Wednesday 26 October 2011

Buaya gigit tangan, paha




    

MIRI: “Saya tak sangka diserang buaya kerana ketika itu saya hanya berendam di kawasan cetek tidak jauh dari tebing sungai dan terkejut apabila tiba-tiba tangan saya disambar.
“Ketika itu, saya hanya mampu menjerit sambil cuba melepaskan tangan kiri yang digigit, sebelum buaya itu beralih menggigit paha kiri saya pula. Namun, tindakan pantas saya menumbuk tepat pada sebelah mata buaya berkenaan menyebabkan ia melepaskan gigitan sebelum saya lari menyelamatkan diri ke tebing sungai,” kata Lumeit Entabang, 63.

Berikutan kejadian Isnin lalu itu, Lumeit cedera di paha kiri.

Ketika kejadian, wanita dari Rumah Empading di sini, sedang mandi di Sungai Bakas, Sibuti dekat sini. Lumeit berkata, sudah menjadi kebiasaannya mandi di sungai itu setiap hari sejak lebih 60 tahun lalu meskipun bekalan air paip sudah disediakan di perkampungan itu.

Menurutnya, sebelum kampung itu mempunyai bekalan air paip bersih, sungai berkenaan menjadi nadi utama penduduk kampung untuk mandi dan mencuci pakaian tanpa sebarang kejadian serangan buaya dilaporkan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia serik untuk mandi di sungai kerana bimbang buaya itu menyimpan dendam dan menyerangnya semula.


Terkejut dengan kejadian menimpa Lumeit, penduduk kampung mengadakan acara Miring Ngampun atau memohon perdamaian daripada buaya berkenaan, semalam.

Majlis diadakan di tempat mangsa diserang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang sekali gus memadamkan perasaan dendam yang mungkin disimpan buaya itu terhadap penduduk kampung.


Penduduk kampung, Jackson Gawing, 63, berkata menurut kepercayaan masyarakat Iban, Miring Ngampun majlis bagi menyelesaikan permasalahan yang mungkin timbul antara keluarga mangsa dan buaya terbabit.

Menurutnya, buaya dianggap mempunyai pertalian rapat dengan masyarakat Iban, namun disebabkan kesilapan lampau segelintir masyarakat terdahulu seperti membuang bangkai anak buaya yang tersangkut di jaring ikan secara sesuka hati, dianggap mengundang kemarahan buaya.

“Keadaan ini mungkin boleh menyebabkan buaya menyimpan dendam terhadap ahli keluarga terbabit dan acara Miring Ngampun sebagai tanda memohon kemaafan dan berdamai dengan buaya terbabit.

““Biasanya melalui acara ini, nasi pulut, buah pisang, kuih, ketupat dan beberapa makanan tradisi masyarakat Iban dibungkus di dalam bakul kecil sebelum diletakkan di setiap pangkalan di sungai kampung terbabit,” katanya.

Difahamkan, kejadian serangan buaya tidak pernah berlaku di kampung terbabit sejak kampung berkenaan dibuka lebih 50 tahun lalu.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bekenu, Rosey Yunus yang turut meluangkan masa melawat mangsa.

Credit to HM

No comments:

Post a Comment