Wednesday 26 October 2011

Mengembara Ke Sebuah Negara Yang Tidak Ada Dalam Peta Dunia

SUDAH lama rasanya penulis tidak merantau dan menjelajah ke sebuah negara lain. Terasa bosan dan tidak bermaya minda, sekiranya sekali sekala tidak menyusur, berjalan dan mencari pengalaman di negara orang.
Pada penulis, berkelana itu adalah suatu hobi yang amat penulis gemari. Berkelana memberikan peluang untuk seseorang individu itu mengalami dengan sendirinya akan keunikan sesebuah negara, mengenali budayanya, adat resamnya dan juga tatasusila serta sosio budaya masyarakat negara yang dikunjungi.
Penulis lebih gemarkan destinasi yang eksotik, luar dari lingkungan normaliti ataupun 'off the beaten track” dari apa yang menjadi kegemaran pelancong konvensional.
Kurdistan merupakan kawasan berlembah dan berbukit.
Dari itu, maka apabila majikan penulis memberikan peluang untuk berkelana ke Kurdistan baru-baru ini, maka peluang itu amatlah penulis hargai; kerana tentunya pengembaraan ke negeri baru ini bakal membawa pelbagai pengalaman dan juga kenangan baru.
Apabila penulis menceritakan kepada para sahabat dan rakan-rakan sepejabat yang diri ini akan ke sebuah negara bernama Kurdistan, kebanyakan mereka menggaru kepala. Mereka mempersoalkan kewujudan destinasi ini dan tidak kurang pula yang mengulangi jenaka yang di mahsyurkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee di dalam filem 3 Abdul, apabila Almarhum ayahanda mereka meninggalkan harta pusaka di luar negara termasuk negara-negara ‘stan’ - Turkistan, Kazakhstan, Pakistan, “GoHead GoStan” dan negara “Setan.”
WILAYAH AUTONOMI
Apapun, untuk pengetahuan para pembaca, di dalam peta dunia tidak wujud sebuah negara yang bernama Kurdistan, apatah lagi menjadi ahli tetap PBB dan membolehkan mereka di iktiraf sebagai sebuah negara berdaulat.
Antara jalan raya utama di Kurdistan.
Kurdistan sebenarnya adalah sebuah kawasan berautonomi penuh di utara Iraq. Ia kini mempunyai kerajaan wilayahnya yang tersendiri yang dikenali sebagai Kurdish Regional Government atau KRG.
Wilayah ini terletak kawasan berlembah dan berbukit. Tetapi mukabumi negeri ini amat subur dan kaya dengan hasil mineral seperti emas, arang batu serta minyak dan gas. Di anggarkan di Kurdistan sahaja terdapat simpanan minyak mentah bersamaan dengan 45 bilion tong di dalam perut buminya - menjadikan wilayah berpopulasi enam juta penduduk ini memiliki rizab ke enam terbesar dari segi simpanan minyak mentah di muka bumi ini.
Bagi penulis, ini adalah khazanah yang sangat menakjubkan dan penulis tertanya-tanya alangkah bertuahnya negeri Kurdistan ini seandainya mempunyai sebuah agensi seperti Petronas di Malaysia.
Ini kerana dengan hanya enam juta orang penduduk, dari segi logiknya, jika Kurdistan berjaya menguruskan hasil buminya dengan baik dan sempurna, ia bukan sahaja akan menjadi sebuah negara yang kaya raya sepertimana Brunei tetapi juga rakyatnya akan memperolehi limpahan nikmat dan kekayaan yang luar biasa.
Perjalanan penulis ke Kurdistan yang bermula dari Kuala Lumpur dengan dua destinasi transit iaitu Dubai di Emiriah Arab Bersatu dan kota Beirut di Lebanon sebelum membolehkan penulis sampai ke ibu negara Kurdistan, iaitu kota Erbil.
Dan sepertimana negara-negara yang baru membangun terutamanya Iraq yang masih lagi berada dalam dilema keganasan, pemeriksaan keselamatan dan kastam di lapangan terbang Erbil ini amatlah memeritkan. Akan tetapi, penulis merelakan diri ini diperiksa dan barangan penulis dipunggah beberapa kali sebelum rombongan kami “terlepas” dari nodaan pihak berkuasa tempatan dan disambut mesra oleh delegasi tempatan yang sedia menunggu.
TOKOH TERKENAL
Laluan ke Permam, bandar kelahiran Salahuddin Ayubi.
Setelah beberapa hari berada di negara tersebut di atas tugasan rasmi dan juga di dalam keadaan bersantai di wilayah tersebut, penulis sempat berjumpa dan bertukar–tukar fikiran dengan masyarakat di sana.
Antaranya dengan ahli akademik, pemimpin universiti, penjawat awam dan juga ahli politik yang menganggotai Parlimen Wilayah Autonomi Kurdistan yang mempunyai 111 kerusi bersifat unicamera ataupun satu dewan sahaja, berbanding dengan sistem bicamera yang diamalkan di Malaysia.
Jadi setelah beberapa hari berada di wilayah ini, penulis dapatlah membuat rumusan serba sedikit. Secara asasnya penduduk di wilayah ini yang berbangsa Kurdish, merupakan satu bangsa yang berlainan dengan bangsa Arab dan lebih mirip kepada bangsa Turkic atau Farsi, sama ada dari segi rupa paras, budaya mahupun tatasusila.
Masalah besar yang dihadapi oleh bangsa Kurdish ini ialah mereka merupakan etnik minoriti di sebuah negara Arab iaitu Iraq.
Namun begitu ramai yang tidak sedar bahawa Kurdistan pernah melahirkan seorang tokoh yang terkenal dalam dunia Islam dan juga orang yang paling dikenali di dunia Barat dan juga Kristian iaitu tidak lain dan tidak bukan pahlawan Islam terkemuka, Salahuddin Al – Ayubi.
Salahuddin adalah seorang Kurdish yang berasal dari Permam, sebuah pekan kecil di atas kawasan pergunungan di Kurdistan yang sempat penulis lawati. Rata – rata semuanya menganut agama Islam bermazhab Syafie seperti mana di Malaysia, dan penduduknya terkenal dengan sifat peramah, mudah mesra dan amat memuliakan tetamu yang hadir berkunjung dan bertandang.
Penulis (kanan) minum teh bersama-sama dengan beberapa penduduk di Kurdistan.
Bangsa Kurdish di Iraq yang baru sahaja menikmati kebebasan dan autonomi di bumi sendiri ini sedang giat untuk membangunkan bangsa dan negara mereka. Secara kasar, rata-rata penduduk Kurdistan yang penulis sempat temui berbicara dengan positif tentang soal masa depan negara dan bangsa mereka.
Mereka sebenarnya dahagakan pembangunan, ilmu, teknologi dan juga keselesaan hidup. Dengan sebuah kerajaan yang dilantik secara demokratik ketika ini, pemerintahan yang agak stabil dan keselamatan terjamin, wilayah ini sedang mengalami pembangunan yang pesat dan positif.
DUBAI BARU
Penulis agak terkejut apabila dimaklumkan kebanyakan bangunan yang tumbuh bak cendawan di kota Erbil itu baru sahaja berusia beberapa tahun. Malah sebuah kompleks membeli-belah di hadapan hotel tempat penulis menginap pun baru beberapa bulan sahaja dibuka.
Apabila berbicara dengan penjawat awam dan penggerak ekonomi di sana, mereka meramalkan yang wilayah Kurdistan ini akan berada di paras pembangunan yang sama ataupun menyaingi Dubai dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi.
Apatah lagi, pembangunan pesat ini dapat dibiayai dengan sepenuhnya oleh kerajaan mereka yang memiliki rizab minyak keenam terbesar dalam dunia. Tentunya, wilayah ini mampu membangunkan infrastruktur dan masyarakatnya dengan mudah dan berkesan.
Apapun, pulangnya penulis dari Wilayah Kurdistan dengan harapan ingin melihat wilayah ini berkembang dengan maju dan pesat. Bangsa Kurdish, yang selama ini merupakan bangsa minoriti, dan pada ketika zaman pemerintahan Saddam Hussin mengalami pelbagai kekangan dan diskriminasi, mula bangun dan memperjuangkan nasib negara mereka dari sudut ekonomi, pembangunan dan juga penguasaan ilmu.
Cuma penulis harapkan agar limpahan hasil bumi dari sumber minyak itu akan dapat di manafaatkan dengan sebaiknya oleh pemerintahan wilayah itu dan menjadi nikmat kepada penduduk dan kerajaannya dan bukannya menjadi sumpahan, punca konflik dan kesengsaraan kepada wilayah pewaris Salahuddin Al- Ayubi ini.
* PENULIS ADALAH SEORANG PENJAWAT AWAM DAN PERNAH BERKHIDMAT SEBAGAI SAINTIS DI SALAH SEBUAH SYARIKAT MINYAK ANTARABANGSA YANG BERPANGKALAN DI UNITED KINGDOM.

    No comments:

    Post a Comment