kali suami keluar dari rumah untuk bekerja, kami berdepan risiko kehilangan suami tercinta kerana ada kemungkinan dia tidak kembali.

"Saya sudah berjanji dengan suami, jika menerima perkhabaran tidak baik mengenainya, saya tidak akan sekali-kali menitiskan air mata. Itu memang janji kami berdua," katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Everly, di sini hari ini.

Kehadiran Nor Haslina di hotel yang menempatkan keluarga penumpang MH370 itu adalah untuk berkongsi pengalaman dan semangatnya bagaimana dia berdepan situasi berkenaan.

Foto
NOR Haslina

Nahas terbabit turut mengorbankan Pengerusi Kumpulan DRB Hicom pada ketika itu, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad dan isteri, Puan Sri Rohana Othman.


Tan Sri Yahya Ahmad

Menceritakan detik cemas itu, Nor Haslina berkata, dia pada mulanya tidak menitiskan air mata apabila mendapat berita suaminya maut dalam nahas tersebut.



"Bagaimanapun, saya tidak dapat menahan air mata apabila jenazah suami tiba di depan mata.



"Saat yang memang tidak dapat saya lupakan, tetapi saya harus kuat demi anak-anak yang pada ketika itu berusia lima dan tujuh tahun," katanya.

Bila juruterbang keluar bertugas, tidak semestinya akan pulang

Menurutnya, dia terpaksa berpindah rumah untuk melupakan tragedi tersebut dan mengelakkan anak-anak daripada terus mengingati bapa mereka.

"Saya amat memahami apa yang dirasakan ahli keluarga anak kapal dan penumpang pesawat MH370. Dugaan mereka lebih berat kerana sehingga kini tidak tahu situasi sebenar mereka.

"Redakan segalanya, jika benar mereka sudah pergi. Apa yang penting, doakan yang terbaik untuk mereka dan kita yang hidup ini terus diberi kekuatan untuk menghadapi hari mendatang serta terima qada dan qadar," katanya.

Sementara itu, Kamarul Mizan Ipit, 50, yang suaminya Mejar (B), Azhari Ghazali terselamat dalam nahas helikopter di Laut China Selatan pada 1996, berkata sikap menuding jari tidak sepatutnya timbul ketika ini.

"Memang saat kehilangan itu satu perkara yang tidak dapat digambarkan perasaannya.

"Saya yang menghadapi kehilangan suami selama lima jam, pun rasa terseksa inikan pula yang sudah lebih 20 hari. Cuma jangan tuding cari menyalahkan sesiapa," katanya.

Beliau menasihatkan kepada semua yang terlibat agar meneruskan kehidupan dan hadapi hidup mendatang dengan penuh tabah.

"Kita semua akan pergi, cuma masa dan ketikanya saja berbeza.
"Jika mereka benar-benar sudah pergi, itu hakikatnya yang perlu kita terima. Sudah sampai masanya," katanya.







Saturday, 29 March 2014

MH370: Beberapa objek yang ditemukan bukan serpihan pesawat

SYDNEY 30 Mac - Beberapa objek yang ditemukan oleh kapal di Lautan Hindi, disahkan bukan serpihan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, lapor Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) hari ini.

AMSA dalam kenyataannya berkata, objek terbabit yang diangkat oleh kapal China dan Australia, dikenal pasti sebagai peralatan untuk menangkap ikan atau sampah.

Bagaimanapun, AMSA tidak menyatakan jumlah atau lokasi tepat objek berkenaan ditemukan. - DPA

Laungan Allahu Akbar sambut perjanjian



SULTAN KUDARAT: Laungan gembira “Allahu Akbar” bergema di seluruh ibu pejabat terbesar kumpulan pemberontak Islam di Filipina, ketika perjanjian menamatkan empat dekad pertumpahan darah ditandatangani. 

Begitupun masih wujud kebimbangan bahawa peperangan belum benar-benar reda.




Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mengakhiri pemberontakan kelmarin apabila pemimpinnya menandatangani perjanjian dengan kerajaan di Manila yang akan mewujudkan tanah air autonomi Islam baru di selatan Filipina. 

Pemimpin MILF Murad Ebrahim berkata, ia umpama “pertabalan” kepada perjuangan organisasi dan tenteranya di kem utama yang terletak 900 kilometer ke selatan yang turut menyuarakan kegembiraan yang sama.



Beratus-ratus pemberontak, lengkap seragam penyamaran, mengangkat senapang ke langit sambil melaungkan “Allahu Akbar”, atau “Allah Maha Besar,” ketika menyaksikan detik bersejarah di skrin televisyen.

Iktibar daripada kehilangan MH370

MH370 sejak 8 Mac lalu mempunyai hikmah untuk dinilai umat Islam, baik yang terbabit secara langsung atau yang berkongsi kesedihan menimpa keluarga penumpang penerbangan itu. 

Antara hikmahnya ialah kesatuan ummah yang tidak putus memberi sokongan dari segi tenaga, pemikiran sdan doa supaya musibah yang melanda negara serta masyarakat dunia itu dapat dirungkaikan demi kemaslahatan semua.


Semangat kesatuan dibuktikan umat Islam yang istiqamah berdoa dan menunaikan solat hajat memohon bantuan Allah SWT bagi memberi petunjuk serta memudahkan usaha pencarian pesawat MH370. 

Ma’qil Yasar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Bagi saya, kebaikan menunaikan semua suruhan Allah dalam suasana huru-hara, sama seperti kebaikan berhijrah.” (Riwayat Muslim) 

Menangani situasi yang berlaku, tidak dinafikan ada antara kita melakukan penghijrahan. Mungkin sebelum ini kita kurang peka terhadap keadaan di sekeliling dan musibah yang melanda menjadikan kita mula mengambil sikap berjaga-jaga. 

Ada yang sebelum ini tidak mengenali jiran, tetapi disebabkan ujian daripada Allah SWT ini, kehadiran jiran memberi sokongan dan ucapan menenangkan menjadi permulaan kepada jambatan silaturahim sesama Islam. 

Mungkin juga sebelum ini kita lupa dengan nikmat dan rahmat Allah SWT, kejadian yang berlaku menyentak sanubari supaya sentiasa berpaling kepada kekuasaan-Nya kerana hanya kepada-Nya tempat kita menyembah serta memohon pertolongan. 


Sebaiknya, biarlah kenangan manis dan ingatan kita tertumpu kepada perkara yang baik-baik saja kerana bersangka baik itu dianjurkan Islam. Begitu juga dengan ujian Allah SWT timpakan kepada kita, hendaklah diterima dengan sangkaan yang baik. 

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Ada lima golongan yang dikategorikan mati syahid. Orang yang mati disebabkan sakit taun. Orang yang mati disebabkan sakit perut. Orang yang mati kerana lemas dalam air. Orang yang mati dihempap sesuatu dan orang yang mati terkorban di medan perang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan. Bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.” (Surah al-Baqarah, ayat 152)

Friday, 28 March 2014

Jauhi fanatik mazhab

FANATIK mazhab lahir di zaman kejumudan fiqh apabila gerakan intelektual dalam kalangan umat Islam semakin lesu. Ia semakin menular dalam kalangan umat Islam sehinggalah ke hari ini. Keterikatan kepada satu mazhab yang lahir daripada pandangan yang mewajibkan seseorang itu mengikut satu mazhab sahaja adalah antara punca berlakunya fanatik mazhab.

Sebahagian besar fuqaha yang lahir selepas zaman imam mujtahid iaitu sekitar awal kurun keempat hijrah, mewajibkan taklid kepada umat Islam, kecuali mereka yang sudah sampai kepada tingkatan ijtihad.

Sehingga ada pandangan yang mengatakan bahawa wajib bertaklid kepada salah seorang imam yang empat sahaja; iaitu sama ada Abu Hanifah, al-Syafie, Malik atau Ahmad. Dan diharamkan daripada bertaklid, selain daripada mereka walaupun bertaklid kepada sahabat atau ulama tabi’in (al-Ashqar, al-Madkhal ila dirasah al-madaris al-madhahib al-fiqhiyyah, 1998, hlm. 175).

Kesan daripada hukum wajib bertaklid ini bukan hanya sekadar menuntut seseorang itu mengikut satu aliran mazhab, tetapi lebih daripada itu. Fanatik kepada sesuatu mazhab turut menyebabkan pertembungan antara pengikut mazhab, sehingga ada yang menyesatkan pengikut mazhab yang tidak sealiran dengannya.

Inilah antara bencana yang melanda umat Islam kesan daripada kedangkalan ilmu dan ilmu yang dimiliki itu telah menjadi bala tentera nafsunya serta tidak faham terhadap tabiat nas dalam syariat Islam itu sendiri.


Perbezaan pendapat

Persoalan fanatik dalam bermazhab ini berkait rapat dengan isu perbezaan pendapat. Berbezaan pendapat dalam masalah fiqh adalah satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan. Ia penting, kerana dapat menyelesaikan pelbagai masalah baharu berkaitan fiqh yang wujud di setiap tempat dan masa. Ini membuktikan peranan syariat Islam sebagai penyelesai semua masalah manusia pada setiap tempat dan masa.

Sebaliknya, jika dikatakan perbezaan pendapat sepatutnya tidak berlaku kerana sumber syariat hanyalah al-Quran dan al-sunnah dan kedua-duanya adalah wahyu yang tiada perbezaan padanya, maka ia secara tidak langsung mengheret syariat Islam ke lembah kejumudan. Ia secara tidak langsung, menggambarkan seolah-olah syariat itu tidak lagi sesuai untuk menyelesaikan masalah pada setiap masa dan tempat (Abu Yahya, al-Ikhtilaf lada ulama al-madhahib, 2000, hlm. 185)

Fanatik bermaksud berpegang kepada sesuatu pandangan atau aliran secara kaku dan sentiasa memenangkan pendapatnya dalam setiap masalah tanpa melihat kepada persoalan benar atau salah. Fanatik boleh berlaku terhadap sesuatu aliran (mazhab), personaliti, pendapat atau metodologi. Ia adalah dilarang oleh syarak jika ia tidak lahir daripada asas kehendak mencari kebenaran. (Sano, al-Ijtihad fi fahm al-nas: ma’alim wa dawabit, 2000:138)

Sebenarnya persoalan ini bukanlah ditujukan kepada amalan bermazhab itu sendiri. Ini kerana jika diperhalusi, orang awam yang tidak tahu selok-belok nas dan tidak tahu metodologi ijtihad perlu mengikut hukum yang diistinbatkan oleh para mujtahid. Namun, ia tidak sampai kepada had mewajibkan seseorang itu hanya berpegang kepada satu mazhab dan tidak boleh langsung menilai sesuatu pandangan di luar mazhabnya.
Memang tidak dinafikan di sesetengah tempat, amalan bermazhab adalah antara punca perpecahan dalam kalangan umat Islam. Namun perlu difahami, bahawa perpecahan yang berlaku bukanlah kerana kewujudan mazhab itu sendiri, tetapi kerana kejahilan mereka terhadap erti bermazhab (al-Khin, Athar al-ikhtilaf fi al-qawa’id al-usuliyyah fi ikhtilaf al-fuqaha’, 1982, hlm. 8)

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah fiqh yang diperselisihkan oleh para ulama terdahulu yang boleh disatukan dan hanya satu hukum sahaja yang perlu diguna pakai oleh umat.

Ini boleh berlaku jika sesuatu hukum yang diistinbatkan oleh sesetengah ulama itu, berdasarkan kepada qias yang fasid, takwil yang tidak berasas atau ulama itu tidak merujuk kepada hadis-hadis sahih berkaitan masalah tersebut.

Masalah seumpama ini perlu dikembalikan kepada istinbat yang benar. Jika ini tidak berlaku, maka kita akan terperangkap dalam fanatik mazhab yang dilarang oleh syarak kerana mempertahankan pendapat yang kabur dengan mengenepikan nas yang jelas. Amalan bermazhab seperti ini adalah dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW (al-Khin, Athar al-ikhtilaf fi al-qawa’id al-usuliyyah fi ikhtilaf al-fuqaha’, 1982, hlm. 8).

Metodologi perbezaan pendapat mengajar kita erti keterbukaan dalam menerima sesuatu pendapat. Memang tidak dapat dinafikan seseorang yang tidak mampu berijtihad dan tidak mampu memahami istinbat hukum daripada nas-nas syarak, maka dia diizinkan untuk mengikut aliran mazhab tertentu.

Begitu pun, dia perlu memahami bahawa bukan mazhabnya sahaja yang betul, manakala yang lain salah dan sesat.

Di samping itu, seseorang Muslim juga tidak boleh sewenang-wenangnya bertukar-tukar mazhab yang dirasakan serasi dengan tuntutan nafsunya. Dia boleh untuk menilai sesuatu pandangan di luar mazhabnya setelah dia mengetahui dan memahami metodologi istinbat dan istidlal yang digunakan oleh ulama tersebut.

Imam al-Zahabi berkata, “Janganlah anda beriktikad bahawa mazhab yang anda ikuti adalah mazhab yang paling utama dan paling dicintai oleh Allah SWT.

Sesungguhnya tidak ada dalil bagi anda, atas iktikad sedemikian, sebagaimana juga tidak ada dalil bagi orang yang tidak sependapat dengan anda. Bila mereka benar dalam setiap masalah yang mereka ijtihadkan, mereka mendapat dua pahala dan bila ijtihad mereka salah, mereka tetap mendapat satu pahala." (al-Buti, Bahaya bebas madzhab dalam keagungan syariat Islam, 2001, hlm. 97).





Credit:DR.ARIEFF SALLEH ROSMAN/(CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia)





Satelit Thailand kesan 300 objek

Flight MH370 Possible Debris Thai Satellite 1
IMEJ satelit Thailand yang dikeluarkan oleh Agensi Pembangunan Teknologi Angkasa dan Geo-Informatik mengesan kira-kira 300 objek terapung di selatan Lautan Hindi semalam dalam operasi pencarian MH370.

BANGKOK 27 Mac - Satelit Thailand hari ini mengesan kira-kira 300 objek terapung di selatan Lautan Hindi dalam operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pengarah Eksekutif Agensi Pembangunan Teknologi Angkasa dan Geo-Informatik, Anond Snidvongs berkata, objek tersebut yang dianggarkan berukuran antara dua hingga 18 meter bertaburan di kawasan kira-kira 2,700 kilometer (km) di barat daya Perth.

"Bagaimanapun, kami tidak berani mengesahkan objek yang dikesan itu merupakan serpihan pesawat MH370. Akan tetapi, pihak kami telah menyampaikan maklumat terbabit kepada kerajaan Malaysia," katanya.

Menurut Snidvongs, semua imej berkenaan telah diambil oleh satelit pemerhatian negaranya pada Isnin lalu, namun memerlukan beberapa hari untuk diproses.

Beliau berkata, objek tersebut dikesan kira-kira 200 km dari kawasan perairan yang mempunyai objek dipercayai MH370 hasil cerapan satelit Perancis, sebelum ini.

Thailand dikritik hebat berikutan kelewatan membuat pengumuman iaitu seminggu selepas insiden kehilangan kapal terbang itu bahawa radarnya telah mengenal pasti sebuah pesawat tidak dikenali beberapa minit sebelum MH370 menghantar maklumat lokasi terakhir.

Menurut Tentera Udara Thailand, pihaknya tidak melaporkan penemuan awal itu kerana menganggapnya bukan ancaman.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lalu mengumumkan pesawat berkenaan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi berhampiran barat Perth, Australia.

Pesawat MH370 yang membawa sebanyak 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China.

Operasi mencari bangkai pesawat MH370 dihentikan hari ini disebabkan keadaan cuaca buruk. - AFP





Credit: SHEILA RANI CHANDRASEKARAN

Ukraine dakwa 100,000 askar Russia berkumpul di sempadan



WASHINGTON 28 Mac - Hampir 100,000 angkatan tentera Rusia telah berkumpul di sempadan Ukraine, kata seorang pegawai tertinggi Ukraine semalam.

Namun beberapa pegawai tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa jumlah anggota tentera itu sebenarnya jauh lebih rendah.

“Hampir 100,000 tentera ditempatkan di sempadan Ukraine dan dalam perjalanan ke Kharkiv dan Donetsk," kata Pengerusi Majlis Keselamatan Nasional Ukraine, Andriy Parubiy melalui sebuah penyiaran laman web dari Kiev. - AFP

Titipan kesyukuran

DALAM kehidupan seharian, Allah SWT sering menduga kita dengan pelbagai ujian. Ujian paling getir ialah apabila kehilangan orang yang tersayang atau apabila sesuatu yang kita idamkan tidak tercapai. Ada pula yang diduga dengan kehilangan barang kesayangan atau tidak mendapat barang yang diidamkan.

Pada Khamis lepas, pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh keputusan masing-masing. Ada yang menangis kegembiraan. Ada yang menangis kesedihan. Ada yang menjerit, melompat-lompat dan sebagainya. 

Berapa ramai remaja kita yang memeluk ibu bapa mereka yang sentiasa berdoa dan bergolok-bergadai demi anak-anak? Berapa ramai juga yang mencium tangan guru seraya mengucapkan terima kasih dan yang paling penting, berapa ramai yang mengambil wuduk, solat sunat dua rakaat sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Kalau berjaya, anak kitalah yang paling pandai di dunia tetapi andai gagal, pelbagai alasan diberikan. Soalan tak betul, cikgu tidak mengajar dengan betul dan sebagainya. Keghairahan untuk melihat anak berjaya, sehingga ada ibu bapa terlupa bahawa mereka juga mempunyai anak lain yang kurang berjaya.

Menyedihkan lagi, jika sepasang anak kembar yang mendapat keputusan peperiksaan. Ada ibu bapa terlalu gembira dengan berita salah seorang anak kembarnya mendapat 10A, sedangkan abang kembarnya hanya mendapat 6A. Yang dapat cemerlang itu ditatang, disanjung sedang kembarnya tidak disebut pun dipedulikan.


Beruntung

Hakikatnya, anak itu tidak bodoh, cuma dia tidak bernasib baik. Kesian emosinya. Saya beruntung kerana ibu bapa saya tidak pernah membeza-bezakan atau membanding-bandingkan kami adik-beradik. Kami diberi semangat untuk belajar dan apapun keputusan yang kami bawa pulang, ayah akan menadah tangan membaca doa kesyukuran.

Ayah sentiasa berdoa untuk kesejahteraan kami dan sentiasa bercerita kepada orang tentang kami kerana dia berbangga dengan pencapaian anak-anaknya. Begitu juga dengan pencapaian anak cucu dan yang sering beliau sebutkan ialah kebahagiaan dunia dan akhirat. Tegasnya lagi, tiada bekalan yang terbaik bagi ibu bapa selain daripada anak yang soleh.

Memanglah kita bangga dengan kejayaan anak-anak, tetapi jangan lupa bahawa pendidikan agama iaitu akidah anak adalah pendidikan yang lebih penting daripada A yang berbaris.

Apalah gunanya mempunyai anak yang cerdik pandai jika apabila dia berjaya, dia tidak ada masa melawat kita, kononnya terlalu sibuk dengan kehidupan? Apalah guna kita mempunyai anak yang berjaya di dunia sedangkan dia tidak memiliki ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.
Kenapa apabila kita gagal mendapat sesuatu yang kita inginkan, baru mengingati Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Semasa kita hendak menduduki peperiksaan, kita taat beramal kepada Allah kerana kita mahu Allah memakbulkan doa kita untuk memperoleh 10A. Namun, apabila ia sudah dimiliki, kita terlupa bersyukur dan dengan angkuhnya kita berkata kejayaan itu adalah hasil usaha sendiri dan sokongan ibu bapa, sedangan Allah SWT lah yang menentukan segalanya.

Sebagai ibu bapa kita juga kurang bersyukur di atas rahmat dan berkat Allah kepada kita. Semasa kita berkahwin, kita berdoa kepada Allah agar dipanjangkan jodoh dan berkekalkan hingga ke akhir hayat. Namun kebiasaan dalam majlis-majlis perkahwinan, oleh kerana terlalu sibuk, sehingga ada yang tertinggal solat.


Syukur

Selepas berkahwin, kita juga lupa mengucap syukur kepada Allah SWT apabila kita hamil dan akhirnya melahirkan anak. Hari ini ibu bapa mengumpul duit untuk mengadakan majlis cukur rambut dan akikah menunjukkan kesyukuran, sedangkan jika kita mampu, majlis itu sunat diadakan dalam tempoh tujuh hari anak dilahirkan. Paling minimum buat doa kesyukuran yang kecil atau sedekah makanan ke rumah anak yatim atau apa sahaja yang sesuai dengan syariat Islam.

Namun, apabila anak kesayangan kita sakit, kita terus panik dan tidak keharuan. Baru kita teringat bahawa sihat dan sakit itu datangnya daripada Allah SWT. Tiada ibu dan bapa yang sanggup melihat anak mereka sakit atau disakiti. Lebih-lebih lagi, si ibu rela berbuat apa sahaja demi anak-anaknya. Ada ibu yang sanggup mengharungi pelbagai kesusahan demi anak-anaknya. Tetapi sanggupkah anak-anak melalui kesusahan demi ibu mereka? Jika kita kurang bersyukur maka apabila kita diduga Allah dengan dugaan yang berat, ada masanya kita kehilangan punca.

Setiap kali Allah menduga kita, kita bersolat hajat, solat tahajud dan berdoa semoga Allah memberi kita peluang kedua. Namun ramai antara kita gagal menghadapi dugaan. Ada yang hilang pertimbangan. Ada yang menjadi gila. Tidak kurang pula yang berputus harap dan mengambil jalan pendek seperti membunuh diri.

Membunuh diri adalah dosa besar dan orang yang membunuh diri adalah orang yang rugi. Membunuh diri kerana kecewa dan tidak tahan dugaan Allah adalah sesuatu perbuatan yang berdosa. Orang yang membunuh diri adalah orang yang tidak bersyukur dan tidak sedar bahawa segala apa yang diperoleh adalah daripada Allah SWT.

Sunday, 23 March 2014

Solat itu wajib



FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Taha: 132)

Al-Maraghi berkata: “Wahai Rasul! Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan hendaklah kamu juga menjaga solatmu. Sesungguhnya nasihat dengan melakukan perbuatan, lebih berkesan jika dibandingkan dengan perkataan.

Solat merupakan suatu kewajipan dan hendaklah dilaksanakan. Kami tidak membebani dengan harta, tetapi Kami membebanimu dengan sesuatu pekerjaan yang perlu dilakukan dan Kami akan memberikan ganjaran pahala kepadamu. Kami yang memberikan harta, Kami tidak meminta daripadamu dan ganjaran baik diberi kepada orang yang takut melakukan dosa dan bertakwa kepada-Ku. Manakala orang yang tidak takut kepada seksaan-Ku dan tidak mengharapkan pahala tidak akan mendapat ganjaran baik daripada-Ku."

Peri pentingnya solat jelas terbukti melalui kenyataan tokoh dan ulama Islam. Sebagai contoh penulis sengaja menukilkan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji berkenaan hikmah dan rahsia solat.
Solat mempunyai beberapa hikmah dan rahsia yang dapat dirumuskan seperti berikut:

Pertama: Solat menyedarkan manusia akan hakikat dirinya yang sebenar sebagai hamba kepunyaan Allah SWT. Dia sentiasa menyedarinya setiap kali berhadapan dengan masalah hidup dan perhubungan dengan orang lain. Solat yang dilakukan akan mengingatkannya semula bahawa dia adalah hamba-Nya.

Kedua: Solat memantapkan keyakinan manusia bahawa tidak ada pembantu dan pengurnia nikmat sebenar-benarnya selain Allah SWT, meskipun kelihatan di dunia banyak pihak dan sebab yang pada zahirnya membantu dan memberi nikmat. Namun hakikatnya, hanya Allah yang memastikan semua itu untuk kemudahan manusia.
Setiap kali manusia lupa dan hanyut kerana terpesona dengan keduniaan yang zahir, solat akan mengingatkannya bahawa penyebab yang sebenar hanyalah Allah. Dialah pembantu, pengurnia nikmat, yang menjadikan kesusahan, pemberi manfaat, yang menghidupkan dan mematikan.

Ketiga: Dengan bersolat manusia dapat mengambil kesempatan menjadikannya sebagai waktu untuk bertaubat daripada dosa-dosa yang dilakukannya. Ini kerana manusia memang sentiasa terdedah kepada banyak maksiat pada setiap waktu, sama ada disedarinya atau tidak.
Justeru, solat yang dilakukan berulang-ulang dari semasa ke semasa akan membersihkannya daripada maksiat dan kesalahan-kesalahan tersebut. Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara tersebut di dalam hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya, Nabi SAW bersabda: Solat lima waktu umpama sungai yang airnya banyak mengalir di hadapan pintu rumah seseorang dalam kalangan kamu yang akan mandi di dalamnya lima kali setiap hari. Kata al-Hasan: “Dan apakah lagi kekotorannya yang tinggal." (riwayat Muslim)

Maksud kekotoran di sini ialah kekotoran maknawi, iaitu dosa-dosa. Maksud ini dijelaskan dalam riwayat Abu Hurairah r.a: Demikianlah umpamanya solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa. (riwayat Muslim)

Keempat: Solat merupakan santapan bagi akidah keimanan kepada Allah yang berterusan dalam hati manusia. Segala pesona dunia dan bisikan syaitan sememangnya menjadikan manusia lupa kepada akidah, walaupun telah lama terterap di dalam hatinya.

Kealpaan yang berterusan kerana menurutkan gelora nafsu dan rakan-rakan, akhirnya akan berubah menjadi ingkar. Ia umpama pokok yang kehabisan air, lambat laun akan layu dan mati kering dan menjadi kayu api. Namun, solat yang dilakukan dengan tekun oleh seseorang Muslim akan menjadi santapan iman dan tidak mampu dilemahkan atau dimusnahkan oleh segala pancaroba dunia.



Credit:  Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri

Survival keharmonian rumah tangga

ALLAH SWT menjadikan lelaki dan wanita saling memerlukan dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Ibarat antara siang dan malam. Justeru, apabila kita memerhatikan ketelitian al-Quran, ia menggabungkan perkataan malam dan siang serta perkataan lelaki dan wanita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), dan siang apabila ia lahir terang-benderang. Demi yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina). Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. (al-Lail: 1-4).

Malam dan siang mempunyai peranan tersendiri seperti malam untuk berehat dan bertenang, manakala siang untuk bekerja dan berusaha mencari kehidupan.

Antara tanda yang menunjukkan adanya hari kebangkitan dan dikumpulkan seluruh manusia di hadapan Allah SWT ialah dengan menjadikan bidadari daripada isteri sendiri untuk menikmati kebahagiaan-Nya. Secara tidak langsung, Dia menanamkan rasa cinta dan kasih sayang bagi membentuk kehidupan keluarga dengan sistem yang baik.

Dalam kehidupan suami isteri, jika ada dua perasaan yang wujud pasti akan mengikat kebahagiaan hidup hingga ke akhirnya. Perasaan itu ialah mawaddah dan rahmah.

Ibnu Abbas r.a memberi pengertian yang indah tentang dua perasaan. Katanya, mawaddah ialah cinta seorang lelaki kepada isterinya dan rahmah ialah perasaan belas kasihan jika pasangannya ditimpa sesuatu musibah.

Jika diteliti antara sebab krisis rumah tangga ialah kerana ketidakfahaman makna daripada falsafah perkahwinan. Justeru, krisis daripada ketidakfahaman ini menyebabkan berlakunya kehancuran rumah tangga selang beberapa tahun perkahwinan dan jika masih dalam ikatan perkahwinan pun, sudah tentu tetapi tidak ada persefahaman dan kerukunan yang sepatutnya dikecapi oleh orang yang mendirikan rumah tangga.

Al-Quran memberi teori Ilahi bahawa mawaddah warahmah ini akan menjadi benteng yang kukuh bagi memastikan kelangsungan dan kkeharmonian rumah tangga.

Firman Allah SWT: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (ar-Rum: 21)

Syah Waliyullah Al Dahlawi seorang mujaddid dan ulama besar dari India menyebut tiga pengertian tentang makna bergaul dengan baik iaitu menyediakan makanan dan pakaian serta berinteraksi dengan baik.

Muhammad Abduh menjelaskan antara bentuk interaksi yang baik ialah berbicara dengan baik, mendengar segala keluhan dan masalah isteri, bergurau, memahami perasaan dan mengungkapkan kata-kata romantik.

Perasaan kasih dan belas kasihan adalah sesuatu yang harus dipupuk dari semasa ke semasa. Cabaran hidup rumah tangga memanglah kuat dan hebat. Mungkin pasangan yang di awal perkahwinannya seorang yang kuat kini telah menjadi lemah. Asalnya kaya kini menjadi miskin, dahulunya cantik kini berubah berdasarkan peningkatan usia. Mungkin perasaan cinta itu semakin berkurangan tetapi perasaan belas kasihan itu bertambah.




Thursday, 20 March 2014

MH370: Objek Dikesan Satelit Berukuran 24 Meter





CANBERRA: Objek yang dikesan oleh imej satelit di Lautan Hindi di lokasi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370,  dipercayai sepanjang 24 meter, kata pihak berkuasa Australia pada Khamis.
Dalam pada itu, objek dalam saiz yang lebih kecil turut berjaya dikesan.
"Objek itu tidak kelihatan dengan jelas. Pada saya, objek itu mempunyai saiz munasabah dan mungkin terapung di atas permukaan air.
 Objek berukuran 24 meter yang ditemui pihak berkuasa Australia pagi Khamis.

"Saiz terbesar objek itu adalah sepanjang 24 meter. Namun objek yang lagi satu adalah lebih kecil sedikit," katanya pegawai Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), John Young.


Credit: TheStar

Bencana hasil kealpaan manusia

Walaupun sukar untuk bersyukur, tiada manusia yang akan menolak nikmat anugerah Allah SWT. Nikmat kehidupan, keselesaan dan keselamatan serta seluruh pancaindera yang berfungsi adalah anugerah tidak ternilai serta terbayar dengan wang ringgit. 

Jika Dia belum berkehendakkan kita mengecapi atau tidak mahu kita merasainya lagi, pasti ada alasan yang tidak mampu kita fahami, melainkan harus juga bersyukur seadanya kerana perancangan-Nya adalah yang terbaik, hikmahnya disedari selepas segala-galanya Dia suratkan.


Lupa untuk bersyukur

Waktu itulah kita mengerti betapa Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang dipilih merasai dunia, diberi kenikmatan sebegitu rupa hingga kadangkala ada yang lalai dan tamak haloba, lupa untuk menadah syukur, malah mencabar pula kekuasaan-Nya. 

Sesungguhnya segala bencana yang diturunkan di bumi adalah disebabkan perbuatan manusia sendiri yang tidak tahu bersyukur apabila dibuai kesenangan. Maksiat, pembohongan, kezaliman dan fitnah adalah antara malapetaka yang berlaku ke atas umat Muhammad pada zaman ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Surah Ar-Ruum, ayat 41)

Sesungguhnya nikmat Allah SWT tidak terhitung, tetapi kerana kasih sayang-Nya kepada setiap hamba, selagi itulah kita akan terus mengecapi nikmat yang ada pada hari ini. 
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18) 

Jika ditakdirkan suatu hari nanti tiada lagi orang yang bersyukur, pastilah akan ada balasannya terhadap seluruh umat manusia kerana al-Quran telah memberi peringatan antaranya kisah Kabilah Saba’, seperti dirakamkan dalam al-Quran.

Al-Quran turut menjelaskan bagaimana kisah orang yang kufur terhadap nikmat diberikan Allah SWT dengan memberikan balasan yang tidak tertanggung oleh mereka. Bencana diturunkan Allah SWT adalah peringatan terhadap sikap manusia yang tidak taat perintah serta lupa akan kebesaran-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7).


Credit: Nik Salida Suhaila

Tuesday, 18 March 2014

Pakar IT India temui imej satelit kemungkinan MH370

comments
MH370
                                           Imej satelit yang didakwa pesawat Malaysia Airlines yang hilang

NEW DELHI: Seorang penganalisis IT India menemui imej satelit menunjukkan sebuah pesawat besar terbang rendah di Kepulauan Andaman pada 8 Mac, pada hari pesawat Malaysia Airlines hilang semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Beijing, menurut akhbar The Hindu.

Anoop Madhav Yeggina, 29, percaya imej itu ialah pesawat Boeing 777-200ER MAS yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370, lapor akhbar itu.

Pakar IT itu ialah antara beribu-ribu orang dari seluruh dunia yang melibatkan diri dalam projek 'crowdsourcing' iaitu khidmat luar kumpulan yang berusaha mengesan kapal terbang berkenaan yang telah melencong dari laluannya ke arah Lautan Hindi selepas menutup semua hubungan komunikasi ketika terbang merentasi Laut China Selatan.

Khidmat luar kumpulan ini merujuk kepada usaha mendapatkan maklumat atau input bagi sesuatu tugas atau projek dengan menyenaraikan perkhidmatan sejumlah individu, sama ada dibayar atau tidak, biasanya melalui Internet.

The Hindu melaporkan bahawa Anoop telah meneliti sejumlah imej dari DigitalGlobe Satellite QB02 sejak beberapa hari lalu sehingga beliau terjumpa imej yang benar-benar membuatkannya terkejut.

Beliau memuat naik 'penemuannya' bersama penulisan yang menjelaskan perkara itu kepada laman web CNN pada 14 Mac dan sejak itu ia menerima lebih 16,000 pengunjung yang melihatnya dan komen daripada mereka.

Saya yakin imej itu ialah pesawat yang hilang berkenaan atas pelbagai sebab. Satu daripada penunjuknya ialah imej itu dilihat hanya berada di atas sedikit daripada kawasan hutan dan begitu hampir dengan landasan kapal terbang Shibpur Kepulauan Andaman.

"Landasan kapal terbang itu digunakan secara eksklusif oleh angkatan tentera dan tidak memberikan kebenaran kepada pesawat awam berada di kawasan itu.

"Jika diamati secara teliti terhadap imej itu, akan menunjukkan ia terbang begitu rendah sehinggakan awan berada di atasnya, yang menunjukkan ia dilakukan untuk mengelak daripada dikesan radar.

"Yang paling penting ialah ukuran skala standard dan warna pesawat yang hilang itu berpadanan dengan imej kapal terbanag berkenaan," beliau dipetik sebagai berkata demikian dalam laporan The Hindu itu.

Anoop mendoakan keselamatan penumpang dan merayu kepada mereka yang pakar dalam IT sesebuah pesawat supaya menyiasat lebih lanjut imej itu bagi mengesan kedudukan pesawat berkenaan, menurut laporan itu.

Pesawat MAS MH370 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama  239 penumpang dan anak kapal hilang, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada 8 Mac. Penyiasat memberitahu bahawa ia sengaja dilencongkan daripada laluanya.

26 negara kini membantu untuk mengesan pesawat berkenaan selepas satelit dan  data radar tentera meramalkan ia mungkin terbang melalui dua koridor yang besar.

Koridor utara terbentang dari utara Thailand ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan manakala koridor selatan bermula dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Data satelit mencadangkan bahawa 'ping' terakhir, istilah yang digunakan untuk menjelaskan penghantaran data dalam bentuk isyarat pendek kepada satelit, diterima daripada pesawat berkenaan di sekitar Lautan Hindi.


Credit: Bernama

Persis Nabi Muhammad SAW

ABDULLAH bin Mas’ud termasuk seorang sahabat yang mula-mula sekali masuk Islam. Sejak di Mekah, beliau yang dikenali sebagai Ibnu Mas'ud sangat tekun berkhidmat kepada Rasulullah SAW. Ke mana Nabi Muhammad SAW pergi, Ibnu Mas’ud selalu bersama untuk melayani keperluan baginda SAW.

Beliau menyiapkan selipar Rasulullah SAW apabila hendak dipakai dan menyimpan selipar itu apabila baginda tidak memakainya.

Dek Kerana kerapatannya dengan Rasulullah SAW, Ibnu Mas’ud diiktiraf sebagai tokoh sahabat yang sangat faham tentang Islam. Huzaifah pernah ditanya: "Siapakah sahabat Nabi yang paling mirip akhlak dan sifatnya dengan Rasulullah?" Beliau menjawab: "Ibnu Mas’ud."

Suatu hari Ibnu Mas'ud menziarahi kematian seorang kenalannya. Dalam majlis kesedihan itu, beliau melihat seseorang sedang ketawa.
Ibnu Mas’ ud menjadi sangat marah dan berkata: "Engkau tertawa padahal tengah menghadiri jenazah? Aku tidak akan berbicara denganmu selama-lamanya!" (kitab al-Zuhd Imam Ahmad)


Tunjukkan simpati

Hidup ini tidak selamanya indah. Terkadang kita bergembira, terkadang kita bersedih. Ada saatnya kita tertawa, ada saatnya kita menangis. Dinamika kehidupan ini berlaku pada diri kita, juga berlaku pada orang lain.

Adab seorang Muslim apabila tertimpa musibah ialah bersabar. Adabnya apabila melihat orang lain tertimpa musibah ialah bersimpati dan mendoakan.

Pada saat-saat susah, perasaan orang yang ditimpa musibah sangat sensitif. Justeru, fahami kesedihan hatinya dan pilihlah kata-kata yang terbaik untuk diucapkan.

Bayangkan jika musibah itu menimpa diri kita, agak-agaknya ucapan apa yang ingin kita dengarkan pada saat itu?

Bergurau tentu tidak patut dilakukan pada saat dan situasi seperti itu. Apa lagi mempersendakan penderitaan tersebut dengan pelbagai anekdot yang mengundang gelak ketawa.

Sikap itu menjadi cerminan hati yang keras membatu, hati yang tidak sensitif dengan penderitaan orang lain.

Justeru, Ibnu Mas’ ud sangat marah kepada pelaku perbuatan itu. Beliau bersumpah tidak akan berbicara lagi dengan orang yang melakukan perbuatan tersebut sebagai pelajaran baginya untuk tidak mengulangi sikap yang buruk itu.


Kepada bukan Muslim

Sikap simpati kepada pihak yang tengah bersedih bukan hanya perlu ditunjukkan kepada sesama Muslim. Bukan akhlak Muslim mempersendakan orang yang tengah ditimpa kesusahan, walaupun ia bukan Islam. Sebagai perwujudan akhlak mulia, kita sekurangnya wajib menunjukkan sikap bersimpati dengan kesusahan yang sedang menimpanya.

Apabila Sahl bin Hunaif dan Qais bin Saad berada di Qadisiyyah, mereka melihat sekumpulan orang tengah menanggung jenazah. Kedua-dua sahabat Nabi SAW ini bangkit berdiri.

Apabila diberitahu bahawa jenazah tersebut ialah jenazah Yahudi, keduanya berkata: "Sebuah jenazah pernah berlalu di hadapan Nabi SAW lalu baginda berdiri. Apabila diberitahu bahawa jenazah itu Yahudi, baginda bersabda: Bukankah ia nyawa manusia juga? (riwayat al-Bukhari)

Semoga kita mendapat kekuatan untuk mengamalkan adab yang sangat tinggi ini.







Sabar senjata berkesan hadapi ujian dunia

Mukmin perlu yakin setiap perkara berlaku ada hikmah
Sebagai hamba Allah SWT, kita tidak akan terlepas daripada kesusahan, dugaan, ujian, musibah dan kedukaan. Musibah boleh berlaku kepada diri sendiri, ahli keluarga, jiran tetangga, sahabat-handai mahupun masyarakat dan negara.


Bagi seorang Mukmin, mereka hendaklah sentiasa bersikap positif serta reda dengan qada dan qadar Allah SWT. Setiap apa yang ditakdirkan oleh Allah SWT dianggap terbaik kerana mengandungi hikmah yang mungkin tidak dapat dijangka akal fikiran manusia. 

Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba seorang di antara kamu dengan cubaan seperti mana seorang daripada kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka, sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” (Riwayat Thabrani) 

Sheikh Sharawi menyebut, manusia mesti mengetahui apa yang diambil oleh Allah itu kerana sesuatu hikmah dan apa yang dikekalkan juga adalah hikmah. Manusia tidak akan terpisah antara hikmah dan rahmat-Nya.



Senjata ampuh hadapi ujian

Justeru, kesabaran adalah senjata ampuh bagi menghadapi segala ujian dunia. Sifat sabar adalah sifat orang Mukmin yang hati dan jiwanya sentiasa berhubung dengan Allah SWT. Apabila sesuatu mendukacitakan berlaku lidahnya terus menyebut, sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali. 


Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang yang sesat.” (Surah al-Hijr, ayat 56) 

Orang Mukmin yang sabar dan yakin dengan janji Allah SWT mestilah mempunyai beberapa prinsip yang melenyapkan sifat kecewa serta putus asa dengan rahmat Allah SWT. Mereka mesti yakin kerana keyakinan kepada Allah sepenuhnya menjadikan mereka tenang menerima ketentuan-Nya.

Mereka yakin apa yang ditentukan itu adalah yang terbaik, sekalipun pada zahirnya seolah-olah tidak berpihak kepada mereka. Kejayaan dalam sesuatu ujian hanya boleh dicapai dengan bersabar serta mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT. 

Di samping itu, kita juga harus bertawakal kepada Allah SWT tatkala menghadapi ujian. Bertawakal bermakna berusaha dengan segala upaya untuk mengatasinya kemudian menyerahkannya kepada Allah SWT yang menentukan kesudahannya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sepenuhnya urusanku ini, kupasrahkan kepada Allah SWT kerana Dialah yang Maha Memperhatikan semua urusan hamba-Nya.” (Surah al-Mukmin, ayat 44)

Ternyata suasana yang sedang berlaku dalam negara kita adalah satu ujian daripada Allah SWT. Namun, hakikat yang pahit ini, masih ramai yang tidak sanggup untuk menelannya.



Hadapi dengan lapang dada
Jika kefahaman kita sudah mendalam mengenai konsep cubaan Allah SWT dan memiliki iman yang utuh, sudah tentu hal ini dapat dihadapi dengan lapang dada, fikiran waras dan emosi mereka akan terkawal. 

Peranan kesabaran seseorang sangat penting dalam menghadapi situasi buruk yang memang tidak disukai ini. Kita mestilah berfikiran terbuka dan sentiasa berbincang mencari jalan bagaimana berdepan keadaan ini seterusnya cara mengatasinya.

Jika masing-masing saling menuding jari, maka masalah tidak selesai, bahkan akan menambahkan lagi kekusutan yang ada. Akhirnya boleh menimbulkan persengketaan dan perpecahan dalam masyarakat yang tidak ada titik kesudahan.



Jauhi sikap sombong
Kita hendaklah menjauhi sikap sombong yang menganggap bahawa kitalah yang paling betul dalam membuat sesuatu keputusan tanpa melihat pandangan orang lain. Inilah kerugian digambarkan Allah SWT yang mana kita boleh terjebak ke lembah kekufuran kerana melanggar syariat Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang yang paling rugi amal perbuatannya? Merekalah orang yang sia-sia amalan usahanya di dunia ini sedangkan mereka menyangka merekalah yang sentiasa betul dan baik terhadap apa yang telah dilakukan. Merekalah orang yang kufur terhadap kebesaran Allah dan pertemuan dengan-Nya. Lalu gugurlah amalan mereka dan tiada bermakna apa-apa timbangan mereka pada hari kiamat.” (Surah al-Kahfi, 103-106) 

Terkadang Allah SWT menzahirkan sedikit daripada kekuasaan-Nya yang maha luas. Diuji manusia dengan kemarau, jerebu dan kehilangan pesawat. Negara jiran pula dihujani dengan banjir sedangkan keduanya adalah negara berjiran.

Teknologi ciptaan manusia sudah pasti menghadapi kelemahannya kerana ia adalah sifat bagi manusia. Namun segala-galanya akan menjadikan manusia faham tujuan ditimpakan sesuatu musibah dan ujian.

Marilah kita berpegang kepada prinsip di atas semoga hati kita sentiasa reda dan tidak keliru dengan segala dugaan serta cabaran dalam kehidupan ini. Ingatlah hidup kita hanya sementara dan di akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.

Apabila kita bersabar maka Allah SWT telah berjanji dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bersabarlah saja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah az-Zumar, ayat 10).



Credit: Zamanuddin Jusoh